Search

BUBBLES IN THE OCEAN

The humble journey to The Creator: After all, we are just a tiny bubble in the ocean

PENGAKAP & THE JUNGLE BOOK

The-Jungle-Book-Movie-Wallpapers

Hujung minggu lepas saya berkesempatan bawa Falah dan Nurhan menonton The Jungle Book keluaran Disney. Amanina tak ikut sekali sebab harini dia menonton dengan rakan-rakan sekelasnya diiringi oleh gurunya. Menonton filem ini terus membawa saya mengimbau zaman kanak-kanak dahulu apabila saya menjadi pengakap kanak-kanak sejak darjah 4 di Sekolah Kebangsaan Tunku Raudzah, Alor Setar, Kedah.

Teringat dahulu memang diceritakan tentang kisah Mowgli, Shere Khan, Heera, Akela. Sebab itu juga Akela itu merupakan ketua, duduk di tengah-tengah, dan semua pengakap yang mengelilingi Akela akan berkata, “Akela, Kita Buat Sehabis Baik!’, Akela akan bertanya, “Kamu Buat Sehabis Baik?”, dan pengakap lain akan menjawab, “Kami buat sehabis baik!”

Apabila saya amati semula filem Jungle Book, ya, menyertai pengakap adalah satu kenangan yang terindah pada zaman kanak-kanak. Asbab untuk mendapatkan lencana-lencana yang sangat ‘cool’, maka kad kuning perlu dipenuhkan dengan segala macam jenis kemahiran yang perlu diuji oleh guru pengakap kami. Sekiranya lulus, barulah boleh naik pangkat, daripada lencana keris gangsa, keris perak dan keris emas. Anugerah tertinggi pengakap kanak-kanak pula adalah Rambu Pengakap. Dan saya dengan bangganya,merupakan salah seorang penerima Rambu Pengakap di Malaysia smile emoticon. Sebenarnya, saya ‘pulun’ nak dapatkan rambu ini sebab abang saya Ahmad Tarmizi Bin Azizan lah orang yang sangat ‘passionate’ dengan pengakap, dan beliau juga merupakan penerima rambu Pengakap Kanak-kanak. Jadi, atas dasar mahu bersaing (sibling rivalry), saya perlu pastikan saya dapat juga rambu tersebut. Haha!

Dalam pengakap, kami bukan sekadar menyertai perkhemahan, tetapi diajar cara-cara untuk ‘survive’ berseorangan. Ada aktiviti memasak, mengikat tali (bunga keti, bukusila- saya pun dah lupa!), kemahiran buat rak kasut dan rak pinggan menggunakan ranting-ranting kayu. Saya tak pernah miss aktiviti perkhemahan, baik di kawasan sekolah, ataupun di peringkat mukim dan PKG. Pernah dinobatkan pengakap terbaik di peringkat PKG pada ketika kami darjah 5. Saya juga dipilih mewakili negeri Kedah, dengan seorang lagi pengakap darjah 6 ketika saya berada dalam darjah 5 ke Korobori Pengakap Nasional di Kem Kijal, Kelantan. Banyak aktiviti perlu kami lakukan untuk dapatkan cop, dan apabila ‘cop-cop’ ini terkumpul dapatlah dibandingkan negeri mana yang terbaik. Memandangkan pada ketika itu berat badan saya memang dipam-dipam, tak banyak aktviti yang saya dapat ‘complete’. Panjat pokok tu lepaslah, tapi bab mengimbangkan badan atas titian sempit, memang saya gagal, huhu. Tapi entahlah, saya enjoy saja program sebegitu.

Antara satu pengalaman manis semasa berpengakap ini juga, saya diberikan amanah sepenuhnya oleh guru pengakap saya, Ustaz Faiz, untuk mengarahkan pementasan drama untuk dua tahun berturut-turut. Pada kali pertama, semasa perkhemahan badan beruniform di peringkat sekolah. Saya menyediakan skrip tentang Sang Kancil dan Buaya yang saya ubah plotnya, mengakibatkan akhirnya Sang Kancil yang suka menipu itu akhirnya dibaham harimau. Skrip saya yang kedua ialah Bawang Merah Bawang Putih versi baru, yang akhirnya sultan berkahwin dengan mak bawang putih, Haha! Pementasan itu membolehkan kami bergelar juara persembahan, dan juara keseluruhan di peringkat PKG. Saya bawa skrip itu untuk pementasan Kesatria pula ketika berada di tingkatan 1.

Bila saya fikirkan balik, untuk menjadikan seseorang kanak-kanak itu mempunyai daya kepimpinan yang baik, orang dewasa perlu ’empower’ kanak-kanak ini untuk buat perancangan sendiri dan mepimpin rakan-rakan mereka. Boleh saya katakan, semasa saya berada dalam zaman pengakap kanak-kanak dulu, guru-guru pengakap kami, meskipun mengawasi, banyak menyerahkan tanggungjawab kepada kami dan akhirnya membentuk nilai kepimpinan dalam diri kami. Saya juga merupakan kem komandan kawad kaki di sekolah itu, sampailah saya masuk tingkatan 1 pun masih menjadi komandan kawad. Cuma saya dah ‘lost touch’ dengan badan beruniform apabila berada di sekolah menengah. Nak masuk pengakap pun dah rasa segan.

Saya tak pasti bagaimana pergerakan pengakap di sekolah anak saya. Amanina pun dah masuk pengakap, tapi saya pun tak tahu sejauhmana elemen kepimpinan yang saya pernah lalui dulu, diterapkan di kalangan anak-anak. Ya lah, kadang-kadang kita terfikir juga keselamatan mereka, dunia sekarang tidak seperti dulu.

Sifat Mowgli sebagai seorang pemimpin kecil kanak-kanak perlu diterapkan pada anak-anak kita. Ia diharapkan dapat membuang rasa ketakutan anak-anak, dan perasaan tidak mahu mencuba. Marilah menjadikan setiap daripada anak-anak kita seorang Mowgli.

The Jungle Book, 5 STARS.

MEMEGANG JAWATAN ITU SENANG, BERAMANAH DENGAN JAWATAN ITU SUKAR

o-leader-facebook

Sekiranya anda bertanya kepada saya, apa yang saya nak buat dengan tanggungjawab dan jawatan yang saya pegang sekarang, baik dalam kerjaya, persatuan, atau sebagai aktivis, sebenarnya saya nak ‘let go’.

Sebenarnya, sangat sukar untuk menjalankan amanah yang diberikan, kerana setiap satu tindakan kita, pastinya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Tekanan yang diperolehi pula, untuk beramanah dengan jawatan yang diberikan bukannya mudah. Ada saja suara-suara dan bisikan yang cuba mempengaruhi kita supaya mengambil mudah dengan tanggungjawab yang diberikan.

Alah rilek la, bukan orang tahu.
Alah, atas nama je, kerja tu nanti orang lain boleh cover.
Alah, nanti ko bagi la alasan nak mengelat. Politiking la sikit.

Apabila saya diberikan jawatan, saya mahu pastikan kerja yang saya buat adalah kerja yang tip top. Kerja yang bermutu. Kerja yang mendatangkan impak dan menganjakkan paradigma masyarakat dan komuniti yang saya ketuai. Sekiranya saya hanya memegang jawatan atas nama, pastinya kerja-kerja yang dijalankan tidak menepati citarasa saya, dan akhirnya mendatangkan fitnah kepada saya. Saya juga tahu, antara tanggungjawab manusia sebagai khalifah ialah mentadbir alam ini dengan baik. Adalah malang sekiranya atas asbab saya menolak jawatan yang diberikan, maka ia dipegang oleh orang-orang yang tidak amanah dan merosakkan komuniti yang ingin kita bina, iaitu membawa manusia kepada jalan menuju Allah SWT.

Tetapi jika saya diberikan pilihan, bila-bila masa sahaja saya sanggup ‘let go’ jawatan-jawatan yang saya pegang sekarang. CEO Petronas, Datuk Wan Zul pernah memberitahu wartawan dalam sesi wawancara dengan beliau, “in order for you to the best (while holding your position), you must not want the position”

Memegang jawatan, bukanlah matlamat utama kita sepatutnya, kerana apabila kita meletakkan sasaran memegang jawatan sebagai matlamat utama, apabila sudah berjaya memegang jawatan itu, kita akan jadi ‘complacent’ dan selesa. Matlamat utama kita ialah mengubah paradigma masyarakat dan membawa mereka kepada jalan kebaikan, dan sudah pastinya tanggungjawab itu tidak akan putus, sehinggalah kita akhirnya menutup mata mengucapkan selamat tinggal kepada dunia.

Kalau boleh, saya nak let go. Saya nak lebih masa bersama anak-anak dan isteri. Cuma saya tahu, jika saya mempunyai keluarga untuk ditatang, orang lain juga begitu. Mengimbangkan segala aspek kehidupan ini sungguh sukar. Moga-moga segalanya menjadi ibadah sebagai bekalan pencen kubur saya.

MENGHENTIKAN GEJALA BULI DI SEKOLAH

bullyexposed-006

Mana-mana mak ayah pun akan risau sekiranya anak-anaknya menjadi mangsa buli di sekolah (buli secara fizikal, mental, cyber bully). Dan mak ayah perlu lagi risau sekiranya masalah ini tidak diselesaikan, anak-anak ini pula nanti akan menjadi pembuli.

Sememangnya ada beza menyekolahkan anak kami di London dan di sini. Amanina dan Falah juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa buli (mental) di sekolah apabila mereka mula-mula masuk ke sekolah itu. Tetapi kami cuba ambil pendekatan proaktif.

1. Kami bersembang sangat kerap antara kami dan anak-anak. Dan kami tekankan daripada awal, apa saja yang tak kena dan tak betul, cakap terus dengan kami. We’re your parents, and you should feel safe talking to us and let us know what happened.

2. Kami cuba menyemai positivity dalam diri mereka. Contohnya kalau ada yang mengejek mereka, berkata yang tidak elok pada mereka, kami beritahu yang kita sepatutnya kasihan kepada mereka yang mengejek sebab mak ayahnya mungkin tak tegur mereka atas tindakan yang mereka lakukan. Kita doa banyak-banyak moga dia berubah sikap nanti. Niat kami adalah cuba untuk menyemai nilai empathy.

3. Kami ‘berkomunikasi’ terus dengan guru kelas mereka. Kami cuba sebaik mungkin buat baik dengan guru kelas anak-anak, kaunselor sekolah hatta pihak pentadbiran sekolah seperti guru besar sendiri. Kami maklumkan isu-isu yang kami rasa besar dan sukar diatasi oleh anak kami, supaya guru kelas dapat bertindak sekiranya ada yang tidak diingini terjadi. After all, kami juga mahu anak-anak kami berdikari sendiri sebagai problem solver dan menyatakan terus dengan guru sekiranya ada perkara yang tidak diingini berlaku.

4. Kita tak mahu anak orang lain buli anak kita, jadi kita sendiri jangan jadi pembuli! Sekiranya anak-anak dibuli, janganlah pula kita ambil tindakan menyerang budak atau melakukan interogasi kepada yang membuli, baik di kompaun sekolah atau di luar. Adalah menjadi satu kesalahan kita ambil tindakan dalam kompaun sekolah sebab sekolah bukan sahaja nak ‘protect’ anak kita tetapi juga keselamatan anak-anak yang lain.

5. Kami proaktif di peringkat PIBG. Sejak anak saya masuk sekolah, saya tak pernah miss mesyuarat agung PIBG dan tak pernah miss bercakap dan memberikan idea-idea dan cadangan kepada pihak sekolah. Adakalanya pagi-pagi saya akan bertemu dengan guru besar dan berbincang program-program tambahan untuk anak-anak murid di sekolah, supaya pengayaan nilai dan kemahiran lain dapat dipertingkatkan, selain daripada kecemerlangan akademik semata-mata.

Mudah-mudahan bermanfaat kepada ibu ayah sekalian.

Pokoknya, kita janganlah pula menjadi PEMBULI!

Mohammad Tazli Azizan & Putri Nurizatulshira

Seri Iskandar, Perak
22 April 2016

FALSAFAH SEORANG PENDIDIK

Al3fO-4INuxAZfs01B7D3gqAHo9KFdI5rw5GH2Ck8Zbj
Bersama dengan pelajar-pelajar saya yang menghampiri minggu-minggu terakhir kursus praktikal mereka di beberapa OPU Petronas sekitar Kerteh & Paka. Saya berbangga melihat kemajuan mereka, daripada yang biasa-biasa tidak pandai berbicara menjadi yang ada konfiden dalam diri, daripada yang ilmunya tercari-cari, sudah mengenal kemampuan diri. Tahniah kepada mereka. Gred nombor dua. 🙂

 

Antara falsafah yang perlu ada dalam diri pensyarah, guru hatta ibu bapa sekalipun berkenaan pendidikan anak-anak ataupun pelajar ialah:

1. TIADA ISTILAH PELAJAR GAGAL

Tidak ada pelajar/anak yang gagal dalam pendidikan. Mereka hanyalah ‘quick’ atau ‘slow’ learner yang perlu diberikan perhatian dan Insha Allah akan ada satu hari nanti mereka akan bangun dan menjadi insan yang menyumbang untuk ummah, sekiranya kita sebagai pengajar memberikan harapan kepada mereka agar terus berUSAHA.

2. TIDAK MENGKLASIFIKASIKAN ANAK DIDIK

Mengklasifikasikan pelajar dan anak-anak sebagai berjaya dan gagal, akan melemahkan motivasi dan jatidiri anak-anak yang lambat ‘blooming’ dan akhirnya bunga yang mahu mekar, menjadi layu dan sukar untuk mekar kembali. Terlalu memuji-muji pelajar/anak sebagai seorang yang berjaya sedangkan ia hanyalah kejayaan mencapai gred yang baik untuk akademik semata-mata, akan mengakibatkan anak/pelajar menjadi terlalu selesa/complacent untuk berusaha. Akhirnya, mereka malas berusaha apabila wujud halangan/ujian yang lebih sukar pada masa-masa akan datang.

3. GURU SEBAGAI MOTIVATOR

Anak-anak/ pelajar akan suka sekiranya kita memberikan perhatian kepada mereka. Tanggungjawab seorang guru/pensyarah/ibu bapa bukan menjadi ‘content provider’ /pengisi ilmu semata-mata namun perlu untuk menjadi motivator/ pemberi motivasi kepada anak didik supaya mereka akan percaya dengan potensi diri dan terus berusaha tanpa JEMU. Merendah-rendahkan kemampuan mereka akan mengakibatkan mereka hilang motivasi dan malas berusaha.

4. POSITIF PADA KEMAMPUAN

Positif pada kemampuan mereka, meskipun mereka masih tidak menyedari akan hal itu. Guru/pensyarah tidak sepatutnya mempunyai pelajar/anak kegemaran hanya kerana mereka sentiasa menjadi ‘scorer’ dalam subjek mereka dan mudah faham. Sebaiknya, tumpukan kepada pelajar yang lambat tangkap dalam kelas. Sentiasa notis/melihat kepada usaha yang mereka lakukan untuk berjaya, dan sentiasa memotivasikan mereka supaya tidak menggunakan ‘short cut’ untuk mencapai apa yang mereka mahu kerana meniru, copy paste, plagiarism, menipu dalam proses pengajjian adalah MENIPU diri mereka semata-mata.

5. MENYEMAI DAN MEMBAJA ANAK DIDIK MENGIKUT KEMAHIRAN INTELEK MEREKA

Setiap daripada kita mempunyai kemahiran INTELEKTUAL dalam bidang yang berbeza. Kemahiran dalam sukan, kemahiran dalam berucap, kemahiran dalam menulis, kemahiran dalam logik, kemahiran memasak/menjahit dan pelbagai lagi, semuanya berbeza pada setiap individu. Adalah tanggungjawab ibu bapa/guru/pensyarah untuk menyedarkan anak-anak/pelajar bahawa setiap individu adalah UNIK dan ada kekuatan yang tersendiri. Oleh itu sedarkan mereka bahawa bidang yang mereka mahu pilih untuk pengajian di peringkat yang lebih tinggi, haruslah disandarkan kepada kemahiran INTELEK mereka dalam bidang kemahiran mereka. Pendidikan bukanlah sistem robotik untuk memprogramkan manusia dan dikelas-kelaskan menggikut tahap kepandaian mereka, sebaliknya pendidikan adalah untuk menyedarkan anak didik kita akan kemampuan dan keunikan setiap individu dan bagaimana menggunakan apa yang mereka ada untuk diri dan ummah.
Entah mengapa, meskipun saya kenal dengan pelajar-pelajar saya yang cemerlang, saya lebih ‘concern’ dengan pelajar yang lambat mekar, supaya saya dapat sedarkan mereka bahawa mereka mampu, sekiranya mereka berusaha. Justeru itu, kepuasan saya apabila mengajar subjek saya, bukanlah melihat kepada jumlah A pada setiap kali peperiksaan, tetapi melihat kepada sejauh mana USAHA yang anak didik saya letakkan untuk keluar dari kepompong keselesaan atau kepompong yang merasakan diri lemah dan gagal.
Insha Allah saya yakin, sekiranya semua warga pendidik mempunyai hasrat yang sama, datanglah sistem pendidikan yang bagaimanapun, Insha Allah kita mampu melahirkan warga dunia yang lebih baik untuk masa-masa yang akan datang. Pendidikan bukan sekadar untuk menjadikan seseorang itu pandai, tetapi mempunyai sistem nilai.
Ini masanya kita memberikan HARAPAN. Ke arah Malaysia baru.

#HARAPANBARU

#PENDIDIKANABADKE21

Mohammad Tazli Azizan

Seri Iskandar, Perak

30 March 2016

MENGIMBANGI ILMU, NILAI DAN AKHLAK

Saya tak sangka pos saya sebelum ini menjadi VIRAL. Terima kasih kepada FBookers yang likes dan shares status tersebut. Saya hanya ingin berkongsi apa yang kami lakukan supaya anak-anak tak rasa ‘down’ apabila mendapat markah ujian yang rendah. Saya dan isteri sendiri, tidak sahaja mahu menumpukan kepada kecemerlangan anak-anak dalam akademik, tetapi apa yang paling penting ialah mereka mempunyai akhlak yang baik, dan punyai sistem nilai yang tinggi, di samping mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu yang perlu diasah dari sekarang. Apabila belajar daripada seorang kakak senior tentang positive parenting, sebenarnya banyak lagi kami perlu buat untuk keluarkan anak-anak daripada fixed mindset to growth mindset.

Sebenarnya di sebalik cerita Falah (8 tahun) dan gred Sains nya dalam kereta tersebut, ada satu lagi peristiwa yang berlaku di dalam kereta semasa perjalanan kami dari rumah ke AEON. Amanina (kakak kepada Falah, 10 tahun) mengadu kepada kami bahawa adiknya yang kecil, Ihsan (2.5 tahun) tidak mahu sangat pergi kepadanya semasa di transit (mereka berempat transit bersama sejak ummi masuk kerja awal bulan ini). Amanina bagitahu selalu Ihsan akan cari Nurhan (6 tahun), abangnya seorang lagi untuk buat apa-apa kepadanya.

Kenapa jadi begitu?

Nurhan ketika umurnya 4 tahun masuk tadika bersama Falah kerana ummi terpaksa berada di Johor dengan Ihsan, dan abi di Perak. Abi jaga anak 3 orang selama 4-5 bulan. Tetapi atas sebab-sebab tertentu, apabila Nurhan berumur 5 tahun, dan ummi tidak lagi bekerja, dan tinggal di rumah, umminya mencadangkan supaya Nurhan tak pergi tadika. Saya pun bersetuju sebab dapat ‘trim’ perbelanjaan, walaupun pada awalnya tidak bersetuju sepenuhnya .Mungkin ummi juga dapat ajar Nurhan sikit-sikit.  Namun memang dapat diagak, skill Nurhan dalam membaca dan mengira agak tertinggal, kerana ummi meskipun berada di rumah, ada kerja-kerja lain perlu dibuat seperti proofreading services dsbnya.

Namun segala yang berlaku ada hikmahnya. Apabila Nurhan berada di rumah, hubungannya dengan Ihsan sangat rapat. Nurhan la yang akan jadi pelindung kepada adiknya. Kalau keluar rumah atau keluar dari masjid, Nurhan akan tunggu adiknya turun, hulurkan kasut dan pakaikan kepada adiknya. Nurhan akan jadi abang yang pertama pergi pujuk adiknya kalau Ihsan menangis. Ihsan di transit pula masa hari pertama tidur berpelukan dengan Nurhan. Asyik asyik Khan..khan..khan (panggil cari Nurhan), sedangkan Falah dan kakaknya ada sekali.

Kemudian saya cakap pada Amanina (semasa kami dah sampai di AEON) dan selepas makan, dari kejauhan saya melihat gelagat Nurhan dan Ihsan di sinki air,“tengok tu kakak, Nurhan cepat-cepat pergi teman Ihsan basuh tangan, siap sabunkan tangan Ihsan. Abi dan ummi langsung tak suruh Nurhan buat macamtu. Kakak boleh buat macamtu nak menangi hati Ihsan? “

As for this task, your grade now is E kakak, extra effort required to win Ihsan’s heart. But you cannot force him to like you. Like you are bringing a horse to drink the water but you cannot force the horse to drink it. Kakak kena ikhlas sayang Ihsan, baru Ihsan cari kakak nanti.

Jujurnya, saya tidak risaukan anak saya tidak dapat membaca ketika berumur 4 atau 5 tahun. Kami tak perlu rush apa-apa. Alhamdulillah, dah 2 bulan lebih Nurhan masuk balik tadika, dia dah dapat membaca kedua-dua buku Bahasa Inggeris dan Melayu secara sebutan perkataan demi perkataan. Baru-baru ni cikgunya hadiahkan pet fish kerana Nurhan berjaya mengenal huruf dan membaca dengan jelas sebutan-sebutannya.Insha Allah, abi dan ummi yakin hujung tahun ini Nurhan dah bersedia untuk masuk darjah 1.(dan abi dan ummi tak kisah Nurhan masuk mana-mana kelas, sebab kami yakin Nurhan Insha Allah akan survive). Abi dan ummi tak pernah paksa Nurhan untuk cepat-cepat membaca (Falah dan Amanina dah lancar sejak 5 tahun), tapi mahu Nurhan ada motivasi sendiri nak membaca (baru-baru ni ada satu buku English siri Ladybird dikhatamnya sebelum tidur, Alhamdulillah- sambil dia baca sambil gelak, kerana apa yang dibacanya dia faham).

Pengorbanan ummi tidak bekerja tetap selama 1 tahun lebih dan menyekolahkan Ihsan dan Nurhan di rumah adalah satu pengorbanan yang berbaloi. Ia merapatkan hubungan antara dua beradik ini, yang menyebabkan abang dan kakaknya cemburu dengan hubungan mereka. Insha Allah, keempat-empat anak kami ini, meskipun mereka nanti layak untuk masuk asrama, MRSM atau SBP ketika di sekolah menengah, saya dan isteri rasanya tak akan hantar mereka. Kami akan cuba menyediakan sebaik mungkin persekitaran pembelajaran yang sesuai kepada anak-anak di rumah. Kami nak bina hubungan yang kuat sesama mereka dan antara ummi abi dan mereka, bina akhlak yang baik, punyai common sense dan sistem nilai yang baik, bahkan ada kemahiran tertentu (memasak, mengemas rumah dsb), supaya kecemerlangan akademik diimbangkan dengan akhlak yang mulia dan kemahuan untuk berbakti kepada ummah. Rugilah kalau ada pencapaian akademik cemerlang, tetapi akhlaknya compang camping, dan asyik memikirkan tentang diri sendiri. Meskipun begitu saya yakin, ibu bapa yang mahukan anak-anaknya ke asrama juga nanti, sekiranya sedar akan keperluan mendidik anak dengan kemahiran-kemahiran lain, pastinya berpada-pada memberikan rehat kepada anak di rumah (selalunya yang duduk asrama ni balik rumah akan buat rumah macam hotel, balun tidur dan tak ada common sense utk tolong ibu ayah —>sayalah contoh terbaik..INSAF!! 😦 )

Mudah-mudahan setiap keluarga kita akan menjadi nucleus terpenting untuk menghasilkan generasi yang lebih cemerlang untuk masa depan. Ke arah Malaysia baru yang cemerlang dan gemilang, Insha Allah!

 

 

MENJADI MUSLIM YANG PRODUKTIF (BAHAGIAN 1)

 

Screenshot 2016-02-20 01.06.38

Sebentar tadi, saya telah dijemput untuk memberikan ceramah kepada ahli-ahli Rakan Masjid UTP dalam liqa’ fikri bulanan mereka. Ceramah saya bertajuk MUSLIM PRODUKTIF: TERSUSUN DALAM URUSAN, dan saya bahagikan kepada dua, dan saya beritahu kepada pelajar-pelajar yang kalau nak tahu bahagian kedua, boleh jemput saya lagi pada masa akan datang, Insha Allah.

Pada malam ini saya berbicara tentang bab pengurusan masa, yang menjadi agenda paling penting dalam aspek pengurusan efektif. Untuk mencernakan pengurusan yang efektif, mahu atau tidak, pengurusan masa adalah kunci utamanya. Saya mengupas buku karangan Stephen R Covey, 7 Habits of Highly Effective People, terutamanya berkenaan pengurusan masa. Saya ulas generasi-generasi pengurusan masa (1st Generation, 2nd Generation, 3rd Generation), dan kenapa semua generasi ini masih tidak mencukupi dalam aspek pengurusan masa, lantaran itu, diperkenalkan pula 4th Generation.

Dalam 4th Generation, saya mengupas berkenaan keperluan mengimbangkan people and task focus. Saya juga menceritakan kepada para hadirin tentang Kuadran-kuadran yang Stephen Covey cipta, dan apakah maknanya kepada kita, sekiranya kita ingin menguruskan masa dan menjadi manusia yang efektif dan cemerlang.

covey_matrix

Masalah kita lazimnya, kita banyak melakukan perkara yang segera dan mustahak (URGENT and IMPORTANT), sehingga menyebabkan kita menjadi penat, ‘burn out’, dan sentiasa dalam keadaan stress. Apa yang berlaku adalah aktiviti ‘firefighting’. Ada sebilangan lagi yang melakukan kerja-kerja yang segera, tetapi tidak mustahak (tetapi mereka merasakan ia adalah sesuatu yang mustahak), contohnya nak balas cepat-cepat emel, nak balas cepat-cepat notifikasi di FB, whatsapps dan sebagainya, ataupun menguruskan mesyuarat berbilang-bilang kali, dan mengambil masa yang lama untuk bermesyuarat. Golongan yang paling ‘tak boleh blah’, ialah mereka yang selalu melibatkan diri dalam kerja-kerja tidak segera dan tidak mustahak (NOT URGENT and NOT IMPORTANT), seperti banyak meluangkan masa menonton filem/movie/kpop, membaca manga/anime, berkomunikasi di whatsapps/fb, tanpa ada jadual dan disiplin diri.

Takziah, kita telah menyiapkan diri untuk menjadi orang yang biasa-biasa ataupun orang yang sentiasa gagal dalam hidup, sekiranya kita banyak meletakkan aktiviti kita berlegar di sekitar 3-3 kuadran ini.

Screenshot 2016-02-20 01.07.19

Namun begitu, mereka yang sentiasa banyak melakukan aktiviti di kuadran 2 (TIDAK SEGERA TETAPI MUSTAHAK), adalah manusia yang mempunyai visi yang jelas dalam hidup, berjaya menyeimbangkan antara people dan task focus, mampu mengawal diri dan berdisiplin tinggi. Mereka adalah golongan yang akan sentiasa melihat terkehadapan. Mereka adalah golongan yang akan sentiasa meminimumkan kuadran 1 (MUSTAHAK DAN SEGERA), dan memperbanyakkan aktiviti di kuadran 2. Contohnya, sebagai pelajar, sudah tahu ujian sejak dari minggu 1 akan diadakan pada minggu ke 5, kenapa malam sebelum ujian baru nak mulakan ulangkaji? Kenapa tidak mulakan sejak minggu ke 3, hanya 15-20 minit setiap hari. Assignment yang diberikan pensyarah misalnya diberikan seminggu yang lepas, tetapi ramai yang akan buat pada malam hari sebelum ‘submission’, hasilnya kualiti ke laut, dan nasib tak baik, perlu re’work’ semula, markah pula rendah dan macam-macam lagi sehingga jadi stress out. Soalannya, kenapa kena perlu tunggu sehingga jadi begitu?

Screenshot 2016-02-20 01.11.09

Saya bertanya kembali kepada hadirin, jadi bagaimanakah nak jadikan kita orang di Quadrant 2?

  1. Bila mulakan pengajian di universiti misalnya, lihat 5 tahun, 10 tahun dan 15 tahun ke depan, siapakah kita pada ketika itu. Bila kita ada matlamat nak dicapai, kita akan punyai ‘big driving force’ untuk membawa kita ke sana. Masalah pelajar sekarang ialah hanya bergantung dari satu semester ke satu semester. Bila daftar subjek, hanya memikirkan bagaimana nak skor/ pass semester tersebut. Bila nak bekerja, hanya mengharapkan apa sahaja peluang yang ada, dengan cita-cita perkara yang baik akan terjadi dengan sendirinya..sedangkan realitinya TIDAK! (Surah Ar-Ra’du ayat 11)
  2. Apabila sudah punyai matlamat, maka di sinilah perlunya kita mengkaji di manakah ‘weak point’ kita. Di manakah kelemahan kita untuk mencapai cita-cita yang kita nak tuju. Contohnya, jika ingin berkahwin selepas graduasi, sepatutnya daripada sekarang sudahpun menabung, meskipun belum punya calon. Daripada sekarang sudah sepatutnya membaca buku-buku dan menimba ilmu kekeluargaan dan keibubapaan supaya tidaklah apabila kahwin sahaja mahu dijadikan semuanya ‘trial and error’.
  3. Sekiranya kita sudah tahu mungkin pada masa akan datang mahu jadi seorang pensyarah contohnya, sudah pastinya sedari sekarang kita akan aktif dalam kelas supaya kita dapat memantapkan gred pencapaian kita, dan dalam pada masa yang sama menyemai minat dan ilmu dalam bidang teaching & learning. Sekiranya ada masalah komunikasi bahasa Inggeris, carilah di mana tempat yang boleh memantapkan lagi ilmu tersebut. Dalam pada masa yang sama, fikirkan bidang apa yang kita nak lakukan dalam PhD kita nanti. Saya memberitahu hadirin bahawa saya mahu jadi pensyarah sejak saya berada dalam tahun dua pengajian ijazah saya, dan daripada situ saya mengkaji kekuatan dan kelemahan saya, dan apa yang saya perlu lakukan untuk menjadi pensyarah yang cemerlang (bukan yang biasa-biasa). Saya juga menceritakan kepada mereka, bagaimana saya berusaha keras untuk mendapatkan biasiswa pengajian ke luar negara dalam PhD saya, kerana punyai keinginan yang tinggi. Saya lontarkan kepada mereka, kenapa perlu kita menjadi yang biasa-biasa sedangkan kita boleh menjadi orang yang luar biasa? Sampai bila Muslim akan menjadi trend follower dan bukan trend setter?
  4. Akhirnya, saya mengingatkan diri saya sendiri dan mereka yang hadir, akan pentingnya memastikan hubungan dengan ibu dan ayah, ahli keluarga dan rakan-rakan sentiasa ‘connected’. Jangankan sampai kita terlalu sibuk dengan kerja dakwah di luar, sedangkan dakwah kepada ahli keluarga sendiri ditinggalkan. Sesibuk bagaimana pun, jangan lupa untuk menghubungi ibu dan ayah dan bertanyakan khabar kepada mereka. Jangan tunggu bila tak ada duit baru nak telefon ibu dan ayah. Balik kampung meskipun sibuk.

 

Apa-apa pun, untuk terus bergerak ke hadapan, amal ibadah kita kepada Allah SWT adalah makanan rohani kita. Sekiranya berkurang, kita akan rasa cepat penat dengan kerja yang kita lakukan kerana kurangnya santapan rohani.

Moga Allah mempermudahkan urusan kita, dan sama-samalah kita bercita-cita untuk menjadi SUPERMUKMIN!

Ini adalah link presentation saya sebentar tadi: PRODUKTIF

KE SEKOLAH DAN UNIVERSITI UNTUK BELAJAR ATAU SKOR A?

convo1 (1)
Gambar adalah hiasan semata-mata (ihsan: http://www.utp.edu.my)

Menjadi mahasiswa (ataupun pelajar di sekolah menengah/rendah) bukanlah untuk belajar bagaimana nak SKOR cemerlang sehinggakan menjadi keperluan untuk belajar bagaimana nak ‘spot’ soalan-soalan dan menjawab ikut skema pemarkahan. Ia adalah satu kefahaman yang salah dan perlu diperbetulkan. Lantas, program-program seperti teknik menjawab soalan peperiksaan, skor A, dan lain-lain lagi, adalah satu pembudayaan yang sangat-sangat tidak sihat yang berlaku di dalam negara kita. Ia berlaku atas tercetusnya budaya exam-oriented.

Memasuki alam persekolahan, apatah lagi alam universiti bukanlah untuk skor A dalam semua matapelajaran. Itu hanyalah ‘by-product’ atas kefahaman kita mempelajari subjek akademik. Perkara yang paling penting ialah ia seharusnya menyemai sifat cintakan ilmu, dan tidak pernah puas hati dengan ilmu yang ada di dada. Sekiranya pelajar keluar sekolah dan universiti menjadi malas untuk menuntut ilmu (samada formal atau informal), hatta membaca buku pun menjadi satu kemalasan, maka itulah tanda-tandanya sistem pendidikan yang dilalui sebenarnya tidak berjaya melahirkan insan yang didamba.

Saya pernah rasa sedih semasa peperiksaan SPM dahulu. Di sekolah kami, tidak ada guru-guru (terutamanya subjek sains) yang dipilih untuk menyediakan soalan peperiksaan. Jadi kami tidak berpeluang pun untuk ‘spot soalan peperiksaan’. Apa yang perlu kami buat ialah ulangkaji secara keseluruhannya. Kemahiran yang kami perlu ada sudah pastinya ialah kemahiran bagaimana nak buat peta minda, kemahiran menulis nota dan pelbagai lagi. Kemahiran ‘spot’ soalan peperiksaan, tidak sama sekali. Saya membandingkan keputusan akhir peperiksaan SPM saya, ternyata menghampakan berbanding rakan-rakan dari MRSM/SBP yang lain yang senang-senang memperoleh 10A1. Bukan seorang dua, berpuluh-puluh pulak tu, yang saya ni nak dapatkan 6 aggregat pun tak mampu.

Hanya setelah saya melalui zaman mahasiswa baru saya sedar bahawa, saya sangat-sangat bersyukur bahawa saya tidak perlukan semua itu. Saya tidak perlu jadi ahli nujum untuk meneka soalan mana yang keluar untuk peperiksaan. Apa yang penting, saya hanya perlukan kemahiran ‘deep learning’, supaya saya benar-benar faham apa yang cuba nak disampaikan oleh pensyarah kami. Kalau tak faham, saya sanggup menghabiskan puluhan pound sterling membeli buku-buku teks untuk dibaca (kebetulan pada masa itu belum ada YouTube, kalau ada confirm akan jadi bahan rujukan saya juga selain daripada buku). Saya perlukan kemahiran belajar dalam kumpulan, supaya saya tidak terkial keseorangan belajar semua subjek yang jargon pada saya. Saya perlukan kemahiran menguruskan masa, supaya saya dapat bahagikan masa untuk belajar, masa untuk membina hubungan dan network dengan rakan-rakan, masa untuk pamper diri dan masa untuk ibadah kepada Allah. Saya memerlukan kemahiran menulis nota, supaya ia mudah difahami. Semasa buat PhD, lagilah penting kemahiran-kemahiran yang saya sebutkan tadi. Kalau saya ada kemahiran ‘spot soalan’, nak spot soalan apa nya? Soalan masa viva la kot hehe.

Apabila menjadi pensyarah, tertekan saya apabila pelajar-pelajar yang sejak dari sekolah rendah terdidik dengan ‘tips&tricks’ datang ke bilik saya bertanyakan apa tips untuk peperiksaan kali ini. Saya beritahu mereka: S.T.U.D.Y. Kalau berada di universiti masih mempunyai mentaliti nak skor (dan tak mahu memikirkan untuk membina kemahiran diri yang lain), saya dapat berikan jaminan bahawa mahasiswa itu tak akan dapat pergi jauh. Sedarlah bahawa masuk sekolah dan universiti bukan untuk skor A semata-mata.

Semalam semasa makan malam saya berbual dengan ayah mertua, yang juga seorang pensyarah. Beliau memaklumkan ada seorang pelajar di salah sebuah universiti di Malaysia ni, memperoleh kelayakan hampir 1st class, tiap-tiap hari bawa ke hulu ke hilir laptopnya, tetapi apabila diminta untuk mencari info daripada internet, tidak tahu di mana perlu dia mulakan. Terkial-kial. Terkedu saya.

Begitulah hakikatnya. Kalau dapat 1st class/ 10 A*/ straight A hanya kerana berjaya ‘spot’ soalan, ia adalah satu perkara yang perlu dibimbangkan, kerana apa yang dipelajarinya adalah di atas permukaan semata-mata. Ia akan mengakibatkan pelajar itu berasa cepat letih apabila cabaran semakin hebat pada level-level pengajian yang lain. Adalah tidak menghairankan saya sekiranya seseorang itu yang dapat straight A, ataupun 1st class tiba-tiba membuat keputusan tidak mahu lagi belajar bersungguh-sungguh pada peringkat yang seterusnya (ataupun tak mahu belajar langsung), adalah kerana mereka terlalu letih dengan belajar/menuntut ilmu.

Pada saya, biarpun umur sudah meningkat, learning is still fun. IT IS FUN!

P/S: Tiba-tiba rasa macam nak enroll kursus psikologi sebab minat. smile emoticon

Tanggungjawab Seorang Pensyarah Universiti

IMG_8849
Gambar ini diambil semasa saya mengendalikan sesi bootcamp untuk pelajar tahun 1 dalam program kami, yang diadakan pada hujung minggu. Apa yang saya dapat? Satisfaction. A complete full satisfaction. 

 

 

Harini saya nak ceritakan sedikit tentang kerja kami sebagai pensyarah universiti. Mungkin ramai yang ingat kerja sebagai seorang pensyarah ni mudah, dapat rehat-rehat, cuma mengajar, ulang-tayang slides setiap kali pelajar baru masuk kelas. Sebagai pensyarah di universiti (yang ada komponen teaching dan research), ini adalah tanggungjawab kami.

1. Pengajaran (Teaching & Learning)
Mengajar adalah tanggungjawab mandatori kami. Mahu tak mahu, samada pensyarah biasa, profesor madya ataupun professor, WAJIB mengajar. Mengajar pula dalam kontek sekarang bukan sekadar berceloteh di depan sambil mata memandang slaid-slaid yang dikongsi, tetapi kami perlu memahami pedagogi dalam mengajar. Bagaimana nak tanamkan kemahiran berfikir aras tinggi kepada pelajar, bagaimana nak terapkan nilai-nilai yang perlu ada pada pelajar (contoh: problem solvers, lifelong learners, integrity etc.) Maka dengan itu, kami tidak lagi mengajar melalui cara chalk and talk ataupun teacher-centered style, tetapi kami perlu mengambil kaedah student-centerd learning, maka banyaklah kaedah yang perlu dipelajari (active learning, cooperative learning, blended learning, flipped learning, problem based learning, service based learning, collaborative learning etc.)
Di samping itu juga, ada pensyarah yang bukan sahaja mengajar satu subjek semata-mata, malahan sampai 2-3 subjek, dan ada juga yang perlu mengajar sehingga 150 orang pelajar dalam satu-satu masa. Bukan senang nak ‘retain’ minat pelajar mendengar apa yang kami celotehkan (apatah lagi bidang kejuruteraan). Di samping itu juga, kami perlu ada portfolio kami tersendiri, kumpulkan semua bahan dalam satu fail. Penilaian pula, bukan hanyalah peperiksaan semata-mata, tetapi kami perlu beri projek, assignments, quiz dan test kepada pelajar, yang semuanya perlu dinilai, diberi markah, dan diberi maklumbalas kepada pelajar berkenaan. Apa yang kami perlu assess bukan semata-mata ilmu pengetahuan pelajar, tetapi kemahiran/skills mereka dan juga nilai-nilai yang telah mereka perolehi.

2. Penyelidikan

Penyelidikan ni bukan perkara yang mudah. Ada saja pensyarah yang tak dapat tidur malam memikirkan inovasi yang mereka nak lakukan. Selepas memikirkan inovasi yang nak dibuat, perlu diterjemahkan pula dalam proposal untuk memohon geran-geran penyelidikan. Kemudian perlu dicari pula sumber-sumber geran tersebut dan syarat-syarat yang mereka kemukakan perlu dipatuhi. Kalau di tempat kerja saya, kami dinilai daripada dua aspek dalam penyelidikan ini, iaitu berapa banyak proposal yang telah kami hantar, dan yang keduanya, daripada proposal ini, berapa banyak yang kami peroleh dan bawa masuk duit ke universiti. Bila dah peroleh geran tu pula kena fikirkan bagaimana nak belanjakan geran tersebut bagi memenuhi objektif yang telah digariskan dalam proposal asal. Kalau kerja penyelidikan terbantut, ada kemungkinan kena ‘blacklist’ kerana tak buat kerja oleh pihak yang memberikan geran tersebut.

3. Penyeliaan

Menyelia pelajar bukanlah satu perkara yang mudah. Kami bukan sahaja perlu menyelia pelajar projek akhir tahun, tapi pelajar Masters dan PhD pun perlu diselia dengan baik. Bukan setakat itu sahaja, pelajar yang melakukan internship, kerja-kerja berkumpulan di perigkat universiti, design project, semuanya perlu diselia dengan baik. Kalau pelajar tersebut tiba-tiba menghilangkan diri, kami lah para penyelia perlu mencari di mana mereka. Kalau tak cari, tak bertanggungjawablah kami. Sambil menyelia perlu memotivasikan mereka supaya ambil ‘ownership’ kepada projek yang telah diberikan. Nak bagi mereka suka buat research bukanlah sesuatu yang mudah, kerana research is so unpredictable. Tak boleh jangka. Kalau makmal meletup ke, penyelia lah yang perlu bertanggungjawab.

4. Penulisan artikel/jurnal

Selesai sahaja kerja-kerja penyeliaan, dan penyelidikan, penulisan artikel untuk jurnal pula perlu dibuat. Macam kami, setahun kena ada 3 artikel sekurang-kurangnya, dan kena ada minimum impact factor yang kena capai. Bukan boleh hantar pada jurnal cikai sebarangan, kalau tidak, itupun tak berapa dipandang. Menitilah di bibir kami, ni Scopus Indexed ke, ISI indexed ke, berapa impact factor. Dan kena faham bahawa, kita tulis artikel bukan senang-senang dapat diterima masuk jurnal, paling senang ialah kena ‘reject’. Untuk diterima masuk, kadang-kadang sehingga 4-5 kali kena buat correction barulah boleh diterima pakai.

Memang kadang-kadang kita minta pelajar yang tulis artikel tersebut, tetapi English pun tak boleh nak bergantungharap kepada mereka. Lenggok bahasa tak betul, format tak betul, analisis tak betul, semua kena perbetulkan.

Nak pergi conference pun bukan conference sebarangan. Perlu dilihat apakah tema conference, impact of the conference dan sebagainya. Semua termasuk dalam KPI kerja seorang pensyarah.

5. Contribution

Bahagian ni, selain daripada kerja hakiki kami di universiti (mengajar/research/publication), kami perlu juga terlibat dalam kerja-kerja koordinator dan pentadbiran di peringkat jabatan dan universiti. Ada macam-macam ‘task force’ yang perlu kami sertai untuk memastikan perjalanan universiti itu menjadi licin. Ada yang kena pegang ketua jabatan, ketua pusat penyelidikan, dekan dan sebagainya, tetapi kerja-kerja hakiki tak boleh ada ‘excuse’ untuk ditinggalkan.

Selain daripada itu, bila pangkat dah makin tinggi (professor madya/professor), perlu juga ada contribution di peringkat nasional dan antarabangsa. Jadi kena sertai majlis-majlis, persatuan-persatuan di peringkat kebagsaan dan antarabangsa. Tak masuk lagi kerja-kerja CSR (corporate social responsibility) di kawasan sekeliling (AJK PIBG, AJK Surau dan sebagainya).

6. Networking

Bahagian ni pula, kami kena perbanyakkan aktiviti kolaborasi dengan universiti lain, ataupun dengan pihak industri. Kalau ada masalah daripada pihak industri yang perlu diselesaikan, kami perlu ‘step in’ untuk cuba selesaikan, melalui konsultansi. Kolaborasi penyelidikan misalnya perlu dilakukan dengan universiti-universiti lain. Mungkin perkongsian paten inovasi dan sebagainya. Itu semua penting kepada pensyarah.

Jadi, kerja pensyarah ni sebenarnya bukanlah senang dan boleh duduk rilek-rilek. Ada masa memang kena rehat sebab banyak guna otak. Uban saya ni pun makin lama makin banyak. Rasa-rasanya, dipanjangkan umur Allah Taala, umur 45 dah uban penuh dah kot ganti rambut hitam.

Apa-apa pun, kepuasan saya dalam kerja pensyarah ni ialah apabila melihat pelajar-pelajar yang saya ajar, menjadi manusia yang sebenar-benar manusia. Zuhud dan tunduk pada Allah SWT, tetapi menjadi seorang yang sentiasa menyumbang untuk ummah, dan punyai integriti. Seseorang yang bukan mahu jadi yang biasa-biasa, tetapi yang luar biasa. Apabila seseorang pelajar itu nampak lemah, tetapi mereka bangun semester demi semester untuk melonjak atas usaha sendiri, atas kesedaran setelah dicucuk motivasi ke dalam diri mereka, itulah yang menggembirakan saya.

Wallahu a’lam.

Hormatilah Hak Anak-anak

Masih ramai di kalangan ibu bapa dan guru yang masih tak menghormati hak anak-anak. 
Anak-anak adalah golongan minoriti yang perlu diberikan perlindungan yang sewajarnya. Mereka masih tidak mampu membuat keputusan untuk diri sendiri dan itu adalah tanggungjawab ibu bapa dan guru untuk membimbing mereka membuat keputusan.
Dalam pada masa yang sama, mereka perlu dilindungi. Sekolah misalnya adalah sebaik-baik tempat untuk anak-anak memperolehi perlindungan selain daripada rumah mereka sendiri, jadi hormatilah hak mereka
1. Kurang-kurangkan kongsi gambar anak-anak. Yang penting, jangan kongsikan gambar-gambar anak anda di laman sosial tanpa berbaju atau pada keadaan yang tidak senonoh. Kita tidak tahu jika di kalangan rakan whatsapp atau fb kita merupakan seorang pedophile yang mencari mangsanya.
2. Apabila anak-anak berada di sekolah, usahlah mak ayah nak check-in sekolah mana anak-anak kita masuk kerana anda bakal mengundang tetamu yang tidak diundang! Mohon juga pihak sekolah tidak sewenang-wenangnya melepaskan anak-anak ke luar kawasan sekolah sementara menunggu ketibaan mak ayah atau bas sekolah kerana waktu-waktu sebeginilah penculikan anak-anak boleh berlaku tanpa disedari. Di UK dan kebanyakan negara maju, anak-anak akan tunggu dalam kawasan sekolah sehinggalah penjaga yang datang ambil dan dilepaskan pergi oleh guru kelas.
3. Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan guru untuk tidak berkongsi senarai nama penuh anak-anak di dalam kelas dan di sekolah kepada rakan-rakan di media sosial. Sekiranya gambar sudah dikenalpasti, nama penuh pun dah diperolehi, tidakkah mudah kerja sang penculik dan syaitan pedophile menjalankan kerja mereka? Harini dalam satu lagi laman sosial yang terkenal masih lagi berkongsi senarai nama anak-anak yang panjang lebar tu.
4. Sekiranya ada apa-apa kejadian yang tidak diingini namun nampak lucu dan sebagainya, hormatilah perasaan anak-anak. Janganlah ambil gambar anak tersepit di celah kerusi dan kemudiannya berkongsi menjadikan ia viral. Anak-anak punya perasaan dan apa yang anda lakukan itu akan menjadi bahan cyber bully yang akan merosakkan psikologi dan jatidiri anak tersebut. 
Ketahuilah bahawa anak-anak kecil ini sangat mengagumi ibu bapanya dan juga guru-gurunya, maka kita sebagai golongan dewasa sewajarnya menunjukkan contoh yang baik untuk anak-anak kita dan anak didik kita.

Blog at WordPress.com.

Up ↑