Search

BUBBLES IN THE OCEAN

The humble journey to The Creator: After all, we are just a tiny bubble in the ocean

Category

Travelog Haji

MEMUGAR HATI, MENYEMAI KASIH, MEMBAJA CINTA, BUAHNYA SYURGA

MEMUGAR HATI, MENYEMAI KASIH, MEMBAJA CINTA, BUAHNYA SYURGA

Oleh: Mohammad Tazli bin Azizan, Seri Iskandar, Perak

2014-11-25 17.35.09

Malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Hatiku bungkam lagi. Isteriku merenungku. “Abang tengah fikir apa?” soal isteriku. “Hmm..pasal haji ni, entahlah, risau, takut”, ujarku. Selalu aku terbayangkan kisah-kisah jemaah haji yang berhadapan dengan pelbagai masalah dan rintangan ketika melaksanakan ibadah haji mereka, kerana dosa-dosa yang pernah dilakukan mereka sebelum itu. Ya, aku juga tidak lari daripada dosa dan maksiat. Dan aku khuatir, aku diberikan kesusahan dan kepayahan dalam melakukan ibadahku kelak.

“Abang, sekarang bukan persoalan takut bang, abang tolaklah perasaan itu ke tepi. Kita ke sana untuk membawa pengharapan kita, pengharapan agar dosa-dosa kita diampunkanNya, pengharapan agar doa-doa kita dimakbulkan Allah. Satu pengharapan yang tertinggi mencari kasihNya”, ujar isteriku lagi.

Mendengar penjelasan isteriku, kekhuatiran itu kulupakan seketika, berlalu pergi dibawa puputan semilir pada malam itu. Ya, tidak sampai sebulan lagi maka kami akan menjejakkan kaki ke Tanah Haram untuk mengerjakan haji. Jujurnya, kami tidak menyangka tawaran yang diberikan oleh Tabung Haji seawal itu. Sepatutnya giliran kami ialah pada tahun 2015. Walau bagaimanapun kami yakin, semuanya ini adalah perancangan Allah SWT semata-mata. Tabung Haji hanyalah wahananya sahaja. Kami dijemput oleh Allah ke rumahNya tatkala masih ada 1.5 juta rakyat di Malaysia yang masih menunggu untuk dijemput menjadi tetamuNya.

Beberapa tahun yang lalu, aku berada di kota London untuk melanjutkan pengajian PhDku. Aku membawa bersama isteri dan dua orang anakku, dan yang ketiga lagi lahir di kota London, setelah beberapa bulan kami di sana, Alhamdulillah. Walau bagaimanapun, perjalanan PhDku sungguh berliku. Aku dijangkiti penyakit yang jarang-jarang ada sekarang ini, dengan kebakaran di makmal tempat eksperimenku, bersambung pula dengan kerosakan sampelku, seolah-olah seperti jatuh ditimpa tangga. Pada ketika itu, aku menyedari bahawa Allah ingin mentarbiah diriku. Allah mahu memberikan aku pengajaran tentang hidup, tentang makna sabar, tentang kekuasaanNya, yang bukan di bawah kawalan sesiapa kecuali daripada Allah jua. Dalam tempoh itu juga, kerana aku dan isteriku masing-masing sibuk dengan PhD kami, maka Allah juga uji ikatan perkahwinan kami, supaya kami muhasabah diri dan memperbaiki hubungan kami suami dan isteri. Segala apa yang berlaku seperti kebakaran di makmal dan kerosakan sampelku hanyalah satu pemangkin untuk kami muhasabah diri. Kesudahannya, hanya aku yang berjaya menamatkan pengajianku setelah kira-kira 4 tahun setengah berjuang. Isteriku pula, sebelum mengerjakan ibadah haji, terpaksa berhenti kerana tidak ada kemajuan dan mengakibatkan beliau memperolehi penyakit ‘depression’, akibat tekanan yang berterusan dengan kerja PhD beliau dan menyeimbangkan tanggungjawab kepada keluarga. Sebelum itu juga, Alhamdulillah kami dikurniakan anak yang keempat sejurus selepas kami pulang dari kota London. Sesuatu yang tidak dirancang,tetapi kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya.

Menerima panggilan haji dari Allah SWT, adalah satu hadiah yang terindah, hadiah yang lebih baik daripada menggenggam ijazah PhDku daripada universiti tersohor dunia. Namun begitu, dalam keadaan kami yang masih lagi merasakan kekurangan ilmu tentang ibadah haji, dan dengan anak-anak kecil seramai empat orang yang bakal kami tinggalkan, kami benar-benar mengharap moga Allah memelihara mereka denga baik dan sesunguhnya kami redha kerana itulah takdirNya. Makin hari, makin aku tingkatkan amalan ibadahku sebagai persediaan memenuhi jemputanNya. Terkadang jua dadaku berombak dan sesak, lantas aku luahkan rasa resah itu di atas tikar sejadah, memohon agar Dia mempermudahkan urusanku ketika menunaikan ibadah di Tanah Haram kelak.  Dalam rasa debar membawa pengharapan ini, Alhamdulillah, perjalanan kami  menuju ke sana dipermudahkanNya. Kami dikelompokkan dalam kumpulan penerbangan KT34, penerbangan yang pertama dari Malaysia ke Jeddah kerana penerbangan sebelum itu semuanya ke Madinah terlebih dahulu. Kami mengerjakan haji tamattu’ iaitu mengerjakan ibadah umrah dahulu sebelum mengerjakan haji. Walau bagaimanapun, isteriku terpaksa berada dalam ihram selama 10 hari. Kami berdua agak terkilan kerana tidak dapat mengerjakan ibadah bersama-sama. Namun, apabila difikirkan kembali, sebenarnya aku diberikan peluang oleh Allah untuk memburu cintaNya berkeseorangan menuju ke Baitul ‘Atiq. Ya, apabila kita mati kelak, kita akan berkeseorangan di dalam kubur, bukannya dengan anak-anak, isteri dan ibu bapa yang kita sayangi. Maka, biasakanlah berkeseorangan seketika kerana tiba masanya, kita akan berkeseorangan juga kelak, menunggu hari kita dibangkitkan semula.

Apabila aku melangkah ke masjidil Haram, ia adalah satu pemandangan yang sudah tidak sama ketika aku melangkah ke sana 13 tahun yang lalu. Perbezaan yang sungguh ketara dalam pemodenan bangunan masjidil Haram dan bangunan-bangunan di sekelilingnya yang menyebabkan aku sudah tidak kenal lagi tempat itu. Namun begitu, saat aku melangkah ke dalam dan mataku melirik Kaabah, air mataku berjurai. Syukur ya Allah, meskipun hambaMu ini berdosa, kasihMu tidak pernah pudar ya Allah. Ya Allah, Engkau telah memugar semula perasaan cinta ini padaMu, ya Allah. Sudah banyak tahun aku terkadang melupakanMu, aku melengah-lengahkan solatku, aku enggan memperbanyakkan solat sunat, apatah lagi amalan puasa sunat, aku memberikan seribu satu alasan untuk tidak ke majlis ilmu, malahan tidak pula memberikan alasan apabila melakukan perkara lagha. Aku terlalu banyak mengikut nafsuku berbanding suruhanMu. Namun kali ini ya Allah, Engkau tidak mahu lagi aku tercampak dalam perkara-perkara yang membinasakanku, maka Engkau memanggilku pulang. Pulang kepada fitrah.

Di sini lahirnya semula sebuah cinta. Cintaku kepada Ilahi.

Sebelum bergerak ke kota Mekkah, aku dan isteriku membawa bersama-sama kami buku-buku berkenaan ibadah haji, motivasi haji dan sirah. Salah satu buku yang sungguh mengujakanku ialah sebuah buku  yang bertajuk The Sealed Nectar, karangan Sheikh Safi-ur-Rahman Al-Mubarakpuri. Buku ini telah memenangi hadiah tempat pertama di peringkat antarabangsa tentang penulisan biografi Rasulullah SAW yang dianjurkan pada tahun 1979.  Aku telah membeli buku ini beberapa tahun yang lalu tetapi tidak pernah berkesempatan membacanya. Apabila pertama kali aku membacanya, pandangan aku tertancap dan ia tidak lekang daripada berada di sampingku. Buku ini aku bawanya ke mana sahaja, hatta ke Masjidil Haram. Apabila selesai membaca al-Quran, aku akan menyambung pula bacaanku dengan buku ini. 584 muka surat aku habiskan dalam tempoh seminggu. Daripada bacaan ini, maka lahirnya kecintaan dan kekagumanku yang mendalam kepada Rasulullah SAW. Buku ini memperhalusi aspek kehidupan Rasulullah sehinggakan tika aku bertawaf sunat, aku boleh bayangkan, ya di pintu Kaabah ini Rasulullah berdiri ketika peristiwa Fathul Makkah, ya, mungkin di sini Rasulullah sujud dan diletakkan dengan perut unta oleh orang kafir Quraisy (yang menyebabkan aku menangis), ya, di sini Rasulullah tawaf dengan untanya. Sepanjang ziarah di Mekkah pula, terbayang-terbayang pula di mana Rasulullah berdiri di Jabal Rahmah untuk membacakan khutbah haji wida’ baginda, terintai-intai bagaimanakah baginda memanjat bukit Tsur bersama sahabat baginda yang dikasihi, Saidina Abu Bakar As-Siddiq untuk bersembunyi daripada musuh, dan bagaimana pula Asma’ bt Abu Bakar yang mengandung membawakan makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar. Membaca buku tersebut tambahan pula ketika berada di kota Makkah, aku merasakan seolah-olah aku sebenarnya berada dalam saat dan tika Rasulullah masih hidup. Isteriku menangis membaca buku itu ketika membayangkan betapa peritnya kesakitan Abu Bakar yang digigit kala jengking sehingga air matanya menitis mengenai wajah Rasulullah. Apabila kami ke kota Madinah al-Munawwarah, perasaan cinta kepada Rasulullah itu makin menebal dan mendalam. Sepanjang perjalanan di dalam bas dari kota Makkah ke kota Madinah, aku membayangkan bagaimana Rasulullah berhijrah dalam keadaan panas terik dan di celahan batu-batu besar.  Aku menziarahi masjidnya,  maqamnya, maqam para sahabat, al-Baqi’, bukit Uhud, masjid tujuh di mana berlakunya perang Khandak, dan apa yang disimpulkan, tidak dapat kami gambarkan betapa bersyukurnya kami diberikan peluang menyuburkan cinta kami kepada Allah dan Rasulullah SAW dalam perjalanan haji ini. Ia bukan satu perasaan mainan, ia adalah perasaan yang benar-benar datang dari lubuk hati yang dalam.

Ada satu muka surat dalam buku itu yang sangat meruntun perasaan ini ialah berkenaan perang di Bukit Uhud. Pastinya kita maklum bagaimana perang Uhud terjadi. Bagaimana tentera Islam yang pada mulanya seolah-olah menang mula disibukkan dengan rampasan perang tetapi akhirnya digempur oleh tentera Khalid al-Walid (yang masih belum Islam ketika itu). Kita juga tahu bahawa lebih daripada 70 orang sahabat Rasulullah yang mati syahid dalam peperangan ini. Peperangan ini bukanlah lambang kekalahan umat Islam dan tidak juga petanda kemenangan kafir Quraisy. Di sini juga kita ketahui tentang kewujudan golongan munafik yang berjumlah 300 orang di bawah pimpinan Abdullah ibn Ubai yang menarik diri daripada berperang apabila masa berperang hampir tiba.

Ada satu peristiwa kecil di dalam perang ini yang sungguh mengesankan jiwaku dan isteriku. Hatta apabila kami menziarah bukit Uhud, ia adalah ziarah yang menyebabkan air mata kami tumpah lagi. Apabila selesai perang, Rasulullah dan sahabat-sahabat yang tinggal pulang ke kota Madinah. Baginda disambut oleh Hamnah bt Jahsy, iaitu isteri kepada Mus’ab bin Umair dan adik kepada Abdullah bin Jahsy dan Zainab bt Jahsy, isteri Rasulullah SAW. Hamnah bertanyakan kepada Rasulullah tentang syahid Uhud. Rasulullah menyatakan kepadanya bahawa abang kandungnya, Abdullah bin Jahsy telah syahid maka berkata Hamnah, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali, moga Allah mengampuni dosanya”. Baginda Rasulullah SAW kemudian memaklumkan kepada Hamnah bahawa bapa saudaranya, Hamzah Abdul Mutallib telah syahid, maka Hamnah juga mengucapkan ucapan yang sama. Seterusnya, Rasulullah memberitahu Hamnah bahawa suaminya, Mus’ab bin Umair juga telah syahid. Tatkala itu, Hamnah meraung dan menangis kesedihan atas pemergian suaminya yang tercinta. Rasulullah bersabda, ” Suaminya mempunyai tempat yang istimewa di hatinya (Hamnah)” [Ibn Hisham 2/98]

Sungguh, menitis air mataku. Menitis rasa sedih atas perpisahan sementara antara dua jiwa yang sentiasa berkasih sayang, berkongsi tempat tidur mereka hanya semata-mata kerana Allah, membuai cinta hanya semata-mata kerana Allah, dan kesanggupan merelakan sang suami, abang, ayah, dan anak-anak syahid di jalan Allah. Aku gembira pula membayangkan alangkah di syurga nanti, Mus’ab menanti isterinya di pintu syurga, mendepakan tangan dan memeluk isterinya sambil berpimpin tangan menuju ke syurga. Aku juga membayangkan Rasulullah SAW pula menantikan sahabat-sahabatnya dan ahli keluarganya di pintu syurga. Dengan tangan yang terbuka menjemput “Ahlan! Ahlan!”. Dengan pelukan mesra mereka dan senyuman-senyuman yang sentiasa tidak henti-henti mengucapkan kalimah mengagungkan Allah SWT. Membayangkan mereka yang sudah lama berpisah antara suami dan isteri, antara ibu dan anak, antara ayah dan anak, tetapi disatukan kembali dalam syurga.

Kemudian, aku juga terbayangkan jika samada aku atau isteriku yang tersenyum di pintu syurga menantikan antara satu sama lain. Menyedari hakikat bahawa sebelum ini hubungan kami pernah merudum ke tahap yang kami hilang kawalan, maka aku dan isteriku tidak mahu lagi ia berulang. Aku ingin mataku yang merenung kekasihku iaitu isteriku di dunia, akhirnya menjadi kekasihku di syurga yang kekal abadi. Dan kami juga mahu menunggu anak-anak kami, bertemu kembali dengan ibu bapa kami, saudara mara dan sahabat handai yang mana kita semua bakal berpisah di dunia sementara. Akhirnya di dalam syurga itu, kita bersama-sama bertikarkan permaidani yang empuk dan indah seperti yang digambarkan dalam surah ar-Rahman, memetik buah-buahan yang dekat di hadapan mata sambil kita bergurau senda. Alllahu!

Ya, hakikatnya kita semua akan MATI.

Tetapi berapa ramai di antara kita yang sudah menyiapkan diri untuk mati? Ataupun antara suami isteri yang menyiapkan diri bersama-sama menghadapi hari kematian? Berapa ramai di antara kita yang tidak mengejutkan suami atau isteri mengerjakan solat Subuh apatah lagi solat tahajjud, berapa ramai yang berpuasa sunat bersama-sama suami isteri? Berapa ramai yang menuju ke masjid berpimpin tangan dengan anak-anak untuk solat fardhu? Berapa ramai yang merancang untuk akhirat, bagaimana menambahkan ilmu agama bersama-sama, menjadikan keluarga kita keluarga pencinta Al-Quran? Nyatanya, itu adalah aku sebelum mengerjakan ibadah haji.

Tidak kurang juga ramai suami atau isteri yang menjaja keburukan pasangan kepada orang lain, sentiasa mencari salah dan silap pasangan masing-masing, sentiasa merasakan dirinya sahaja yang layak ke syurga, seolah-olah tidak dihingin lagi pasangan yang ada di dunia ini. Nauzubillah!

Jika cinta kerana Ilahi, kenapa dibiar isteri tidak menutup aurat?

Jika cinta kerana Ilahi,kenapa dibiar suami meninggalkan solat tanpa dinasihati?

Jika cinta kerana Ilahi, kenapa bertengkar hal ehwal rumahtangga seolah-olah dirasuk jin dan syaitan?

Jika cinta kerana Ilahi, kenapa diri berlaku curang kepada isteri, kenapa diri berlaku curang kepada suami?

Jika cinta kerana Ilahi, kenapa anak-anak dibiarkan kehausan ilmu agama yang bakal menjadi bekalan apabila mati?

Semasa tempoh ibadah haji, inilah perkara yang aku dan isteriku temui, iaitu kemanisan beribadah bersama-sama, memburu cinta Allah dan cinta Rasulullah. Sepanjang tempoh itu (kecuali apabila isteriku dalam keuzuran), semuanya kami luangkan bersama, berjalan ke masjid bersama-sama, bertawaf sunat bersama-sama. Dan kami sedar bahawa inilah perkara yang kami kurang ambil berat sebelum ini. Kami tidak merancang bersama untuk kehidupan di syurga namun hanya merancang untuk hidup di dunia. Alangkah ruginya kami!

Allah memanggil kami berdua menjadi tetamuNya, penuh dengan hikmahNya. Di tanah Haram itu, berulang-ulang kali perjalanan antara hotel tempat kami menginap dan Masjidil Haram, aku tidak lekang melontarkan  lantunan ‘I LOVE YOU’  kepada isteriku, benar-benar lahir dari lubuk hati, bahawa aku cintakan beliau dan mahu membawanya menjadi ketua bidadariku di syurga kelak. Aku tidak mahu ke syurga keseorangan, maka aku ulang bersungguh-sungguh di Tanah Arafah, bersaksikan debu-debu Arafah, dan bersaksikan langit Arafah, moga Allah ampunkan dosa-dosaku, dosa isteriku dan insan-insan yang aku sayangi, dan tempatkan kami di syurgaMu yang tertinggi bersama-sama dengan Rasulullah dan para sahabat.  Apabila hati dicuit mengingati Rasulullah SAW dan para sahabat, aku ingin melihat dengan mata kepalaku sendiri bagaimana kecintaan sahabat-sahabat kepada Rasulullah, dan bagaimana perawakan Rasulullah, kerana apa yang aku baca, takkan sama dengan kepuasan melihat sendiri dengan mata. Aku mahu melihat Rasulullah tersenyum, sehingga adakalanya menampakkan garisan giginya yang putih bersinar, aku mahu melihat Rasulullah bersalam tangan denganku, yang pastinya baginda takkan melepaskan melainkan aku yang melepaskan genggaman tanganku, aku mahu melihat Rasulullah dalam gamis merah yang menunjukkan kekacakan dan kepahlawanan baginda, dan aku mahu memerhatikan Rasulullah dan akhlaknya, kerana akhlaknya adalah seumpama Al-Quran.

Ya Allah, terima kasih atas jemputanMu ini. Engkau telah mempermudahkan segala-galanya bagi kami. Maka pengharapan yang kami bawa dari tanahair kami, Engkau sambut dengan penuh kasih sayang. Usai ibadah haji, banyak resolusi yang telah kami perhalusi sebagai deklarasi pasca haji kami. Apa yang kami mahu tanam untuk akhirat kami, itu menjadi matlamat utama kami. Apa yang mahu kami tuai daripada anak-anak kami, adalah laba yang besar sebagai saham akhirat kami. Apa yang mahu kami sumbang untuk ummah dan masyarakat, adalah simpanan untuk pencen kubur kami.

Aku akui kerja dakwahku masih di belakang, maka itulah tanggungjawabku selagi aku masih hidup di bumi Allah ini.

Aku akui amal ibadahku masih berlompang, maka itulah tanggungjawabku memperelokkannya, dan memperbaikinya dari hari ke hari sehingga aku dipanggil olehNya

Aku akui akhlakku masih bersisa jijiknya mazmumah, maka itulah tanggungjawabku menyisihkannya, moga ia tidak menjadi pemberat yang membawaku ke nerakaNya, Nauzubillah!

Moga Allah permudahkan perjalanan ini, perjalanan menuju rabbi, perjalanan mengharapkan syurga yang kekal abadi. Andai aku atau isteriku yang pergi dulu suatu hari nanti, mudah-mudahan salah seorang daripada kami akan tersenyum menanti-nantikan kehadiran seorang lagi di pintu syurga, dan melangkah bersama-sama sambil disambut oleh Rasulullah dan para sahabat yang sudah masuk dulu sebelum kami. Ah, manisnya!

Dan aku doakan para pembaca cerpen ini juga memperoleh syurganya, dan menjadi jiran tetanggaku di negeri abadi itu kelak. Ameen!

CATATAN HAJI SIRI 4 – ABU AMANINA [UHUD: Memburu Syahid, Meninggalkan Yang Paling Disayangi dan Pertemuan di Syurga]

DSC_2671
Di sinilah bersemadi syuhada Uhud. Moga kita dan mereka akan bertemu, disambut mesra oleh Rasulullah SAW di pintu syurga kelak, Ameen!

 

 

[UHUD: Memburu Syahid, Meninggalkan Yang Paling Disayangi dan Pertemuan di Syurga]

Semasa kami di Makkah al-Mukarramah, saya berjaya menghabiskan buku The Sealed Nectar yang pernah saya ceritakan sebelum ini. Salah satu perenggan yang saya tersentuh ialah berkenaan perang di Bukit UHUD.

Kita pastinya maklum bagaimana perang UHUD terjadi. Bagaimana tentera Islam yang pada mulanya seolah-olah menang mula disibukkan dengan ghanimah tetapi akhirnya digempur oleh tentera Khalid al-Walid (yang masih belum Islam ketika itu). Kita juga tahu bahawa lebih daripada 70 orang sahabat Rasulullah yang mati syahid dalam peperangan ini. Peperangan ini bukanlah lambang kekalahan umat Islam dan tidak juga petanda kemenangan kafir Quraisy. Di sini juga kita belajar tentang golongan munafik yang berjumlah 300 orang di bawah pimpinan Abdullah ibn Ubai yang menarik diri daripada berperang apabila masa berperang hampir tiba.

Ada satu peristiwa kecil di dalam perang ini yang saya mahu kongsikan dan ia sungguh mengesankan jiwa saya dan isteri. Apabila selesai perang, Rasulullah dan sahabat-sahabat yang tinggal pulang ke kota Madinah. Baginda disambut oleh Hamnah bt Jahsy dan Hamnah bertanyakan tentang syahid Uhud. Rasulullah menyatakan kepadanya bahawa abang kandungnya, Abdullah bt Jahsy telah syahid maka berkata Hamnah, “Kita ini milik Allah dan kepada Dialah kita kembali, moga Allah mengampuni dosanya”. Baginda Rasulullah kemudian memaklumkan kepada Hamnah bahawa bapa saudaranya, Hamzah Abdul Mutallib telah syahid, maka Hamnah juga mengucapkan ucapan yang sama. Seterusnya, Rasulullah mengulangi, “Wahai Hamnah, yakinlah suamimu, Mus’ab bin Umair akan diberikan ganjaran oleh Allah”
Hamnah meraung dan menangis kesedihan atas pemergian suaminya yang tercinta. Rasulullah bersabda, ” Suaminya mempunyai tempat yang istimewa di hatinya (Hamnah), beliau boleh mengawal diri apabila abang dan bapa saudaranya syahid tetapi menangis dan meraung atas pemergian suaminya”

Sungguh, menitis air mata saya. Menitis rasa gembira membayangkan alangkah di syurga nanti, Mus’ab menanti isterinya di pintu syurga, Rasulullah menanti sahabat-sahabatnya dan ahli keluarganya di pintu syurga. Dengan tangan yang terbuka menjemput Ahlan! ahlan! Dengan pelukan mesra mereka dan senyuman-senyuman yang sentiasa tidak henti-henti mengucapkan kalimah mengagungkan Allah SWT.

Saya juga terbayangkan jika samada saya atau isteri saya yang tersenyum di pintu syurga menantikan antara satu sama lain. Mata yang merenung kekasih di dunia, akhirnya menjadi kekasih di syurga yang kekal abadi. Dan kami juga menunggu anak-anak kami, bertemu kembali dengan ibu bapa kami, saudara mara dan sahabt handai yang mana kita bakal berpisah di dunia sementara. Akhirnya di dalam syurga itu, kita bersama-sama bertikarkan permaidani yang indah seperti yang digambarkan dalam surah ar-rahman, memetik buah-buahan yang dekat di hadapan mata. Alllahu!

Ya, hakikatnya kita semua akan MATI.

Tetapi berapa ramai di antara kita yang sudah menyiapkan diri untuk mati? Ataupun antara suami isteri yang menyiapkan diri bersama-sama menghadapi hari kematian? Berapa ramai di antara kita yang tidak mengejutkan suami atau isteri mengerjakan solat Subuh apatah lagi solat tahajjud, berapa ramai yang berpuasa sunat bersama-sama suami isteri? Berapa ramai yang menuju ke masjid berpimpin tangan dengan anak-anak untuk solat fardhu? Berapa ramai yang merancang untuk akhirat, bagaimana menambahkan ilmu agama bersama-sama, menjadikan keluarga kita keluarga pencinta Al-Quran dan sebagainya? Nyatanya, itu adalah kami sebelum kami mengerjakan haji.

Tidak kurang juga ramai suami atau isteri yang menjaja keburukan pasangan kepada orang lain, sentiasa mencari salah dan silap pasangan masing-masing, sentiasa merasakan dirinya sahaja yang layak ke syurga, seolah-olah tidak dihingin lagi pasangan yang ada di dunia ini. Nauzubillah!

Semasa tempoh ibadah haji, inilah perkara yang saya dan isteri saya temui, iaitu kemanisan beribadah bersama-sama. Sepanjang tempoh itu (kecuali apabila isteri saya dalam haid), semuanya kami luangkan bersama, berjalan ke masjid bersama-sama, bertawaf sunat bersama-sama. Dan kami sedar bahawa inilah perkara yang kami kurang ambil cakna sebelum ini. Kami tidak merancang bersama untuk kehidupan di syurga namun hanya merancang untuk hidup di dunia. Alangkah ruginya kami!

Allah memanggil kami berdua menjadi tetamuNya, penuh dengan hikmahNya. Di tanah Haram itu, berulang-ulang kali lantunan I love you yang saya lontarkan kepada isteri, benar-benar lahir dari lubuk hati, bahawa saya cintakan beliau dan mahu membawa Putri Nurizatulshiramenjadi ketua bidadari syurga saya.

Usai ibadah haji, banyak resolusi yang telah kami perhalusi sebagai deklarasi pasca haji kami. Apa yang kami mahu tanam untuk akhirat kami, itu menjadi matlamat utama kami. Apa yang mahu kami tuai daripada anak-anak kami, adalah laba-laba yang besar sebagai saham akhirat kami. Apa yang mahu kami sumbang untuk ummah dan masyarakat, adalah simpanan untuk pencen kubur kami.

Moga Allah permudahkan perjalanan ini, perjalanan menuju rabbi, perjalanan mengharapkan syurga yang kekal abadi. Andai saya atau isteri yang pergi dulu suatu hari nanti, mudah-mudahan salah seorang daripada kami akan tersenyum menanti-nantikan kehadiran seorang lagi di pintu syurga, dan melangkah bersama-sama sambil disambut oleh Rasulullah dan para sahabat yang sudah masuk dulu sebelum kami. Ah, manisnya!

Inilah jalan kami, moga Allah berkati dan permudahkan, dan mudah-mudahan sahabat-sahabat saya di sini juga, akan menjadi jiran tetangga kami di syurga Allah kelak, Ameen!

CATATAN HAJI SIRI 3 – ABU AMANINA [ILMU DAN AMAL BERPISAH TIADA]

Kaabah di hati kami
Kaabah di hati kami

[ILMU DAN AMAL BERPISAH TIADA]

Salah satu perkara yang agak menyulitkan saya sebelum berangkat menunaikan ibadah haji ialah keperluan mempunyai ilmu yang mencukupi sebagai bekalan ke sini.

Sejurus sahaja kami menerima surat tawaran mengerjakan haji (awal setahun daripada yang dijangka), perasaan kami pada awalnya bercampur baur. Rasa seronok dan bersyukur tetapi memikirkan kehidupan yang bakal dilalui beberapa bulan yang mendatang sebelum keberangkatan kami agak menggusarkan. Ayah memberitahu melalui panggilan telefon bahawa saya telah dijemput ke tanah suci kerana surat Tabung Haji memang dialamatkan ke Perlis.

Pada mulanya, saya memikirkan untuk menunda ke tahun hadapan, ada tiga sebab utama:

i. Kemampuan kewangan – tak tahu di mana nak dapatkan kewangan sebanyak hampir RM20000 untuk dibayar ke Tabung Haji dalam tempoh sebulan surat diterima

ii. Urusan penjagaan anak-anak -terutamanya Ihsan ketika itu baru sahaja berumur 2 bulan, dan jikalau mengikut perancangan, isteri saya dan Ihsan akan tinggal di Johor dan saya pula menjaga anak bertiga lagi di Seri Iskandar. Ketika pemergian kami, Ihsan akan mencecah 1 tahun.

iii. Persiapan Ilmu Haji – jujurnya ilmu yang kami ada hanyalah ilmu semasa di Tingkatan 5 untuk menjawab soalan SPM, ingat-ingat lupa dan banyak yang lupa. Kursus asas haji ada disediakan untuk 17 minggu, namun berdasarkan perancangan kami untuk berjarak jauh sementara waktu, ia mungkin agak sukar.

Walau bagaimanapun, isteri saya yang meminta saya fikir masak-masak sebelum menolak.

Saya mintak petunjuk dari Allah dan Alhamdulillah, Allah buka lorong. Baru saya teringat, saya ada sekitar RM20000 dalam saham koperasi Felda dan melalui baiah saya dan mama saya, mama membeli saham saya (yang masih atas nama saya), dan wang didahulukan oleh mama untuk mengerjakan haji. Jika selepas ini dividen diterima, maka jumlah yang besar itu akan diberikan kepada mama. Ayah pula bersungguh meminta kami jangan dirisaukan dengan wang belanja kerana ayah akan berikannya kepada kami. Yang penting hanya sediakan wang sendiri untuk dibayar kepada tabung haji.

Ayah dan mama juga dengan berbesar hati mahu menjaga anak-anak kami yang bertiga itu, dan bagi Ihsan pula, sekiranya ibu tak dapat pergi bersama, ibu yang akan menjaga Ihsan sepanjang ketiadaan kami.

Jujurnya, sebab yang ketiga itu tidak dapat diatasi jua. Kerana jarak kami, adakalanya hanya dapat bertemu di KL dan kesibukan menguruskan anak-anak pada hujung minggu, maka kami langsung tidak dapat menyertai walau sekali pun kursus asas haji selama 17 minggu tersebut. Ralat tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.

Ayah selalu mengingatkan supaya persiapan juga harus disertai dengan amal. Memang sebelum ini, saya agak jauh dari masjid, walaupun mengaku kononnya pejuang Islam, kononnya penyampai risalah dakwah. Dunia terlalu banyak di hati, dan adakalanya berat untuk melangkah dengan pelbagai alasan. Apatah lagi jika sang isteri yang menyuruh, tercabar ego seorang suami apabila disuruh. Tidak dinafikan juga, menguruskan anak-anak yang bertiga ini, adakalanya saya terlepas pandang banyak urusan peribadi menuju hari akhirat.

Persiapan yang betul-betul berlaku hanyalah apabila kami menyertai kursus haji intensif di peringkat daerah Perak Tengah yang dianjurkan oleh TH. Tersedar dari lamunan apabila lantunan labbaik menerjah ke telinga oleh ustaz penceramah seiring dengan air mata keinsafan.
“Ya Allah, betapa Ar-Rahim nya Engkau ya Allah, dalam keadaan aku lalai ini, Engkau memanggilku pulang Ya Allah, sungguh besar rahmat dan kasih sayangMu ya Allah”

Sedari itulah, saya berusaha meningkatkan kualiti ibadah solat, berusaha bersungguh-sungguh agar dapat sekurang-kurangnya berjemaah solat subuh , maghrib dan isyak di masjid atau surau. Sesuatu yang pernah saya buat suatu ketika dahulu ketika usia menginjak ke alam dewasa, tetapi dilalaikan dengan KPI dunia. Persiapan ilmu ibadah haji walau bagaimanapun masih lagi kurang.

Allah memberi kesempatan kepada saya melipatgandakan amal dengan hadirnya Ramadhan al-Mubarak. Tatkala itu, tiada lagi jalan menoleh ke belakang. Saya perlu berusaha menambahkan ilmu dan mempertingkatkan kualiti ibadah. Al-Quran yang disentuh bila rasa ada kelapangan diwajibkan agar saya dapat khatam, solat malam ditingkatkan berserta solat taubat dan solat hajat. Taubat agar diri tidak lagi tersasar haluan, dan Allah permudahkan urusan ibadah haji dan pasca ibadah haji.

Apabila masa untuk berangkat makin hampir dan menyedari bahawa amal ibadah sahaja tidak mencukupi dan diri ini memerlukan ilmu dan motivasi untuk melakukan yang terbaik, saya dan isteri terdetik untuk membawa beberapa buah buku yang kami beli sejak dari London selain daripada yang dibekalkan oleh TH. Buku-buku ini tidak kami jamah sepenuhnya semasa di tanahair, dan ada yang langsung tidak diselak.

Kami berangkat ke tanah Haram dalam rasa mengharap dosa terampun dan urusan ibadah dipermudahkan. Kami ada kira-kira 3 minggu sebelum ibadah haji bermula dan saya menyempurnakan dahulu buku Travelog Haji karya Prof Kamil dalam beberapa hari sebagai bacaan sebelum tidur. Isteri saya pula, sementelah berada dalam tempoh ihram yang agak lama menghabiskan buku The Sealed Nectar (Ar-raheeq Maktum), buku tentang biografi Rasulullah SAW. Usai pembacaan daripada isteri saya, saya pula yang membaca buku tersebut tetapi saya membeli sebuah buku yang baru kerana kami berebut-rebut untuk membacanya (Insha Allah selepas ini bolehlah rakan-rakan nak meminjam untuk dibaca). Jujurnya, itu adalah buku yang terbaik yang saya pernah baca dalam hidup saya berkenaan junjungan besar nabi kita, Nabi Muhammad SAW. Buku yang diadun dengan hadith-hadith sahih dan penceritaan berdasarkan al-Quran. Bukunya sangat tebal tetapi keinginan menghabiskan bacaannya sungguh meluap-luap hingga saya bawa ia ke masjidil Haram untuk dibaca apabila selesai membaca al-Quran dan beribadah. Bacaannya bercampur baur antara kesedihan membaca pengorbanan Rasulullah dan sahabat, merembeskan semangat jihad menentang golongan kuffar dan kemarahan kepada golongan munafik. Muncul juga perasaan gembira membayangkan pertemuan Rasulullah dan sahabat-sahabatnya kelak di jannatul Firdaus, dengan penuh harapan bahawa diri ini akan bersama-sama di syurga bertemu baginda Rasulullah SAW kelak. Besar pahala penulis buku tersebut, Insha Allah.

Waktu-waktu makan kami bersama, antara saya dan isteri banyak berlaku diskusi ilmiah tentang sirah Rasulullah dan ibadah haji. Adakalanya semasa makan, mata bergenang dengan air mata berbincang tentang kehidupan Rasulullah. Alhamdulillah, tidak ada masa yang terbuang, sehinggakan seorang abang yang tercuri dengar perbualan kami menyampuk bahawa beliau ‘stress’ mendengar perbincangan kami yang serius. Kami gelak dan tersenyum sahaja mendengar celoteh beliau. Kerana itu juga, rata-rata jemaah sepenerbangan dengan kami memanggil saya dengan gelaran Prof! Moga -moga amalan bedah buku ini diterima sebagai satu ibadah, Amin!

Satu lagi buku yang menjadi bacaan wajib kami ialah buku Getting The Best out of Hajj, yang dikeluarkan oleh pustaka Darussalam. Buku ini dipinjamkan oleh abang Q dari kota London. Kerana kami berebut-rebut untuk membacanya, maka dijustifikasikan untuk membeli sebuah lagi di kota Makkah kerana apa yang ada harus dipulangkan semula. Buku ini ‘highly recommended’ kerana ia merangkumi semua tips yang penting dan amalan ibadah haji yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, contohnya amalan semasa tawaf dan melontar di Jamrah. Baru kami tahu bahawa di Muzdalifah, sunnah Rasulullah ialah rehat dan tidur sehingga menjelang solat Fajar! Kami juga berpeluang membuat perbandingan antara amalan ibadah haji yang dianjurkan oleh TH dan seperti yang dianjurkan di dalam buku tersebut, maka kami membuat yang terbaik berdasarkan nas-nas sahih. Contohnya, kami cuba sebaik mungkin untuk menjamakkan solat di Muzdalifah bukannya di Arafah meskipun seluruh maktab telah bersolat Maghrib dan Isya dulu di Arafah. Ini berdasarkan sunnah Rasulullah yang bergerak dari Arafah ke Muzdalifah ketika Maghrib dan hanya bersolat di sana. Pendek kata, melakukan ibadah haji bukanlah semata-mata atas asbab ikut sahaja apa yang perlu dibuat tetapi TAHU apa yang dibuat, tahu asbab kenapa perlu dibuat, tahu amalan-amalan sunnah ketika ia dibuat dan oleh itu ia mencetus penghayatan yang terbaik. Contohnya setiap lontaran batu di jamrah itu bersimbolikkan pembuangan sifat mazmumah dari dalam diri kita. Kalau kita hanya melontar tanpa ambil penghayatan, apa yang kita dapat hanyalah melontar! Tetapi, kita akan rasa bersyukur kepada Allah Taala apabila kita menghayatinya, kerana Allah izinkan kita membuang sifat mazmumah dari dalam diri dengan setiap lontaran batu itu.

Bacaan-bacaan kami tidak terhenti di situ sahaja, Alhamdulillah. Selesai ibadah haji, kami membeli buku-buku sirah tentang sahabat Rasulullah dan beberapa buku lain contohnya tentang The Hour (akhir zaman) di kota Makkah. Membaca dan menghayatinya sangat mengesankan jiwa yang disucikan selepas ibadah haji umpama sebuah ladang yang baru ditebas lalangnya, ia perlu ditanam dengan tanaman yang bermanfaat dan moga ia tetap subur hingga ke akhir hayat, Insha Allah.

Ya, ilmu tanpa amal adalah umpama pohon yang tidak berbuah, tetapi amal tanpa ilmu juga adalah umpama buah yang hanya dapat makan sekali kerana pokoknya telah ditebang. Moga catatan ini bermanfaat, agar kita dapat meningkatkan bukan sahaja kualiti amal ibadah tetapi penghayatan kepada ibadah melalui ilmu yang ditimba. Insha Allah, kita luangkanlah lebih masa untuk menuntut ilmu akhirat jua meskipun kita disibukkan dengan dunia.

CATATAN HAJI SIRI 2 – ABU AMANINA [DOA]

Sifat kita sebagai manusia ialah sifat pelupa. Pelupa dengan tanggungjawab kita sebagai insan, pelupa dengan fitrah kehidupan kita, pelupa dengan janji-janji kita kepada Allah tatkala ruh kita berada di Loh Mahfudz, dan kita juga pelupa dengan dosa-dosa kita sepanjang kehidupan kita sehingga kita menjadi lupa untuk bertaubat.

Salah satu perkara yang kita seringkali terlupa adalah amalan berDOA. Saya sebelum ini adakalanya hanya berdoa apabila selesai solat, kadang-kadang hanya keluar di mulut, tidak terasa di hati. Pada saya, asalkan usaha yang bersungguh dan gunakan aqal, berolehlah apa yang dicita. Cuma bila hanya terdesak, baru terdetik untuk berdoa. Sedangkan Allah sudah menyebut tentang doa

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Al-A’raf:56)

Alhamdulillah, sepanjang tempoh ibadah haji kami, kami diingatkan semula tentang ‘the power of doa’. Buatla apa-apa perkara, hatta sekecil-kecil benda yang memerlukan urusan kita dipermudahkan, maka kami berdoa, mahu masuk bilik air, kami berdoa, mahu cepat dapat masuk tandas kerana terpaksa beratur panjang di Mina, kami berdoa. Mahu dapat tempat yang terbaik di dalam masjidil Haram, kami berdoa. Mahu masuk ke Raudhah, kami berdoa. Ibadah WUKUF yang menjadi ‘core requirement’ ibadah haji sekalipun, para jemaah diberikan rukhsah untuk menjamakkan solat fardhu, dan beberapa jam yang berbaki itu diperuntukkan hanya untuk berdoa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh, sepenuh hati mengharapkan pengampunan dan perkenan hajat daripadaNya.

Hari wukuf di Arafah ialah satu perasaan yang sukar digambarkan. Tetapi dari situlah timbulnya kesedaran kami yang mendalam tentang hakikat doa yang merupakan senjata bagi orang-orang mukmin.

Allah ialah Tuhan kita, kita adalah kepunyaanNya dan Dia mahu kita berdoa, mengharap ihsan daripadaNya, mengharapkan pertolongan dan bantuan dariNya semata-mata. Allah berikan kita aqal untuk kita berfikir seterusnya bertindak, namun ia juga satu ujian kepada kita adakah aqal kita dipandu nafsu yang menyimpang kita dari Allah, atau aqal itu masih meletakkan kebergantungan total kita sepenuhnya kepada Allah Taala.

Kami juga belajar daripada pengalaman kami, bahawa, doa yang sepenuh hati, lahir daripada lubuk hati yang ikhlas, mengharapkan ianya dimakbulkan dan bimbang ia ditolak, adalah doa yang Insha Allah, dimakbulkan Allah Taala. Walau bagaimanapun, adakalanya doa itu masih belum dimakbulkan dan sekiranya doa itu belum dimakbulkan, ada dua perkara yang kami akan lakukan
i. Cepat-cepat bermuhasabah, memohon ampun dan bertaubat atas dosa-dosa kejahatan diri kita yang kita sedar dan tidak sedar
ii. Berlapang dada kerana Insha Allah, Allah sediakan dan gantikan dengan yang lebih baik Insha Allah.

Satu perkara yang saya sangat bersyukur ketika di Masjidil Haram, ialah bentuk badan saya yang besar, Alhamdulillah. (Insha Allah selepas ini saya akan berusaha mengurangkan lagi berat badan saya). Sebelum ni hingga sekarang saya masih berdoa agar Allah memberikan keringanan pada badan saya supaya saya dapat menjadi contoh untuk anak-anak yang menjaga kesihatan diri, supaya saya dapat banyak bermain dengan anak-anak, dan supaya diringankan badan untuk beribadah kepada Allah. Benar, berat badan sangat mempengaruhi rajin malasnya kita beribadah. Pun begitu, dengan saiz badan saya yang besar, dan kelompok jemaah yang sungguh ramai, sekurang-kurangnya Alhamdulillah, saya tidak rasa terganggu dengan himpitan jemaah ketika bertawaf, dan juga saya dapat menjadi perisai kepada isteri saya ketika bertawaf bersama-sama. Maka tawaf-tawaf yang kami lakukan, Alhamdulillah, keamanan dapat dirasai, cuma pada sesekali dua apabila ada jemaah yang memang sifatnya ‘hostile’ ketika bertawaf dan lebih mementingkan diri sendiri. Maka dengan itu, berlapang dadalah saya dengan Allah Taala, kerana Dia Maha Mengetahui.

Ketika bertawaf juga, adakalanya kita akan berpeluh hingga lencun satu badan kerana dihimpit oleh ribuan manusia, maka pada tawaf Wada (tawaf selamat tinggal) saya, saya tahu dengan jumlah jemaah yang bertawaf yang tidak surut-surut dan keinginan untuk bertawaf dalam keadaan hampir dengan Kaabah iaitu bertawaf di dataran, doa ringkas saya hanyalah agar badan saya tidak berpeluh lencun kerana sebelum ini memang lencun saya berpeluh (sehingga seluar juga basah dengan peluh) dan ini akan mendatangkan rasa kurang selesa bukan hanya kepada saya tetapi kepada jemaah lain yang akan menaiki bas bersama-sama ke Madinah nanti. Subhanallah, walaupun badan tetap berpeluh, tetapi ia tidak lencun seperti selalu. Itulah kuasa doa.

Sebelum saya datang ke sini, saya mohon banyak-banyak kepada Allah SWT berikan saya rakan-rakan sebilik yang baik dan bertimbangrasa, terutama sekali tidak merokok, maka rakan-rakan sebilik saya, baik di Makkah atau Madinah, Alhamdulillah menepati doa yang saya panjatkan kepada Allah Taala. Semua rakan sebilik, Masya Allah memang terbaik!

Sepanjang kami di sini, kami mohon kepada Allah SWT untuk permudahkan urusan-urusan ibadah kami, memberikan kesabaran kepada kami dalam segala jenis urusan berhadapan dengan manusia dan permasalahan, dan sehingga hari ini, Alhamdulillah, urusan itu dipermudahkan. Pun adakalanya kami diuji, tetapi benarlah janji Allah, Dia takkan uji pada perkara yang membebankan kita, dan mengubatinya dengan kesabaran pasti membuahkan kelegaan. Sungguh, ia benar-benar dirasakan sebagai satu anugerah yang terindah dari Allah SWT.

Maka sesungguhnya teman-teman sekalian, berdoalah, berdoalah kepada Allah kerana hanya kepada Dia tempat kita meminta. Sucikan diri kita dengan memperbaharui taubat kita sehari-hari dan berdoalah!

[gambar ialah langit Arafah sebelum Maghrib, 9 Zulhijjah 1435 H, pemandangan dari Maktab 83]

Langit Arafah pada 9 Zulhijjah, menghampiri waktu Maghrib
Langit Arafah pada 9 Zulhijjah, menghampiri waktu Maghrib

Catatan Haji Abu Amanina (Siri 1)

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Sekalian alam adalah kepunyaan-Nya. Maha Suci Allah yang menciptakan setiap makhluk yang bertebaran di atas muka bumi ini.

Allah Maha Agung, Maha Kaya, Maha Pemurah, Maha Pengampun, Maha Mengasihani

Sudah hampir 35 hari saya tidak ‘update status’, memberi komen, hatta ‘like’ apa-apa jua komen di laman sosial ini. Beruzlah daripada kehidupan rutin harian yang memerlukan muhasabah kepada penumpuan total di Tanah Haram ini mengabdikan diri kepada Sang Pencipta. Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu, ia adalah tempoh ketenangan saya dan Putri Nurizatulshira di tahap yang terbaik yang pernah kami lalui dalam kehidupan ini. Ketika status ini ditulis, bas meluncur laju meninggalkan kota Makkah al-Mukarramah menuju ke kota Madinah al-Munawwarah untuk tempoh 9 hari lagi sebelum kami berangkat pulang ke tanahair, Insha Allah.

Allah, kepadaNya kita memohon perlindungan, kepadanya kita memohon belas simpati, belas ihsan dan memohon keampunan dan rahmat kasih sayangNya yang tidak bertepi

Subhanallah walhamdulillahi wallahu akbar. Lailaha illallah, wallahu Akbar. Sungguh kami tidak menyangka, inilah penutup permusafiran jihad ilmu kami sejak beberapa tahun yang lalu, dan bermulalah ‘chapter’ hidup kami yang baru, yang Allah bukakan jalan untuk kami terokai, bagi melangsungkan aturan hidup kami untuk masa-masa yang mendatang, selagi hayat di kandung badan, selagi mana diizinkanNya. Biiznillah.

Allah memberi ilham kepada kami, menempuh jalan mencari ilmu, mentarbiah diri, melalui segala perit getir dalam hidup yang tidak pernah kami jangka sepanjang tempoh 5 tahun yang lalu. Mencari makna hidup melalui kembara ilmu di tempat orang, diberikan ujian yang bertimpa untuk menguji dan meningkatkan keimanan kami, dan pengakhirannya dijemputNya kami menemui jalan pulang, menjadi tetamuNya di Baitullah bagi menunaikan rukun Islam kami yang terakhir, ibadah Haji.

Dalam merasakan betapa ‘Azimnya Allah Taala, betapa kasihNya kepada kami, terselit rasa malu yang mendalam. Betapa tidak, adakalanya kami terpesong haluan, bertindak mengikut hawa nafsu yang melulu, termakan pujukan syaitan yang dilaknatiNya, tapi kasih dan ampunanNya, SubhanAllah. Sungguh, ia adalah satu perasaan yang tidak dapat dirungkai.

Tiap detik kami di sini, merasai keagunganNya, merasai kemanisan ibadah kepadaNya, merasai kasih sayangNya melalui ibrah-ibrah yang kami kutip sepanjang tempoh keberadaan di sini. Di sini, kami merasakan seolah-olah dilahirkan semula, menemui kembali fitrah yang beberapa belas tahun kami ambil enteng, membugarkan kembali betapa kasihnya kami kepada Rasulullah dan para sahabat, salafussoleh dan para tabi’in yang bertungkus lumus berdakwah membawa obor Islam untuk kita nikmati pada hari ini, Alhamdulillah.

Pasca ibadah haji ini Ya Allah, inilah janji kami

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untukMu, Tuhan Sekalian Alam”

Insha Allah, banyak yang ingin kami kongsikan tentang perjalanan kami di sini, dan bagaimana ia mengubah pandang sisi kami tentang makna hidup. Moga Allah permudahkan urusan kami dan teman-teman sekalian, dan moga ia menjadi manfaat sebagai saham kami di alam barzakh dan di akhirat kelak.

Kepada teman-teman sekalian, jika kalian dijemput Allah SWT untuk menunaikan ibadah haji, meskipun ketika usia masih muda, bersegeralah dan usah bertangguh. Itulah jemputan daripada Yang Maha Agung. Usai ibadah haji kami, ia adalah majlis graduasi yang lebih istimewa berbanding kejayaan saya menamatkan PhD saya. ‘Ala kulli hal, Alhamdulillah!

 

IMG_1358

Blog at WordPress.com.

Up ↑