Saya baru sahaja selesai menonton filem Adiwiraku di Astro Ria. Kali pertama menonton sebab masa keluar filem ni di panggung wayang, tak sempat nak menonton. Well done Cheryl Fernando for your hardwork, perseverance and persistence. And I do wish Insha Allah pada masa akan datang, lebih ramai guru seperti Cheryl yang kita akan lahirkan, demi melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang, bukan sahaja dari sudut akademik, bahkan beradab, berakhlak mulia dan pelbagai lagi karakter terpuji.

Pada pandangan peribadi saya, untuk melahirkan pendidik yang cemerlang ini ada beberapa perkara yang perlu ada ✔️ dalam checklist

1. Keinginan yang tinggi

Seseorang yang menjadi pendidik perlulah menjadikan jawatan pendidik ini bukanlah pilihan yang terakhir dipilih sebagai kerjaya mereka. Perlu difahami bahawa, sebanyak mana pun sokongan dan bantuan diberikan oleh kerajaan ataupun majikan, pekerjaan sebagai pendidik adalah pekerjaan yang mencabar, yang akhirnya, hanya kita sebagai pendidik yang mampu menyelesaikannya. Justeru itu, keinginan yang tinggi untuk menjadi sang pendidik adalah prasyarat penting untuk menjadi pendidik yang cemerlang.

2. Menghadiri kursus-kursus Latihan pedagogi dan pembangunan diri secara konsisten

Sehebat mana pun kita selaku seorang pendidik, perkara yang perlu kita sedari ialah- kita tidak ‘perfect’ dan kita perlu sentiasa usaha naikkan taraf diri supaya akan terus cemerlang. Antara caranya ialah secara konsisten menghadiri latihan-latihan pedagogi dan pembangunan diri secara konsisten. Satu lagi pula, janganlah menyangka yang cukup untuk hadiri hanya satu sesi dan kita akan terus menjadi hebat. Mungkin kali pertama kita hadiri latihan, kita hanya akan dapat 50%, kali kedua mungkin 80% daripada apa yang kita pelajari, dengan syarat kita kena buat perkara nombor 3.

3. Amalkan apa yang dipelajari

Satu pesanan yang saya selalu ungkapkan pada rakan-rakan pendidik ialah bila dah hadiri latihan, terus amalkan, jangan bertangguh walaupun yang diamalkan tu hanyalah sedikit-sedikit. Jangan paksa diri untuk buat semua yang kita pelajari dalam kursus dan latihan, akan tetapi jangan juga tinggal semua. Peganglah kepada pepatah Arab ini: Ilmu tanpa amal umpama pohon tanpa buah.

4. Refleksi, refleksi, refleksi

Seorang pendidik yang cemerlang akan sentiasa memandang dan membuat refleksi semula atas apa yang mereka lakukan di dalam dan di luar bilik darjah. Adakah pelajar memahami apa yang aku ajar sebentar tadi? Kenapa beberapa orang pelajar kat belakang tu nampak ‘struggle’? Kenapa tiba-tiba ada ‘moment’ pelajar macam susah nak faham? Nampak beberapa orang pelajar ada penambahbaikan dari segi karakter dan nilai, apa yang telah dilakukan sehingga mereka berupaya capai tahap tersebut?

Ini adalah soalan-soalan yang kita sebagai pendidik perlu soal diri, paling bagusnya kita dokumentasikan. Biarlah ia merupakan diari peribadi diri.

5. Mencungkil bakat, mengasah kemahiran dan kreativiti pelajar dengan sokongan ‘scaffolding’.

Sebagai pendidik, memang kita mahu pelajar-pelajar kita mencapai tahap-tahap tertentu, dan mempunyai kemahiran tertentu setelah mereka melalui kelas pengajaran kita. Maka disebabkan itulah kita memberikan peluang kepada pelajar kita melalui ‘project based learning’, ‘problem based learning’ atau ‘collaborative learning’. Akan tetapi kita tidak boleh terus berharap agar kemahiran yang kita nak cungkil akan terus terbit dengan cara kita beri projek kepada pelajar, sedangkan setiap pelajar itu unik, dan adakalanya di kalangan mereka, ada yang memerlukan perhatian yang lebih dan amalan ‘scaffolding’ sebelum mereka berupaya mencapai kemahiran yang diinginkan. Konsep scaffolding ni macam ni: kita nak pelajar kita petik buah di pokok, kali pertama mungkin kita kena tunjuk contoh, ataupun mungkin kena sediakan tangga kecil untuk mereka panjat dan petik buah itu. Tapi tidaklah selamanya kita kena tunjuk contoh atau sediakan tangga itu. Lama-lama kita cabut bila kita tengok pelajar semakin mahir. Secara peribadi saya lihat ada pendidik yang langsung tidak sediakan scaffolding, ada pendidik pula yang membiarkan scaffolding itu menjadi ‘permanent structure’ sehinggakan pelajar-pelajar menunggu untuk di’spoonfeed’.

6. Bermotivasi tinggi dan memotivasikan

Ada masanya kita akan ‘terduduk’ dengan karenah pelajar, rakan sekerja ataupun majikan. Ya, adakalanya kita akan rasa dihenyak dan kita rasa ‘down’. Isunya ialah jangan membiarkan suasana dan situasi itu (budak wechat kata C2ac) memakan diri kita. Bangkitlah. Bersemangatlah hatta apa pun yang berlaku. Anak-anak murid kita tak mahu melihat kita ber’sendu’ kerana kita perlu kuat untuk mereka. Justeru itu, seorang pendidik yang cemerlang juga mempunyai karakter sebagai pemberi motivasi kepada para pelajar. Sungguh, saya tak percaya kepada khidmat pakar motivasi yang hanya memberikan motivasi ‘one off’. Guru dan pendidik itulah yang perlu memberikan kata-kata motivasi dan perangsang yang konsisten baik di dalam kelas atau di luar kelas kepada para pelajar.

7. Berkongsi material dan kaedah dengan pendidik lain- mentoring and coaching others

Sharing is caring. Seorang pendidik yang cemerlang tidak akan terhenti dengan menjadikan kelasnya dan pelajarnya sahaja menjadi yang terbaik, bahkan akan berusaha untuk berkongsi kaedah dan bahan mengajar yang mereka gunakan untuk kegunaan pendidik lain, malahan bekerjasama dengan pendidik lain supaya para pelajar dapat ‘make sense’ dengan apa yang dipelajari.

Saya rasa setakat itu sahaja perkongsian saya ini. Terima kasih sudi membaca. Sharing is caring.