judgmental.jpg

Saya bersembang di whatsapp dengan seorang adik, kenalan Sabah (saya harini cerita pasal orang Sabah saja, haha) yang saya pernah ceritakan dalam satu post saya bulan April yang lalu. Insha Allah tak lama lagi dia akan menjadi graduan. Tapi hari ini, ceritanya tidak kurang memeritkan perasaan saya.

Beliau aktif dalam sukan bolasepak di universitinya utara semenanjung, yang pastinya bukan UTP haha. Tapi dalam pasukannya, hanya dia sahaja yang belum Islam. Lawatan saya ke Sabah pun dulu menunjukkan masyarakatnya biasa sahaja dengan saudara mara dan jiran-jiran yang berbeza agama, tidak judgmental, tidak ada yang cuba menyisihkan antara satu sama lain. Aman, tenteram, bahagia.

Tapi sebentar tadi, dia mesej saya menceritakan ada di kalangan sahabat sepasukannya di universiti tempat dia belajar sekarang yang mempersoalkan dia, kenapa dia tak masuk Islam? Dia tanya kembali, kenapa? Alasan kawannya, yelah, dah kawan-kawan kau semua Islam, masuklah Islam. Lame excuse. Ini saya copy balik apa yang dia mesej pada saya

“Depa igt tukar agama lepas tu alhamdullilah ada saudara baru. Tp depa x tau mcm mana struggle org tu nak mendalami agama baru dia. Malah depa xbantu pun”

Keduanya dia beritahu ada seorang perempuan Muslim menyampaikan salam kepadanya, kemudian perkara ini terjadi..

“Hari ni ada budak perempuan kirim slm. Yang budak perempuan ni xtanya pun pasal agama saya, tapi tiba2 member balas kat perempuan tu yg saya ni bukan islam. Sampai mcm tu sekali depa letakkan perbezaan”

Atas alasan yang kawan-kawannya berikan supaya dia masuk Islam, dia cakap camni

“Saya fikir, saya berkawan dgn hang bukan sebab agama hang. Sebab hang tu manusia mcm sy. Sebab tu aku berkawan dengan hang”

Teman-teman sekalian, cuba letak diri kita sebagai seorang Muslim di kalangan 20 orang Kristian atau Buddha yang mengusik-usik kita bila nak masuk Kristian, apa perasaan kita?

Kalaulah kita pamerkan wajah Islam sebegini rupa, siapa yang nak masuk Islam? Sekurang-kurangnya saya bersyukur, adik tu masih mesej saya untuk menyatakan rasa kurang senangnya, masih ada tempat mengadu dan saya beritahu pada dia, tiada siapa pun yang berhak memaksa seseorang yang tidak Islam masuk agama Islam. Itu semua hidayah yang Allah jentik dan berikan kepada setiap seorang. Seyakin kita sebagai seorang Muslim, yakinkah kita akan mati sebagai seorang Muslim?

Kalau kita ada kawan yang belum Islam sekalipun, janganlah mainkan perasaan mereka. Mereka manusia seperti kita. Kadang-kadang kita yang jauhkan mereka dari Islam kerana kita nak sangat tunjuk kita yang superior. Tak ada langsung perasaan Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam, rahmatan lil alamin.

Itulah yang terjadi di Malaysia ni juga, sebagai Muslim kita rasa berhak atas segala-galanya. Yang belum Islam ni tak layak pegang ketua hakim, tak layak pegang menteri undang-undang, dan tak layak pegang peguam negara. Kesemuanya dilabelkan. Wajah Islam apakah yang kita cuba pamerkan?

Salahkah mereka ini lahir di kalangan bukan Islam, di kalangan cina, India, Kadazan dan Dusun yang akhirnya kita menjadi zalim menidakkan hak-hak mereka sebagai manusia yang merdeka?

Kalaulah akhlak buruk yang kita pamerkan, bagaimana yang belum Islam ini akan minat dengan Islam? Kalaulah sikap judgmental yang kita pamerkan, siapa yang akan masuk Islam?

Masuk Islam bukanlah satu benda yang boleh dipaksa-paksa, ia semuanya kerja Allah Taala. Allah dah sebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 256. Yang penting kita sebagai Muslim ni menjadi wasilah buat yang lain untuk menjadi Muslim juga. Tapi kalau kita sendiri tunjukkan contoh yang tak baik, akhirnya kita sendiri menjadi fitnah untuk Islam.

Ya kita memang excited kawan baik kita masuk Islam, tapi sedarilah bahawa ia adalah satu proses, bukan satu paksaan. Rapat dengan mereka dan santuni mereka bukan kerana kita ada niat tersembunyi, tetapi kerana keikhlasan sebuah persahabatan itu. Mungkin dengan asbab itulah hidayah Allah terjentik.

Santunilah mereka ini sebaiknya. Kerana mereka juga punyai jiwa, akal, hati dan perasaan seperti kita.

Pen off.

Really frustated.