FIXED MINDSET VS GROWTH MINDSET

Sepanjang pemerhatian saya mengajar kelas kejuruteraan ini sejak tahun 2005, saya mendapati mereka yang kerap memberikan alasan untuk menghantar lambat ‘assignment’, tidak terlibat aktif dalam aktiviti kumpulan, tidak ‘perform’ dalam kelas dan mempunyai pencapaian yang ‘mediocre’ boleh dibahagikan kepada beberapa kategori antaranya:

i) Pelajar-pelajar yang sedia lemah dan kurang motivasi dalam pelajaran
Mereka mungkin tidak tahu dengan lebih jelas kenapa mereka perlu belajar subjek kejuruteraan ini. Ada di antara mereka sendiri tidak pasti kenapa mereka mengambil jurusan kejuruteraan ini, ada yang rasa mungkin buat engineering ini ‘cool’ tetapi rupa-rupanya apa yang mereka pelajari sangat susah, dan tidak terjangkau dek akal mereka. Ada juga yang mungkin di’paksa’ oleh parents mereka yang juga jurutera. Ada juga yang rasa terbeban kerana pada pundak merekalah terletaknya harapan keluarga. Maka apabila berhadapan dengan subjek-subjek yang susah, mereka makin tak ketahuan dan akhirnya mengalah sahaja. Tambahan pula bila bertemu dengan rakan-rakan yang sekepala dengan mereka, mereka membuat konklusi, ada juga yang sama kepala dengan aku. Jadi aku taklah sorang-sorang jadi loser yang ‘cool’. Let the time heal and go with the flow.

ii) Pelajar-pelajar yang terlalu sibuk dengan ‘event’
Ada di kalangan pelajar ini yang merasakan bahawa bidang yang mereka pelajari bukan lagi ‘forte’ mereka, menyibukkan diri dengan event-event yang akan menyebabkan mereka tidaklah rasa lemah, sebaliknya mereka disanjung atas pengorbanan mereka dan sumbangan mereka. Inilah dinamakan sebagai escapism. Maka saban tahun, makin banyaklah pula event yang mereka ceburi kerana ‘they feel good when they are actually doing this!’. Akibatnya, apabila tidak dapat mengimbangkan antara belajar dan event, ‘performance’ mereka di dalam kelas menjunam dan kerap memberikan alasan terlibat dalam event untuk menghantar lewat ‘assignment’.

iii) Pelajar-pelajar yang sudah terbiasa dengan ‘spoonfeeding style’.
Sistem persekolahan selama 11 tahun yang hanya melibatkan interaksi sehala antara guru dan pelajar (guru memberi, pelajar menerima), dan apabila menghampiri peperiksaan akhir (UPSR/PMR/SPM) maka disajikan pelajar dengan latih tubi dan ‘spot’ soalan peperiksaan mengakibatkan mereka hanya menunggu sahaja metod yang sama disajikan kepada mereka di peringkat universiti. Apa yang berlaku, mereka sukar untuk mengubah cara mereka mempelajari sesuatu perkara dengan metod yang baru dan akhirnya apabila banyak diharapkan kepada mereka untuk melakukan SELF-LEARNING, mereka gagal untuk mengadaptasi dengan benda baru. Ini terjadi kerana mereka sudah terbentuk dengan fixed mindset dan bukannya ‘growth mindset’. Sejak kecil, mereka dipuji kerana kepandaian mereka dan bukannya usaha mereka. Sila lihat link video yang saya kongsikan supaya pembaca sedar apa maksud growth dan fixed mindset. Kredit kepada founder Parent Connect, kak Fidah atas perkongsian video ini kepada saya tempoh hari.

iv) Pelajar-pelajar yang terlibat dalam kumpulan Islamis dan menggunakan alasan buat kerja untuk Islam lebih daripada mencukupi untuk ‘score’ dalam kelas

Saya tak pasti samada saya menggunakan pemilihan title yang bijak ataupun tidak dalam perkara ini. Saya pasti ia menimbulkan kontroversi, tetapi itulah realitinya. Sepanjang pemerhatian saya sejak saya bergelar pensyarah, pelajar-pelajar yang lemah juga datangnya daripada mereka yang aktif dalam persatuan Islam dan bergelar ahli jemaah kepada jemaah tertentu. Mereka sibuk dengan aktiviti usrah, tamrin, persatuan, amal jamaie dan amal ijtimai’e mereka, tetapi saya tidak tahu kenapa mereka tidak bermotivasi untuk belajar secara bersungguh dalam bidang disiplin mereka sendiri. Mereka bukanlah ‘failure’ tetapi pencapaian mereka biasa-biasa sahaja. Ada yang mengulang subjek. Saya sendiri pernah terlibat dalam kumpulan ini sejak zaman ‘undergraduate’ dan ada juga beberapa kali saya dihidangkan dengan analogi pencapaian akademik tidak sepenting kerja-kerja untuk Islam, namun saya tidak bersetuju dengan pernyataan itu. Saya dan rakan-rakan saya termasuk isteri saya sendiriPutri Nurizatulshira, cuba untuk ‘defy this myth’ dan Alhamdulillah kami mendapat keputusan yang baik kerana kami tak follow the flow. Saya meyakini ia tidaklah menjadi pegangan dan prinsip utama jemaah-jemaah ini, tetapi sekiranya ia datang dari mulut salah seorang yang mereka sanjungi (seperti naqib mereka, senior mereka) dalam sesi-sesi pertemuan (usrah, ziarah, tamrin), ia sedikit sebanyak boleh mempengaruhi cara pemikiran mereka. Sebagai contohnya, jika ada senior yang sudah bekerja, menyampaikan pengisian contohnya kita tak perlu pun belajar hebat-hebat sangat, nanti dapat kerja jugak sebab kita dah tolong buat kerja untuk Islam, pada saya itu adalah satu pernyataan yang sangat berbahaya dan sangat dangkal.

Bayangkanlah saya pernah berhadapan dengan satu kes di mana seorang pelajar ini merupakan ahli jemaah, dia tidak terlibat aktif dalam kumpulan studynya dan mengakibatkan seorang pelajar bukan Islam di dalam kumpulan itu, melaporkan kepada saya yang pelajar ini lambat hadir ketika perbincangan tentang projek dan sukar nak menetapkan tarikh pertemuan hanya kerana pelajar ini ada ‘event’ lain. Apabila buat sesi refleksi selepas pembentangan, pelajar Muslim ini ‘menyindir’ pelajar non-Muslim itu dengan mengatakan kita perlu bersabar, dan membaca ayat al-Quran Innallaha ma’as sobirin di hadapan pelajar non-Muslim itu. Saya terkesima. Wow.

Dalam sharing session kepada pelajar Muslim yang saya pernah kongsikan dengan mereka ialah berkenaan surah Muhammad ayat 7 yang selalu disalahtafsirkan. Allah akan membantu kita jika kita membantu agama Allah. Benar!
Tetapi Allah bukan akan terus bagi kita dapat GPA4.00 apabila kita terlalu sibuk buat kerja persatuan, sampai terus lupa dan menangguh-nangguhkan kerja/assignment yang diberikan oleh pensyarah. Apa bentuk bantuan Allah berikan mungkin saja dalam masa yang singkat kita dapat siapkan revision dengan baik. Contohnya, orang lain perlukan 4 jam, mungkin kita dapat 2 jam sahaja cukup untuk buat revision. Bacalah juga surah al-Mujadalah ayat 11, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya.

Saya juga khuatir dengan persepsi yang dikongsikan oleh sebahagian golongan agamawan dalam jemaah mereka apabila dikongsikan cerita-cerita mitos yang tidak dapat ‘verification’. Saya dulu pernah disajikan dengan cerita yang ada seorang naqib usrah ini ditugaskan untuk ‘travel’ ke luar kawasan ketika mana esoknya dia ada ‘exam’. Jadi beliau bertawakkal ikut arahan yang diberikan, dan keesokan harinya apabila tiba waktu exam, beliau tidak study pun dan beliau dapat jawab dan cemerlang dalam peperiksaan. Ada beberapa kemungkinan tentang cerita ini, 1. Mungkin ustaz itu dah buat revision awal, 2. Mungkin dia seorang yang memang pandai, dan cuma absorb apa yang dipelajari di dalam kelas. Ada juga yang menambah cerita tersebut dengan mengatakan dia tertidur semasa exam, dan dapat jawapan di dalam mimpi. Entahlah..kalau muda-muda dulu, saya hampir-hampir percaya tetapi saya yakin, Surah Muhammad ayat 7 itu perlu dibaca sekali dengan Surah Al-Mujadalah ayat 11. Kita bukan wali Allah apabila kita terus isi borang nak masuk jemaah, sebaliknya keterlibatan di dalam jemaah adalah untuk ‘improve diri’, dan sepatutnya proses memperbaiki diri itu juga termasuklah dengan pembaikan kita dalam proses menuntut ilmu.

Satu lagi yang sangat merisaukan saya ialah apabila ilmu sains dan kejuruteraan ini disamakan dengan ilmu sekular, dan tidak sama dengan ilmu Feqah, ilmu Syariah dan sebagainya. Mahu saja saya hempuk kepala sang penceramah yang menceritakan perkara bukan-bukan kepada para pelajar ini. Jujurnya, saya pernah ada pengalaman yang ada di antara rakan-rakan sejemaah yang rasa loser dan nak berhenti ambil kejuruteraan dan nak sambung ambil pengajian Islam dan masuk sekolah pondok untuk belajar agama. Dahulu kala, ulama yang faqih dalam Islam, mereka juga faqih dalam bidang kejuruteraan, perubatan dan sains. Contohnya Ibnu Sina. Tetapi sekarang, cabang ilmu yang meluas mengakibatkan kita terpisah dalam menuntut ilmu tentang Islam itu sendiri dan ilmu jurusan sains dan lain-lain. Namun kita lupa, semuanya ini adalah ILMU ALLAH! Kalau kita tidak menghargai ilmu dan bidang masing-masing, adakah kita mengharapkan orang bukan Islam yang akan bawa agenda pembangunan negara ini, sedangkan ia juga adalah tuntutan Islam?

Jujurnya, saya mengharapkan ada masa depan yang lebih gemilang untuk para mahasiswa ini. Saya mengharapkan pelajar-pelajar dalam kategori 1-3 sedar bahawa dunia berubah dan memerlukan mereka untuk berubah menjadi pelajar yang lebih fleksibel dan seimbang, dan terbuka untuk menempuh kesusahan supaya lebih berjaya pada masa akan datang. Bagi kategori 4 pula, tiada nasihat selain daripada cuba untuk bersikap terbuka dan kritikal dalam menganalisa segala pengisian yang diberikan oleh para penceramah kalian di dalam jemaah kalian. Sekiranya banyak disajikan dengan mitos, kalian perlu lebih waspada. Jangan senang-senang dimudahkan otak kalian didoktrin oleh mereka yang memanggil diri mereka orang yang nak bawa kalian kepada agama Allah, tetapi akhirnya menggunakan kalian untuk kepentingan mereka sendiri. Akhirnya, kalian juga yang rugi.

Moga-moga ada sinar yang lebih baik pada masa akan datang. Demi negara ini dan ummah itu sendiri. Kalau kalian mengharapkan suatu ketika nanti kita dapat membebaskan al-Aqsa dan Syria dan mereka yang tertindas di seluruh dunia, inilah masanya. Belajarlah bersungguh-sungguh dalam bidang kalian. Buktikan otak kalian otak yang bernas dan bijak supaya kita dapat mencipta teknologi membebaskan mereka yang tertindas, samada mereka Muslim ataupun tidak.