The-Jungle-Book-Movie-Wallpapers

Hujung minggu lepas saya berkesempatan bawa Falah dan Nurhan menonton The Jungle Book keluaran Disney. Amanina tak ikut sekali sebab harini dia menonton dengan rakan-rakan sekelasnya diiringi oleh gurunya. Menonton filem ini terus membawa saya mengimbau zaman kanak-kanak dahulu apabila saya menjadi pengakap kanak-kanak sejak darjah 4 di Sekolah Kebangsaan Tunku Raudzah, Alor Setar, Kedah.

Teringat dahulu memang diceritakan tentang kisah Mowgli, Shere Khan, Heera, Akela. Sebab itu juga Akela itu merupakan ketua, duduk di tengah-tengah, dan semua pengakap yang mengelilingi Akela akan berkata, “Akela, Kita Buat Sehabis Baik!’, Akela akan bertanya, “Kamu Buat Sehabis Baik?”, dan pengakap lain akan menjawab, “Kami buat sehabis baik!”

Apabila saya amati semula filem Jungle Book, ya, menyertai pengakap adalah satu kenangan yang terindah pada zaman kanak-kanak. Asbab untuk mendapatkan lencana-lencana yang sangat ‘cool’, maka kad kuning perlu dipenuhkan dengan segala macam jenis kemahiran yang perlu diuji oleh guru pengakap kami. Sekiranya lulus, barulah boleh naik pangkat, daripada lencana keris gangsa, keris perak dan keris emas. Anugerah tertinggi pengakap kanak-kanak pula adalah Rambu Pengakap. Dan saya dengan bangganya,merupakan salah seorang penerima Rambu Pengakap di Malaysia smile emoticon. Sebenarnya, saya ‘pulun’ nak dapatkan rambu ini sebab abang saya Ahmad Tarmizi Bin Azizan lah orang yang sangat ‘passionate’ dengan pengakap, dan beliau juga merupakan penerima rambu Pengakap Kanak-kanak. Jadi, atas dasar mahu bersaing (sibling rivalry), saya perlu pastikan saya dapat juga rambu tersebut. Haha!

Dalam pengakap, kami bukan sekadar menyertai perkhemahan, tetapi diajar cara-cara untuk ‘survive’ berseorangan. Ada aktiviti memasak, mengikat tali (bunga keti, bukusila- saya pun dah lupa!), kemahiran buat rak kasut dan rak pinggan menggunakan ranting-ranting kayu. Saya tak pernah miss aktiviti perkhemahan, baik di kawasan sekolah, ataupun di peringkat mukim dan PKG. Pernah dinobatkan pengakap terbaik di peringkat PKG pada ketika kami darjah 5. Saya juga dipilih mewakili negeri Kedah, dengan seorang lagi pengakap darjah 6 ketika saya berada dalam darjah 5 ke Korobori Pengakap Nasional di Kem Kijal, Kelantan. Banyak aktiviti perlu kami lakukan untuk dapatkan cop, dan apabila ‘cop-cop’ ini terkumpul dapatlah dibandingkan negeri mana yang terbaik. Memandangkan pada ketika itu berat badan saya memang dipam-dipam, tak banyak aktviti yang saya dapat ‘complete’. Panjat pokok tu lepaslah, tapi bab mengimbangkan badan atas titian sempit, memang saya gagal, huhu. Tapi entahlah, saya enjoy saja program sebegitu.

Antara satu pengalaman manis semasa berpengakap ini juga, saya diberikan amanah sepenuhnya oleh guru pengakap saya, Ustaz Faiz, untuk mengarahkan pementasan drama untuk dua tahun berturut-turut. Pada kali pertama, semasa perkhemahan badan beruniform di peringkat sekolah. Saya menyediakan skrip tentang Sang Kancil dan Buaya yang saya ubah plotnya, mengakibatkan akhirnya Sang Kancil yang suka menipu itu akhirnya dibaham harimau. Skrip saya yang kedua ialah Bawang Merah Bawang Putih versi baru, yang akhirnya sultan berkahwin dengan mak bawang putih, Haha! Pementasan itu membolehkan kami bergelar juara persembahan, dan juara keseluruhan di peringkat PKG. Saya bawa skrip itu untuk pementasan Kesatria pula ketika berada di tingkatan 1.

Bila saya fikirkan balik, untuk menjadikan seseorang kanak-kanak itu mempunyai daya kepimpinan yang baik, orang dewasa perlu ’empower’ kanak-kanak ini untuk buat perancangan sendiri dan mepimpin rakan-rakan mereka. Boleh saya katakan, semasa saya berada dalam zaman pengakap kanak-kanak dulu, guru-guru pengakap kami, meskipun mengawasi, banyak menyerahkan tanggungjawab kepada kami dan akhirnya membentuk nilai kepimpinan dalam diri kami. Saya juga merupakan kem komandan kawad kaki di sekolah itu, sampailah saya masuk tingkatan 1 pun masih menjadi komandan kawad. Cuma saya dah ‘lost touch’ dengan badan beruniform apabila berada di sekolah menengah. Nak masuk pengakap pun dah rasa segan.

Saya tak pasti bagaimana pergerakan pengakap di sekolah anak saya. Amanina pun dah masuk pengakap, tapi saya pun tak tahu sejauhmana elemen kepimpinan yang saya pernah lalui dulu, diterapkan di kalangan anak-anak. Ya lah, kadang-kadang kita terfikir juga keselamatan mereka, dunia sekarang tidak seperti dulu.

Sifat Mowgli sebagai seorang pemimpin kecil kanak-kanak perlu diterapkan pada anak-anak kita. Ia diharapkan dapat membuang rasa ketakutan anak-anak, dan perasaan tidak mahu mencuba. Marilah menjadikan setiap daripada anak-anak kita seorang Mowgli.

The Jungle Book, 5 STARS.