o-leader-facebook

Sekiranya anda bertanya kepada saya, apa yang saya nak buat dengan tanggungjawab dan jawatan yang saya pegang sekarang, baik dalam kerjaya, persatuan, atau sebagai aktivis, sebenarnya saya nak ‘let go’.

Sebenarnya, sangat sukar untuk menjalankan amanah yang diberikan, kerana setiap satu tindakan kita, pastinya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Tekanan yang diperolehi pula, untuk beramanah dengan jawatan yang diberikan bukannya mudah. Ada saja suara-suara dan bisikan yang cuba mempengaruhi kita supaya mengambil mudah dengan tanggungjawab yang diberikan.

Alah rilek la, bukan orang tahu.
Alah, atas nama je, kerja tu nanti orang lain boleh cover.
Alah, nanti ko bagi la alasan nak mengelat. Politiking la sikit.

Apabila saya diberikan jawatan, saya mahu pastikan kerja yang saya buat adalah kerja yang tip top. Kerja yang bermutu. Kerja yang mendatangkan impak dan menganjakkan paradigma masyarakat dan komuniti yang saya ketuai. Sekiranya saya hanya memegang jawatan atas nama, pastinya kerja-kerja yang dijalankan tidak menepati citarasa saya, dan akhirnya mendatangkan fitnah kepada saya. Saya juga tahu, antara tanggungjawab manusia sebagai khalifah ialah mentadbir alam ini dengan baik. Adalah malang sekiranya atas asbab saya menolak jawatan yang diberikan, maka ia dipegang oleh orang-orang yang tidak amanah dan merosakkan komuniti yang ingin kita bina, iaitu membawa manusia kepada jalan menuju Allah SWT.

Tetapi jika saya diberikan pilihan, bila-bila masa sahaja saya sanggup ‘let go’ jawatan-jawatan yang saya pegang sekarang. CEO Petronas, Datuk Wan Zul pernah memberitahu wartawan dalam sesi wawancara dengan beliau, “in order for you to the best (while holding your position), you must not want the position”

Memegang jawatan, bukanlah matlamat utama kita sepatutnya, kerana apabila kita meletakkan sasaran memegang jawatan sebagai matlamat utama, apabila sudah berjaya memegang jawatan itu, kita akan jadi ‘complacent’ dan selesa. Matlamat utama kita ialah mengubah paradigma masyarakat dan membawa mereka kepada jalan kebaikan, dan sudah pastinya tanggungjawab itu tidak akan putus, sehinggalah kita akhirnya menutup mata mengucapkan selamat tinggal kepada dunia.

Kalau boleh, saya nak let go. Saya nak lebih masa bersama anak-anak dan isteri. Cuma saya tahu, jika saya mempunyai keluarga untuk ditatang, orang lain juga begitu. Mengimbangkan segala aspek kehidupan ini sungguh sukar. Moga-moga segalanya menjadi ibadah sebagai bekalan pencen kubur saya.