bullyexposed-006

Mana-mana mak ayah pun akan risau sekiranya anak-anaknya menjadi mangsa buli di sekolah (buli secara fizikal, mental, cyber bully). Dan mak ayah perlu lagi risau sekiranya masalah ini tidak diselesaikan, anak-anak ini pula nanti akan menjadi pembuli.

Sememangnya ada beza menyekolahkan anak kami di London dan di sini. Amanina dan Falah juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa buli (mental) di sekolah apabila mereka mula-mula masuk ke sekolah itu. Tetapi kami cuba ambil pendekatan proaktif.

1. Kami bersembang sangat kerap antara kami dan anak-anak. Dan kami tekankan daripada awal, apa saja yang tak kena dan tak betul, cakap terus dengan kami. We’re your parents, and you should feel safe talking to us and let us know what happened.

2. Kami cuba menyemai positivity dalam diri mereka. Contohnya kalau ada yang mengejek mereka, berkata yang tidak elok pada mereka, kami beritahu yang kita sepatutnya kasihan kepada mereka yang mengejek sebab mak ayahnya mungkin tak tegur mereka atas tindakan yang mereka lakukan. Kita doa banyak-banyak moga dia berubah sikap nanti. Niat kami adalah cuba untuk menyemai nilai empathy.

3. Kami ‘berkomunikasi’ terus dengan guru kelas mereka. Kami cuba sebaik mungkin buat baik dengan guru kelas anak-anak, kaunselor sekolah hatta pihak pentadbiran sekolah seperti guru besar sendiri. Kami maklumkan isu-isu yang kami rasa besar dan sukar diatasi oleh anak kami, supaya guru kelas dapat bertindak sekiranya ada yang tidak diingini terjadi. After all, kami juga mahu anak-anak kami berdikari sendiri sebagai problem solver dan menyatakan terus dengan guru sekiranya ada perkara yang tidak diingini berlaku.

4. Kita tak mahu anak orang lain buli anak kita, jadi kita sendiri jangan jadi pembuli! Sekiranya anak-anak dibuli, janganlah pula kita ambil tindakan menyerang budak atau melakukan interogasi kepada yang membuli, baik di kompaun sekolah atau di luar. Adalah menjadi satu kesalahan kita ambil tindakan dalam kompaun sekolah sebab sekolah bukan sahaja nak ‘protect’ anak kita tetapi juga keselamatan anak-anak yang lain.

5. Kami proaktif di peringkat PIBG. Sejak anak saya masuk sekolah, saya tak pernah miss mesyuarat agung PIBG dan tak pernah miss bercakap dan memberikan idea-idea dan cadangan kepada pihak sekolah. Adakalanya pagi-pagi saya akan bertemu dengan guru besar dan berbincang program-program tambahan untuk anak-anak murid di sekolah, supaya pengayaan nilai dan kemahiran lain dapat dipertingkatkan, selain daripada kecemerlangan akademik semata-mata.

Mudah-mudahan bermanfaat kepada ibu ayah sekalian.

Pokoknya, kita janganlah pula menjadi PEMBULI!

Mohammad Tazli Azizan & Putri Nurizatulshira

Seri Iskandar, Perak
22 April 2016