Al3fO-4INuxAZfs01B7D3gqAHo9KFdI5rw5GH2Ck8Zbj
Bersama dengan pelajar-pelajar saya yang menghampiri minggu-minggu terakhir kursus praktikal mereka di beberapa OPU Petronas sekitar Kerteh & Paka. Saya berbangga melihat kemajuan mereka, daripada yang biasa-biasa tidak pandai berbicara menjadi yang ada konfiden dalam diri, daripada yang ilmunya tercari-cari, sudah mengenal kemampuan diri. Tahniah kepada mereka. Gred nombor dua. 🙂

 

Antara falsafah yang perlu ada dalam diri pensyarah, guru hatta ibu bapa sekalipun berkenaan pendidikan anak-anak ataupun pelajar ialah:

1. TIADA ISTILAH PELAJAR GAGAL

Tidak ada pelajar/anak yang gagal dalam pendidikan. Mereka hanyalah ‘quick’ atau ‘slow’ learner yang perlu diberikan perhatian dan Insha Allah akan ada satu hari nanti mereka akan bangun dan menjadi insan yang menyumbang untuk ummah, sekiranya kita sebagai pengajar memberikan harapan kepada mereka agar terus berUSAHA.

2. TIDAK MENGKLASIFIKASIKAN ANAK DIDIK

Mengklasifikasikan pelajar dan anak-anak sebagai berjaya dan gagal, akan melemahkan motivasi dan jatidiri anak-anak yang lambat ‘blooming’ dan akhirnya bunga yang mahu mekar, menjadi layu dan sukar untuk mekar kembali. Terlalu memuji-muji pelajar/anak sebagai seorang yang berjaya sedangkan ia hanyalah kejayaan mencapai gred yang baik untuk akademik semata-mata, akan mengakibatkan anak/pelajar menjadi terlalu selesa/complacent untuk berusaha. Akhirnya, mereka malas berusaha apabila wujud halangan/ujian yang lebih sukar pada masa-masa akan datang.

3. GURU SEBAGAI MOTIVATOR

Anak-anak/ pelajar akan suka sekiranya kita memberikan perhatian kepada mereka. Tanggungjawab seorang guru/pensyarah/ibu bapa bukan menjadi ‘content provider’ /pengisi ilmu semata-mata namun perlu untuk menjadi motivator/ pemberi motivasi kepada anak didik supaya mereka akan percaya dengan potensi diri dan terus berusaha tanpa JEMU. Merendah-rendahkan kemampuan mereka akan mengakibatkan mereka hilang motivasi dan malas berusaha.

4. POSITIF PADA KEMAMPUAN

Positif pada kemampuan mereka, meskipun mereka masih tidak menyedari akan hal itu. Guru/pensyarah tidak sepatutnya mempunyai pelajar/anak kegemaran hanya kerana mereka sentiasa menjadi ‘scorer’ dalam subjek mereka dan mudah faham. Sebaiknya, tumpukan kepada pelajar yang lambat tangkap dalam kelas. Sentiasa notis/melihat kepada usaha yang mereka lakukan untuk berjaya, dan sentiasa memotivasikan mereka supaya tidak menggunakan ‘short cut’ untuk mencapai apa yang mereka mahu kerana meniru, copy paste, plagiarism, menipu dalam proses pengajjian adalah MENIPU diri mereka semata-mata.

5. MENYEMAI DAN MEMBAJA ANAK DIDIK MENGIKUT KEMAHIRAN INTELEK MEREKA

Setiap daripada kita mempunyai kemahiran INTELEKTUAL dalam bidang yang berbeza. Kemahiran dalam sukan, kemahiran dalam berucap, kemahiran dalam menulis, kemahiran dalam logik, kemahiran memasak/menjahit dan pelbagai lagi, semuanya berbeza pada setiap individu. Adalah tanggungjawab ibu bapa/guru/pensyarah untuk menyedarkan anak-anak/pelajar bahawa setiap individu adalah UNIK dan ada kekuatan yang tersendiri. Oleh itu sedarkan mereka bahawa bidang yang mereka mahu pilih untuk pengajian di peringkat yang lebih tinggi, haruslah disandarkan kepada kemahiran INTELEK mereka dalam bidang kemahiran mereka. Pendidikan bukanlah sistem robotik untuk memprogramkan manusia dan dikelas-kelaskan menggikut tahap kepandaian mereka, sebaliknya pendidikan adalah untuk menyedarkan anak didik kita akan kemampuan dan keunikan setiap individu dan bagaimana menggunakan apa yang mereka ada untuk diri dan ummah.
Entah mengapa, meskipun saya kenal dengan pelajar-pelajar saya yang cemerlang, saya lebih ‘concern’ dengan pelajar yang lambat mekar, supaya saya dapat sedarkan mereka bahawa mereka mampu, sekiranya mereka berusaha. Justeru itu, kepuasan saya apabila mengajar subjek saya, bukanlah melihat kepada jumlah A pada setiap kali peperiksaan, tetapi melihat kepada sejauh mana USAHA yang anak didik saya letakkan untuk keluar dari kepompong keselesaan atau kepompong yang merasakan diri lemah dan gagal.
Insha Allah saya yakin, sekiranya semua warga pendidik mempunyai hasrat yang sama, datanglah sistem pendidikan yang bagaimanapun, Insha Allah kita mampu melahirkan warga dunia yang lebih baik untuk masa-masa yang akan datang. Pendidikan bukan sekadar untuk menjadikan seseorang itu pandai, tetapi mempunyai sistem nilai.
Ini masanya kita memberikan HARAPAN. Ke arah Malaysia baru.

#HARAPANBARU

#PENDIDIKANABADKE21

Mohammad Tazli Azizan

Seri Iskandar, Perak

30 March 2016