Screenshot 2016-02-20 01.06.38

Sebentar tadi, saya telah dijemput untuk memberikan ceramah kepada ahli-ahli Rakan Masjid UTP dalam liqa’ fikri bulanan mereka. Ceramah saya bertajuk MUSLIM PRODUKTIF: TERSUSUN DALAM URUSAN, dan saya bahagikan kepada dua, dan saya beritahu kepada pelajar-pelajar yang kalau nak tahu bahagian kedua, boleh jemput saya lagi pada masa akan datang, Insha Allah.

Pada malam ini saya berbicara tentang bab pengurusan masa, yang menjadi agenda paling penting dalam aspek pengurusan efektif. Untuk mencernakan pengurusan yang efektif, mahu atau tidak, pengurusan masa adalah kunci utamanya. Saya mengupas buku karangan Stephen R Covey, 7 Habits of Highly Effective People, terutamanya berkenaan pengurusan masa. Saya ulas generasi-generasi pengurusan masa (1st Generation, 2nd Generation, 3rd Generation), dan kenapa semua generasi ini masih tidak mencukupi dalam aspek pengurusan masa, lantaran itu, diperkenalkan pula 4th Generation.

Dalam 4th Generation, saya mengupas berkenaan keperluan mengimbangkan people and task focus. Saya juga menceritakan kepada para hadirin tentang Kuadran-kuadran yang Stephen Covey cipta, dan apakah maknanya kepada kita, sekiranya kita ingin menguruskan masa dan menjadi manusia yang efektif dan cemerlang.

covey_matrix

Masalah kita lazimnya, kita banyak melakukan perkara yang segera dan mustahak (URGENT and IMPORTANT), sehingga menyebabkan kita menjadi penat, ‘burn out’, dan sentiasa dalam keadaan stress. Apa yang berlaku adalah aktiviti ‘firefighting’. Ada sebilangan lagi yang melakukan kerja-kerja yang segera, tetapi tidak mustahak (tetapi mereka merasakan ia adalah sesuatu yang mustahak), contohnya nak balas cepat-cepat emel, nak balas cepat-cepat notifikasi di FB, whatsapps dan sebagainya, ataupun menguruskan mesyuarat berbilang-bilang kali, dan mengambil masa yang lama untuk bermesyuarat. Golongan yang paling ‘tak boleh blah’, ialah mereka yang selalu melibatkan diri dalam kerja-kerja tidak segera dan tidak mustahak (NOT URGENT and NOT IMPORTANT), seperti banyak meluangkan masa menonton filem/movie/kpop, membaca manga/anime, berkomunikasi di whatsapps/fb, tanpa ada jadual dan disiplin diri.

Takziah, kita telah menyiapkan diri untuk menjadi orang yang biasa-biasa ataupun orang yang sentiasa gagal dalam hidup, sekiranya kita banyak meletakkan aktiviti kita berlegar di sekitar 3-3 kuadran ini.

Screenshot 2016-02-20 01.07.19

Namun begitu, mereka yang sentiasa banyak melakukan aktiviti di kuadran 2 (TIDAK SEGERA TETAPI MUSTAHAK), adalah manusia yang mempunyai visi yang jelas dalam hidup, berjaya menyeimbangkan antara people dan task focus, mampu mengawal diri dan berdisiplin tinggi. Mereka adalah golongan yang akan sentiasa melihat terkehadapan. Mereka adalah golongan yang akan sentiasa meminimumkan kuadran 1 (MUSTAHAK DAN SEGERA), dan memperbanyakkan aktiviti di kuadran 2. Contohnya, sebagai pelajar, sudah tahu ujian sejak dari minggu 1 akan diadakan pada minggu ke 5, kenapa malam sebelum ujian baru nak mulakan ulangkaji? Kenapa tidak mulakan sejak minggu ke 3, hanya 15-20 minit setiap hari. Assignment yang diberikan pensyarah misalnya diberikan seminggu yang lepas, tetapi ramai yang akan buat pada malam hari sebelum ‘submission’, hasilnya kualiti ke laut, dan nasib tak baik, perlu re’work’ semula, markah pula rendah dan macam-macam lagi sehingga jadi stress out. Soalannya, kenapa kena perlu tunggu sehingga jadi begitu?

Screenshot 2016-02-20 01.11.09

Saya bertanya kembali kepada hadirin, jadi bagaimanakah nak jadikan kita orang di Quadrant 2?

  1. Bila mulakan pengajian di universiti misalnya, lihat 5 tahun, 10 tahun dan 15 tahun ke depan, siapakah kita pada ketika itu. Bila kita ada matlamat nak dicapai, kita akan punyai ‘big driving force’ untuk membawa kita ke sana. Masalah pelajar sekarang ialah hanya bergantung dari satu semester ke satu semester. Bila daftar subjek, hanya memikirkan bagaimana nak skor/ pass semester tersebut. Bila nak bekerja, hanya mengharapkan apa sahaja peluang yang ada, dengan cita-cita perkara yang baik akan terjadi dengan sendirinya..sedangkan realitinya TIDAK! (Surah Ar-Ra’du ayat 11)
  2. Apabila sudah punyai matlamat, maka di sinilah perlunya kita mengkaji di manakah ‘weak point’ kita. Di manakah kelemahan kita untuk mencapai cita-cita yang kita nak tuju. Contohnya, jika ingin berkahwin selepas graduasi, sepatutnya daripada sekarang sudahpun menabung, meskipun belum punya calon. Daripada sekarang sudah sepatutnya membaca buku-buku dan menimba ilmu kekeluargaan dan keibubapaan supaya tidaklah apabila kahwin sahaja mahu dijadikan semuanya ‘trial and error’.
  3. Sekiranya kita sudah tahu mungkin pada masa akan datang mahu jadi seorang pensyarah contohnya, sudah pastinya sedari sekarang kita akan aktif dalam kelas supaya kita dapat memantapkan gred pencapaian kita, dan dalam pada masa yang sama menyemai minat dan ilmu dalam bidang teaching & learning. Sekiranya ada masalah komunikasi bahasa Inggeris, carilah di mana tempat yang boleh memantapkan lagi ilmu tersebut. Dalam pada masa yang sama, fikirkan bidang apa yang kita nak lakukan dalam PhD kita nanti. Saya memberitahu hadirin bahawa saya mahu jadi pensyarah sejak saya berada dalam tahun dua pengajian ijazah saya, dan daripada situ saya mengkaji kekuatan dan kelemahan saya, dan apa yang saya perlu lakukan untuk menjadi pensyarah yang cemerlang (bukan yang biasa-biasa). Saya juga menceritakan kepada mereka, bagaimana saya berusaha keras untuk mendapatkan biasiswa pengajian ke luar negara dalam PhD saya, kerana punyai keinginan yang tinggi. Saya lontarkan kepada mereka, kenapa perlu kita menjadi yang biasa-biasa sedangkan kita boleh menjadi orang yang luar biasa? Sampai bila Muslim akan menjadi trend follower dan bukan trend setter?
  4. Akhirnya, saya mengingatkan diri saya sendiri dan mereka yang hadir, akan pentingnya memastikan hubungan dengan ibu dan ayah, ahli keluarga dan rakan-rakan sentiasa ‘connected’. Jangankan sampai kita terlalu sibuk dengan kerja dakwah di luar, sedangkan dakwah kepada ahli keluarga sendiri ditinggalkan. Sesibuk bagaimana pun, jangan lupa untuk menghubungi ibu dan ayah dan bertanyakan khabar kepada mereka. Jangan tunggu bila tak ada duit baru nak telefon ibu dan ayah. Balik kampung meskipun sibuk.

 

Apa-apa pun, untuk terus bergerak ke hadapan, amal ibadah kita kepada Allah SWT adalah makanan rohani kita. Sekiranya berkurang, kita akan rasa cepat penat dengan kerja yang kita lakukan kerana kurangnya santapan rohani.

Moga Allah mempermudahkan urusan kita, dan sama-samalah kita bercita-cita untuk menjadi SUPERMUKMIN!

Ini adalah link presentation saya sebentar tadi: PRODUKTIF