convo1 (1)
Gambar adalah hiasan semata-mata (ihsan: http://www.utp.edu.my)

Menjadi mahasiswa (ataupun pelajar di sekolah menengah/rendah) bukanlah untuk belajar bagaimana nak SKOR cemerlang sehinggakan menjadi keperluan untuk belajar bagaimana nak ‘spot’ soalan-soalan dan menjawab ikut skema pemarkahan. Ia adalah satu kefahaman yang salah dan perlu diperbetulkan. Lantas, program-program seperti teknik menjawab soalan peperiksaan, skor A, dan lain-lain lagi, adalah satu pembudayaan yang sangat-sangat tidak sihat yang berlaku di dalam negara kita. Ia berlaku atas tercetusnya budaya exam-oriented.

Memasuki alam persekolahan, apatah lagi alam universiti bukanlah untuk skor A dalam semua matapelajaran. Itu hanyalah ‘by-product’ atas kefahaman kita mempelajari subjek akademik. Perkara yang paling penting ialah ia seharusnya menyemai sifat cintakan ilmu, dan tidak pernah puas hati dengan ilmu yang ada di dada. Sekiranya pelajar keluar sekolah dan universiti menjadi malas untuk menuntut ilmu (samada formal atau informal), hatta membaca buku pun menjadi satu kemalasan, maka itulah tanda-tandanya sistem pendidikan yang dilalui sebenarnya tidak berjaya melahirkan insan yang didamba.

Saya pernah rasa sedih semasa peperiksaan SPM dahulu. Di sekolah kami, tidak ada guru-guru (terutamanya subjek sains) yang dipilih untuk menyediakan soalan peperiksaan. Jadi kami tidak berpeluang pun untuk ‘spot soalan peperiksaan’. Apa yang perlu kami buat ialah ulangkaji secara keseluruhannya. Kemahiran yang kami perlu ada sudah pastinya ialah kemahiran bagaimana nak buat peta minda, kemahiran menulis nota dan pelbagai lagi. Kemahiran ‘spot’ soalan peperiksaan, tidak sama sekali. Saya membandingkan keputusan akhir peperiksaan SPM saya, ternyata menghampakan berbanding rakan-rakan dari MRSM/SBP yang lain yang senang-senang memperoleh 10A1. Bukan seorang dua, berpuluh-puluh pulak tu, yang saya ni nak dapatkan 6 aggregat pun tak mampu.

Hanya setelah saya melalui zaman mahasiswa baru saya sedar bahawa, saya sangat-sangat bersyukur bahawa saya tidak perlukan semua itu. Saya tidak perlu jadi ahli nujum untuk meneka soalan mana yang keluar untuk peperiksaan. Apa yang penting, saya hanya perlukan kemahiran ‘deep learning’, supaya saya benar-benar faham apa yang cuba nak disampaikan oleh pensyarah kami. Kalau tak faham, saya sanggup menghabiskan puluhan pound sterling membeli buku-buku teks untuk dibaca (kebetulan pada masa itu belum ada YouTube, kalau ada confirm akan jadi bahan rujukan saya juga selain daripada buku). Saya perlukan kemahiran belajar dalam kumpulan, supaya saya tidak terkial keseorangan belajar semua subjek yang jargon pada saya. Saya perlukan kemahiran menguruskan masa, supaya saya dapat bahagikan masa untuk belajar, masa untuk membina hubungan dan network dengan rakan-rakan, masa untuk pamper diri dan masa untuk ibadah kepada Allah. Saya memerlukan kemahiran menulis nota, supaya ia mudah difahami. Semasa buat PhD, lagilah penting kemahiran-kemahiran yang saya sebutkan tadi. Kalau saya ada kemahiran ‘spot soalan’, nak spot soalan apa nya? Soalan masa viva la kot hehe.

Apabila menjadi pensyarah, tertekan saya apabila pelajar-pelajar yang sejak dari sekolah rendah terdidik dengan ‘tips&tricks’ datang ke bilik saya bertanyakan apa tips untuk peperiksaan kali ini. Saya beritahu mereka: S.T.U.D.Y. Kalau berada di universiti masih mempunyai mentaliti nak skor (dan tak mahu memikirkan untuk membina kemahiran diri yang lain), saya dapat berikan jaminan bahawa mahasiswa itu tak akan dapat pergi jauh. Sedarlah bahawa masuk sekolah dan universiti bukan untuk skor A semata-mata.

Semalam semasa makan malam saya berbual dengan ayah mertua, yang juga seorang pensyarah. Beliau memaklumkan ada seorang pelajar di salah sebuah universiti di Malaysia ni, memperoleh kelayakan hampir 1st class, tiap-tiap hari bawa ke hulu ke hilir laptopnya, tetapi apabila diminta untuk mencari info daripada internet, tidak tahu di mana perlu dia mulakan. Terkial-kial. Terkedu saya.

Begitulah hakikatnya. Kalau dapat 1st class/ 10 A*/ straight A hanya kerana berjaya ‘spot’ soalan, ia adalah satu perkara yang perlu dibimbangkan, kerana apa yang dipelajarinya adalah di atas permukaan semata-mata. Ia akan mengakibatkan pelajar itu berasa cepat letih apabila cabaran semakin hebat pada level-level pengajian yang lain. Adalah tidak menghairankan saya sekiranya seseorang itu yang dapat straight A, ataupun 1st class tiba-tiba membuat keputusan tidak mahu lagi belajar bersungguh-sungguh pada peringkat yang seterusnya (ataupun tak mahu belajar langsung), adalah kerana mereka terlalu letih dengan belajar/menuntut ilmu.

Pada saya, biarpun umur sudah meningkat, learning is still fun. IT IS FUN!

P/S: Tiba-tiba rasa macam nak enroll kursus psikologi sebab minat. smile emoticon