IMG_8849
Gambar ini diambil semasa saya mengendalikan sesi bootcamp untuk pelajar tahun 1 dalam program kami, yang diadakan pada hujung minggu. Apa yang saya dapat? Satisfaction. A complete full satisfaction. 

 

 

Harini saya nak ceritakan sedikit tentang kerja kami sebagai pensyarah universiti. Mungkin ramai yang ingat kerja sebagai seorang pensyarah ni mudah, dapat rehat-rehat, cuma mengajar, ulang-tayang slides setiap kali pelajar baru masuk kelas. Sebagai pensyarah di universiti (yang ada komponen teaching dan research), ini adalah tanggungjawab kami.

1. Pengajaran (Teaching & Learning)
Mengajar adalah tanggungjawab mandatori kami. Mahu tak mahu, samada pensyarah biasa, profesor madya ataupun professor, WAJIB mengajar. Mengajar pula dalam kontek sekarang bukan sekadar berceloteh di depan sambil mata memandang slaid-slaid yang dikongsi, tetapi kami perlu memahami pedagogi dalam mengajar. Bagaimana nak tanamkan kemahiran berfikir aras tinggi kepada pelajar, bagaimana nak terapkan nilai-nilai yang perlu ada pada pelajar (contoh: problem solvers, lifelong learners, integrity etc.) Maka dengan itu, kami tidak lagi mengajar melalui cara chalk and talk ataupun teacher-centered style, tetapi kami perlu mengambil kaedah student-centerd learning, maka banyaklah kaedah yang perlu dipelajari (active learning, cooperative learning, blended learning, flipped learning, problem based learning, service based learning, collaborative learning etc.)
Di samping itu juga, ada pensyarah yang bukan sahaja mengajar satu subjek semata-mata, malahan sampai 2-3 subjek, dan ada juga yang perlu mengajar sehingga 150 orang pelajar dalam satu-satu masa. Bukan senang nak ‘retain’ minat pelajar mendengar apa yang kami celotehkan (apatah lagi bidang kejuruteraan). Di samping itu juga, kami perlu ada portfolio kami tersendiri, kumpulkan semua bahan dalam satu fail. Penilaian pula, bukan hanyalah peperiksaan semata-mata, tetapi kami perlu beri projek, assignments, quiz dan test kepada pelajar, yang semuanya perlu dinilai, diberi markah, dan diberi maklumbalas kepada pelajar berkenaan. Apa yang kami perlu assess bukan semata-mata ilmu pengetahuan pelajar, tetapi kemahiran/skills mereka dan juga nilai-nilai yang telah mereka perolehi.

2. Penyelidikan

Penyelidikan ni bukan perkara yang mudah. Ada saja pensyarah yang tak dapat tidur malam memikirkan inovasi yang mereka nak lakukan. Selepas memikirkan inovasi yang nak dibuat, perlu diterjemahkan pula dalam proposal untuk memohon geran-geran penyelidikan. Kemudian perlu dicari pula sumber-sumber geran tersebut dan syarat-syarat yang mereka kemukakan perlu dipatuhi. Kalau di tempat kerja saya, kami dinilai daripada dua aspek dalam penyelidikan ini, iaitu berapa banyak proposal yang telah kami hantar, dan yang keduanya, daripada proposal ini, berapa banyak yang kami peroleh dan bawa masuk duit ke universiti. Bila dah peroleh geran tu pula kena fikirkan bagaimana nak belanjakan geran tersebut bagi memenuhi objektif yang telah digariskan dalam proposal asal. Kalau kerja penyelidikan terbantut, ada kemungkinan kena ‘blacklist’ kerana tak buat kerja oleh pihak yang memberikan geran tersebut.

3. Penyeliaan

Menyelia pelajar bukanlah satu perkara yang mudah. Kami bukan sahaja perlu menyelia pelajar projek akhir tahun, tapi pelajar Masters dan PhD pun perlu diselia dengan baik. Bukan setakat itu sahaja, pelajar yang melakukan internship, kerja-kerja berkumpulan di perigkat universiti, design project, semuanya perlu diselia dengan baik. Kalau pelajar tersebut tiba-tiba menghilangkan diri, kami lah para penyelia perlu mencari di mana mereka. Kalau tak cari, tak bertanggungjawablah kami. Sambil menyelia perlu memotivasikan mereka supaya ambil ‘ownership’ kepada projek yang telah diberikan. Nak bagi mereka suka buat research bukanlah sesuatu yang mudah, kerana research is so unpredictable. Tak boleh jangka. Kalau makmal meletup ke, penyelia lah yang perlu bertanggungjawab.

4. Penulisan artikel/jurnal

Selesai sahaja kerja-kerja penyeliaan, dan penyelidikan, penulisan artikel untuk jurnal pula perlu dibuat. Macam kami, setahun kena ada 3 artikel sekurang-kurangnya, dan kena ada minimum impact factor yang kena capai. Bukan boleh hantar pada jurnal cikai sebarangan, kalau tidak, itupun tak berapa dipandang. Menitilah di bibir kami, ni Scopus Indexed ke, ISI indexed ke, berapa impact factor. Dan kena faham bahawa, kita tulis artikel bukan senang-senang dapat diterima masuk jurnal, paling senang ialah kena ‘reject’. Untuk diterima masuk, kadang-kadang sehingga 4-5 kali kena buat correction barulah boleh diterima pakai.

Memang kadang-kadang kita minta pelajar yang tulis artikel tersebut, tetapi English pun tak boleh nak bergantungharap kepada mereka. Lenggok bahasa tak betul, format tak betul, analisis tak betul, semua kena perbetulkan.

Nak pergi conference pun bukan conference sebarangan. Perlu dilihat apakah tema conference, impact of the conference dan sebagainya. Semua termasuk dalam KPI kerja seorang pensyarah.

5. Contribution

Bahagian ni, selain daripada kerja hakiki kami di universiti (mengajar/research/publication), kami perlu juga terlibat dalam kerja-kerja koordinator dan pentadbiran di peringkat jabatan dan universiti. Ada macam-macam ‘task force’ yang perlu kami sertai untuk memastikan perjalanan universiti itu menjadi licin. Ada yang kena pegang ketua jabatan, ketua pusat penyelidikan, dekan dan sebagainya, tetapi kerja-kerja hakiki tak boleh ada ‘excuse’ untuk ditinggalkan.

Selain daripada itu, bila pangkat dah makin tinggi (professor madya/professor), perlu juga ada contribution di peringkat nasional dan antarabangsa. Jadi kena sertai majlis-majlis, persatuan-persatuan di peringkat kebagsaan dan antarabangsa. Tak masuk lagi kerja-kerja CSR (corporate social responsibility) di kawasan sekeliling (AJK PIBG, AJK Surau dan sebagainya).

6. Networking

Bahagian ni pula, kami kena perbanyakkan aktiviti kolaborasi dengan universiti lain, ataupun dengan pihak industri. Kalau ada masalah daripada pihak industri yang perlu diselesaikan, kami perlu ‘step in’ untuk cuba selesaikan, melalui konsultansi. Kolaborasi penyelidikan misalnya perlu dilakukan dengan universiti-universiti lain. Mungkin perkongsian paten inovasi dan sebagainya. Itu semua penting kepada pensyarah.

Jadi, kerja pensyarah ni sebenarnya bukanlah senang dan boleh duduk rilek-rilek. Ada masa memang kena rehat sebab banyak guna otak. Uban saya ni pun makin lama makin banyak. Rasa-rasanya, dipanjangkan umur Allah Taala, umur 45 dah uban penuh dah kot ganti rambut hitam.

Apa-apa pun, kepuasan saya dalam kerja pensyarah ni ialah apabila melihat pelajar-pelajar yang saya ajar, menjadi manusia yang sebenar-benar manusia. Zuhud dan tunduk pada Allah SWT, tetapi menjadi seorang yang sentiasa menyumbang untuk ummah, dan punyai integriti. Seseorang yang bukan mahu jadi yang biasa-biasa, tetapi yang luar biasa. Apabila seseorang pelajar itu nampak lemah, tetapi mereka bangun semester demi semester untuk melonjak atas usaha sendiri, atas kesedaran setelah dicucuk motivasi ke dalam diri mereka, itulah yang menggembirakan saya.

Wallahu a’lam.