Howard Gardner di dalam teorinya “Multiple Intelligence” telah mengklasifikasikan manusia tentang kebolehan intelek masing-masing. Ia terbahagi kepada 8 sudut intelek iaitu:

Linguistic intelligence (“word smart”) – kebolehan bahasa
Logical-mathematical intelligence (“number/reasoning smart”) – kebolehan logik & matematik
Spatial intelligence (“picture smart”) – kebolehan visualisasi
Bodily-Kinesthetic intelligence (“body smart”) – kebolehan kinestatik & gerakan badan
Musical intelligence (“music smart”) – kebolehan muzik
Interpersonal intelligence (“people smart”) – kebolehan bersosial
Intrapersonal intelligence (“self smart”) – kebolehan refleksi diri
Naturalist intelligence (“nature smart”) – kebolehan berinteraksi dengan alam

Persoalannya, sejauh manakah

1. Para ibu bapa mengenali anak-anaknya dan kecenderungan intelek anak-anaknya?

2. Sistem pendidikan di sekolah terutamanya penilaian tentang anak-anak kita menitikberatkan elemen multiple intelligence ini?

3. Anak-anak yang membesar sedar tentang kebolehan intelek masing-masing dan memilih bidang yang ingin diterokai sebagai kerjaya?

Anak-anak yang tidak berjaya mendapat semua A dalam peperiksaan bukanlah anak yang tidak cerdik. Mereka ada kemahiran dan kebolehan tertentu tetapi tidak dijadikan sebagai satu penilaian kepada mereka. Anak-anak yang mendapat A dalam semua mata pelajaran pula, bukanlah bermakna dia mempunyai ‘multiple intelligence’ dalam semua aspek. Dikhuatiri A yang diperolehi pula adalah kerana anak itu menghafal skema jawapan, ‘spot’ soalan untuk peperiksaan dan tidak diberikan pendedahan kepada elemen-elemen kebolehan intelek yang lain. Ada kemungkinan jumlah A itu juga tidak melambangkan kebolehan kemahiran berfikir aras tinggi mereka.

Saya sendiri sedar, ada kemungkinan saya mungkin hanya ada kepandaian dalam berbahasa dan kebolehan logik, itupun tak seberapa. Mungkin adalah sedikit tentang interpersonal intelligence, juga, rasanya tak la seberapa sangat. Tapi saya akan teruk dalam kinestatik (sukan, menari, apa-apa yang berkaitan dengan gerak badan), saya struggle nak tanam pokok bagi ‘hidup’, apatah lagi cipta lagu, dan lirik puitis.

Anak-anak kami pun, saya dan isteri​ nampak perbezaan mereka. Amanina memang seorang ‘word smart’, tetapi bukan Falah, Falah lebih kepada logic smart dan bukan pula Nurhan kerana Nurhan lebih suka menghabiskan masa mewarna dan melukis berbanding Falah. Apa yang penting kami kena ‘nurture’ anak-anak kami berdasarkan apa yang mereka minat, dan tidak memaksa sistem yang sama untuk semua. Ihsan pula ada kebolehannya sendiri, mungkin seperti Falah kerana pada umur 2 tahun dah boleh membina sesuatu dengan Lego yang kecil-kecil (bukannya Duplo).

Moga-moga Malaysia dan sistem pendidikan pada masa akan datang akan memberi peluang kepada anak-anak ini dinilai mengikut kebolehan mereka masing-masing, dan yang paling penting, anak-anak tidak merasa rendah diri dibanding-bandingkan ibu bapa dan guru siapa yang lebih pandai dan siapa yang tidak pandai. Hakikatnya, semua pandai, tetapi dalam bidang yang berbeza. Disebabkan itulah belajar itu perlulah sampai ke liang lahad, kerana ilmu Allah itu terlalu luas dan banyak lagi perkara yang kita perlu pelajari. GuestBlog04142015

sumber rujukan:

Multiple Intelligence – Theory in Practice (Howard Gardner, 1993)

Blog: http://www.lrngo.com/blog/2015/04/14/howard-gardners-theory-of-multiple-intelligences-3-related-tips-for-online-learning/