2015-06-14 13.38.02 HDR

Semasa memandu ke universiti sebentar tadi, saya muhasabah diri.

Tak semua dalam dunia ni, kita akan dapat. Itu lumrah alam. Kerana kita hanya manusia. Tetapi, kita boleh memilih apa yang kita hendak untuk hidup kita ini. Kalau kita betul-betul nak, kita akan buat sungguh-sungguh.

Dalam keadaan sekarang, kita tahu bahawa generasi muda macam kita ini terhimpit dengan masalah kewangan dan kos sara hidup yang tinggi (saya tidak terkecuali). Saya menyalahkan pihak autoriti sekarang kerana menyalahgunakan hasil bumi untuk kepentingan diri mereka (dan yang saya pasti, kita selaku rakyat yang sedang melata mencari sesuap rezeki ini, WAJIB menolak pemerintah yang mungkar ini).

Tidak menghairankan, sekiranya ramai di antara kita yang memilih untuk menambahkan pendapatan, dengan cara mencari satu atau dua lagi kerja tambahan. Contohnya yang jadi kakitangan kerajaan, ada juga yang terlibat dengan MLM dsbnya. Ada yang bekerja di pejabat, malamnya disambung dengan aktiviti uruskan perniagaan online dsbnya.
Ada yang terlibat dengan menganjurkan kursus-kursus peningkatan diri dan motivasi (sayalah tu), ataupun mula menjana kewangan melalui passive income, seperti menulis buku dan sebagainya (sayalah tu jugak).

Mahu ataupun tidak, sesetengah daripada kita adalah golongan yang berkeluarga. Mempunyai anak pinak untuk disuap nasi, mempunyai isteri dan anak-anak yang dahagakan kasih sayang kita yang tidak berbelah bahagi. Mahukan perhatian daripada seorang bapa dan suami. Ayah dan ibu di kampung adakalanya mahukan kita pulang, bertemu dan beramah mesra dengan mereka. Dalam keadaan lain juga, kita perlu juga cakna dan ambil berat tentang masyarakat dan komuniti sekeliling. Namun yang paling penting, ialah tanggungjawab kita kepada Allah SWT.

Apa yang saya nak tekankan di sini, jangan sesekali lupa bahawa, dalam kesungguhan kita mencari rezeki tambahan, anak-anak yang masih kecil dan meningkat dewasa dibiarkan tanpa hala tuju. Kasih yang tercurah kepada mereka bukanlah kasih bersifat material semata-mata, tetapi kasih dan tanggungjawab kita, terutamanya sebagai bapa dalam mendidik dan menyantuni anak-anak. Saya boleh merasakan bahawa, kesibukan kita di luar sana akan sedikit sebanyak memberi kesan kepada anak-anak, sekiranya sang bapa terutamanya tidak mengambil peduli tentang anak-anak, dan menyerahkan tanggungjawab ini bulat-bulat kepada sang ibu. Berusahalah luangkan masa dengan mereka.

Jangan pula nanti kita memberikan kritikan kepada anak-anak dan isteri kita apabila anak-anak ini tidak ‘menjadi’ di usia dewasa kelak. Alasan kita, abi/ayah/abah dah susah payah cari duit, ini balasan kamu?

Salahkan diri sendiri kerana kita tidak memberi tumpuan yang sewajarnya, tidak melengkapkan diri kita dengan ILMU KEIBUBAPAAN yang penting. Jika kita nak bekerja 8 jam sehari ini pun kita perlukan ilmu, mengapa berat untuk mencari ilmu keibubapaan yang tiada hari cuti?

Kepada para BAPA, kita boleh bersembang isu politik, isu ekonomi, isu sukan terutamanya bolasepak 3-4 jam sehari. Namun kenapa kita memilih untuk sunyi dan menyendiri apabila berbincang tentang pelaburan kita yang paling besar untuk saham akhirat kita, iaitu ANAK-ANAK kita?

Satu firman Allah SWT, yang menyebabkan saya masih takut tidak dapat ditunaikan sehingga ke hari ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلائِكَةٌ غِلاظٌ شِدَادٌ لا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, peliharalah DIRIMU dan KELUARGAMU dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa ang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. ( At Tahrim 66:6)

Moga kita sedar bahawa, kalau pun kita bersusah-payah untuk meneruskan hidup ini, sedarlah apa yang Allah sebutkan kepada kita:

Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya); (Al-Balad:4)

Hendak ataupun tidak, kita akan sentiasa dalam kesulitan dan kesukaran, dan mohon kepadaNya untuk dipermudahkan.

Life is a struggle. Pick your right battle for your future investment.

Saya berusaha mengimbangkan kerjaya saya sebagai pendidik, aktiviti sampingan saya sebagai motivator (sebab nak cari pendapatan tambahan), sebagai aktivis politik yang mahu memperjuangkan isu kekeluargaan, pendidikan, dan keadilan sejagat (yang ni pula kena belanjakan harta sendiri), juga seorang bapa yang mementingkan pembangunan anak-anak dari segenap aspek, seorang suami yang sentiasa berada di sisi isterinya dan seorang anak yang soleh kepada ibu dan ayahnya. Sukar untuk diimbangi namun saya akan terus mencuba, sehingga akhir hayat saya. Sangat SUKAR.

Anda pula bagaimana?