Tidak semua yang kami lalui di Bumi Haramain itu perkara yang indah-indah belaka. Namun apa yang pasti, di sebalik apa yang kami lalui itu, adalah pengajaran buat kami, supaya kami sentiasa sedar, kami adalah hambaNya. Segala sifat yang tidak sepatutnya dipunyai oleh kami sebagai hambaNya, wajar dibuang dan dicampakkan jauh-jauh. Perasaan riya’, ujub, takbur, sum’ah, bukanlah sifat seorang hamba. Ia milik Allah semata-mata.

Bersempena dengan hari-hari Tasyrik pada tahun ini, saya ingin menceritakan pengalaman kami semasa mengerjakan ibadah haji pada tahun lepas. Selepas selesai urusan wukuf, bermalam di Muzdalifah, dan melontar pada 10 Zulhijjah, maka kami telah bertahallul awal. Sudah bebas memakai pakaian biasa dan melalukan larangan ihram yang lain, kecuali beberapa perkara lagi yang tidak boleh dilakukan (persetubuhan, menjadi wali dan berkahwin).

Mengikut urusan muassasah Tabung Haji, kami perlu menyelesaikan terlebih dahulu ibadah melontar pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah, sebelum kami sama-sama pulang ke kota Makkah untuk meneruskan ibadah tawaf dan saie, yang seterusnya membebaskan kami daripada kesemua larangan ihram (tahallul thani). Sekiranya kami ingin pulang ke kota Mekkah untuk melakukan amalan tawaf dan saie dalam tempoh tersebut (ia adalah sunnah Rasulullah menuju ke Masjidil Haram pada 10 Zulhijjah untuk selesaikan ibadah tersebut), kami perlu menjustifikasikan kepada TH untuk menggunakan perkhidmatan mereka, namun selalunya ia tidaklah digalakkan, bagi memudahkan koordinasi TH.

Isteri saya sedikit gusar kerana beliau khuatir, beliau didatangi haid dalam tempoh terdekat, maka beliau terpaksa berada di dalam larangan ihram lebih lama sekiranya amalan tawaf dan saie hanya dapat dilakukan setelah nafar thani (meninggalkan Mina dan berniat tidak akan kembali lagi pada 13 Zulhijjah). Oleh itu, kami berniat untuk memohon kepada TH untuk melakukan nafar awal, iaitu meninggalkan Mina dan tidak berniat kembali pada 12 Zulhijjah. Dalam perjalanan pulang daripada melontar pada 10 Zulhijjah (kami antara yang terakhir melontar pada 10 Zulhijjah) dan kami sudah selesai bertahallul awal, kami terserempak dengan seorang ustaz yang saya kenali semasa kursus haji perdana di Taiping, Perak dan saya memohon pandangan beliau. Beliau menasihatkan supaya tidak bernafar awal, kerana sunnah Rasulullah juga ialah nafar thani. Oleh itu, pilihan yang tinggal ialah pulang ke kota Mekkah seawal pagi selepas melontar pada 11 Zulhijjah, menunaikan ibadah tawaf dan saie, dan pulang kembali ke Mina, sebelum 11 malam (supaya melengkapkan ibadah mabit di Mina).

Maka itulah yang kami lakukan. Saya akan menceritakan pengalaman spesifik perjalanan kami ke kota Makkah pada 11 Zulhijjah ini pada catatan lain, Insha Allah. Usai selesai semua urusan kami di kota Mekkah (yang sangat-sangat kami syukuri dan ia adalah pengalaman yang indah, selain daripada pengalaman wukuf), kami berusaha untuk pulang semula ke Mina.

Selesai waktu Isya, Alhamdulillah kami telah berjaya menamatkan semua urusan kami, dan kami sudah bebas daripada semua larangan ihram. Kami kurang arif bagaimana kami mahu pulang ke sana,dan isteri saya pula menasihatkan untuk bertanya dengan beberapa jemaah Malaysia yang kami terserempak (berdasarkan beg sandang kuning tajaan BSN yang dipakai), namun saya tak pasti apa yang menyebabkan saya tidak tergerak untuk bertanya. Saya berkata kepada isteri, jomlah kita usaha sendiri. Pagi tadi kita dapat datang berjalan kaki, malam ini Insha Allah, pastinya kita boleh buat.

Kami bertemu dengan ‘coaster’ yang akan membawa jemaah ke Mina dari Masjidil Haram, dan berdasarkan rundingan kami, setiap daripada kami dikehendaki membayar 20 riyal untuk ke Mina. Walau bagaimanapun, coaster tersebut hanya berhenti di hadapan pasaraya Ben Dawood di Mina, dan kami perlu berusaha untuk pulang sendiri, mencari terowong Muassem agar kami tiba semula di khemah jemaah Malaysia.

Mengenali kedua-dua personaliti kami, pasti menyedari bahawa kami berdua ni banyak bercakap, banyak idea, dan ramah-tamah. Kadang-kadang terlebih cakap pun ada. Maka sebenarnya ada terdetik dalam diri, bahawa kami ingin pulang bercerita tentang pengalaman 11 Zulhijjah ini kepada teman-teman sekhemah. Mungkin juga ada sekelumit perasaan riya’ dan ujub dengan kemampuan diri untuk berjalan kaki sejauh 25 km pada hari itu (termasuk sekali urusan tawaf, saie).

Namun di Mina inilah Allah menguji kami atas takburnya diri ini, meskipun sekecil zarah. Jalan pulang kami sungguh sukar! Ia tidak semudah seperti meninggalkan Mina ke kota Mekkah. Setiap laluan yang kami cuba untuk mencari terowong Muassem, menemui jalan buntu. Sudahlah kami dikelilingi dengan lautan manusia yang turut bermabit di Mina ( sedihnya, mereka langsung tidak mempunyai khemah seperti kami, hanya beralaskan surat khabar). Bau hancing dan bau najis di sana sini dalam usaha kami mencari jalan pulang. Saya yang memang sangat-sangat terasa ingin buang air kecil pun tidak jadi kerana berpeluh dalam kadar yang banyak. Naik eskalator, turun eskalator, berjalan merempuhi lautan manusia ini, rupa-rupanya laluan kami pagi tadi ditutup, dan kami perlu mencari jalan alternatif. Kami bertanya dengan askar-askar yang bertugas, mereka semua tidak mampu memberikan deskripsi jalan pulang, tambahan pula dengan limitasi saya untuk berbahasa Arab.

Ini adalah satu ujian yang besar bagi kami. Perasaan putus asa juga timbul untuk pulang. Apabila bertanya kepada askar bertugas, seorang mengarahkan kami ke sana, seorang mengarahkan kami ke sini, terus buntu kami dibuatnya. Saya dan isteri kembali semula ke tempat asal dan cuba berfikir bagaimana sepatutnya laluan pulang ini. Dalam pada itu, saya memberitahu isteri, kita kena beristighfar banyak-banyak, mungkin ada perasaan riya’ dan ujub ada dalam diri, dan kita perlu mohon keampunan Allah SWT dan minta bantuan Allah SWT supaya ditunjukkan jalan pulang. Tidak sampai 5 minit, tiba-tiba kami terserempak dengan sepasang suami isteri, pasangan dari Malaysia  berpangkat pakcik makcik dan umurnya sekitar 60-an, dan mereka seolah-olah ingin bergerak pergi. Cepat-cepat kami ke sana dan bertanya, pakcik mahu pulangkah? Dan beliau menjawab dengan nada ramah yang mereka ingin pulang semula ke khemah Malaysia.

Dipendekkan cerita, pakcik dan makcik itulah yang menunjukkan kami jalan pulang. Laluan kecil menaiki bukit untuk sampai ke terowong Muassem. Kami beriringan ke khemah kami, dan tiba di khemah sekitar 1 pagi. Banyak yang kami sembangkan dalam perjalanan pulang. Hampir 3 jam lebih kami tersesat di Mina. Dan perasaan yang sukar digambarkan.

Namun apa yang kami syukuri ialah, pengajaran yang kami perolehi daripada peristiwa ini. Tarbiah dari Allah SWT supaya tidak berasa riya dan ujub dengan nikmat yang Allah berikan. Supaya ringan-ringan mulut memohon bantuan daripada orang lain ketika memerlukan, meskipun ada kudrat pada umur 33 tahun. Supaya merasakan diri sebagai hamba, yang perlu sentiasa meminta daripadaNya.

Akhirnya,pakcik dan makcik yang berumur 60 tahun yang menunjukkan kami jalan pulang.

Apabila kami pulang nafar thani pada 13 Zulhijjah, seeloknya apabila isteri saya tiba di hotel, isteri saya mengetuk pintu bilik saya, “Abang, Ayang dah datang bulan“. Tidak tergambar kegembiraan pada wajahnya, digerakkan hati oleh Allah SWT untuk menyelesaikan semua ibadah sebelum sama-sama kembali ke kota Mekkah pada 13 Zulhijjah.

Syukur, Alhamdulillah. Syukur kepadaMu Allah SWT, kerana membimbing kami dalam keadaan susah dan senang, agar kami sentiasa beringat kepadaMu.