IMG_6135

Sejak kepulangan kami dari UK dua tahun yang lalu, saya tidak pasti, adakah kami yang berubah, ataupun masyarakat sekeliling kami yang berubah.

Jujurnya, sebelum kami berangkat ke UK, memang kehidupan kami agak ‘mandom’. Pergi kerja, balik kerja. Anak-anak cuma props yang dipertanggungjawabkan kepada bibik untuk menjaganya atas alasan kami berdua sibuk dengan kerjaya kami. Kami tidak cakna pun dengan masyarakat sekeliling, selagi tak kena batang hidung kami, apalah sangat perlu dirisaukan.

Namun jauh di sudut hati, sebenarnya saya dan isteri mahu berubah. Kami tahu, ini bukanlah tarbiah yang kami lalui suatu ketika dahulu, ketika sama-sama berada dalam medan usrah dan tarbiah. Tiada maknanya kami melabelkan diri kami sebagai pejuang Islam tetapi tidak ada apa-apa yang signifikan kami buat untuk ummah. Sebelum melangkah meninggalkan tanahair tercinta, saya memohon kepada Allah SWT, jadikanlah pemusafiran ini satu titik permulaan ke arah hijrah kami yang lebih sempurna. Saya mohon kepada Allah SWT, bukan semata-mata memperoleh PhD, tetapi pengalaman yang berharga sebagai permata yang sentiasa bersinar untuk meneruskan hidup.

Allah makbulkan doa saya dan isteri. Pengalaman hidup saya dalam perjalanan hidup PhD saya, dan isteri saya kami catatkan di sini:

The Journey dan di sini: It ends here

Allah makbulkan bukan dengan jalan kesenangan untuk kami mengutip mutiara hikmah itu, tetapi dengan seribu satu kesusahan dan kepayahan. Tidak mudah sebenarnya ujian yang kami lalui sepanjang tempoh 4 tahun di bumi UK, tetapi jujurnya, tarbiah terus dari Allah SWT itu mempercepatkan proses kematangan dan transformasi diri kami. Usai kepulangan kami, kami titipkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT, kerana apa yang kami cari, perubahan yang kami mahukan, Allah tunaikan dengan sebaik-baiknya. Allah tutupkan ‘chapter’ perjalanan kami tadi dengan perjalanan menujuNya, pada tahun lepas, dengan menunaikan haji. Sungguh indah, Subhanallah.

Boleh baca beberapa catatan haji saya di sini: Refleksi HajiCatatan Haji 1 , Catatan Haji 2Catatan Haji 3Catatan Haji 4

Semuanya itu kemas dalam lipatan sejarah kehidupan kami, Alhamdulillah.

Namun itu bukan tujuan apa pos ini. Apa yang saya mahu kongsikan di sini ialah, betapa besarnya tanggungjawab yang terpundak di bahu kami, bahu kita semua, sejurus sahaja selesai ‘chapter’ itu kami tutup. Kami sedang melawan arus, menongkah badai di dalam masyarakat yang perlu kami santuni dan kami bantu.

Kita ketahui bahawa masyarakat Melayu Islam di Malaysia khasnya sangat-sangat dikenali sebagai masyarakat yang peramah dan bersopan santun. Namun saya tidak pasti, apakah yang mengakibatkan peralihan sikap. Masyarakat kita, pada pandangan kami, semakin beralih sikapnya. Jeliknya kelihatan sikap yang tidak baik dan buruk di pandangan. Justeru itu, besarlah tanggungjawab yang terpundak di bahu yang perlu dipikul bersama, antaranya:

  1. Perkauman – saya melihat indoktrinisasi yang dilakukan sejak zaman British pecah dan perintah semakin menjadi-jadi sekarang, tambahan pula dengan kehadiran media sosial. Rata-rata orang kita, tidak lagi malu untuk mengutuk bangsa lain dan menyeru kepada perpaduan masyarakat Melayu khususnya atas alasan kita adalah bangsa yang tertindas. Tanpa kita sedari, kita sebenarnya yang menindas! Apa-apa yang berlaku, mudah sahaja kita kaitkan dengan isu perkauman. Ia seolah-olah api di dalam sekam yang bakal marak. Nauzubillah!
  2. Menghakimi orang lain – Salah satu sikap yang perlu dihakis di kalangan kita, ialah sikap merasakan diri ‘hollier than thou‘. Kita merasakan diri kita lebih baik dan lebih pandai daripada orang lain. Sebagai contohnya, hanya semata-mata kita menyokong perjuangan Islam, ataupun kita orang Islam yang (kononnya) dijamin syurga oleh Allah SWT, maka kita mudah menghakimi dan menjatuhkan hukum kepada orang lain.  Kita lupa bahawa, syurga neraka itu ditentukan oleh Allah SWT, dan bahawa atas rahmatNya sahajalah ditentukan samada tempat kita akhirnya adalah syurga atau neraka (Nauzubillahi min zalik). Kita berkasar atas nama dakwah, tidak ada seni dalam menyeru kepada jalan yang diredhaiNya, dan mudah sahaja kita menjatuhkan hukuman apabila seseorang atau sesuatu kumpulan itu tidak mahu mengikut cara kita. Semudah mempamerkan stiker kereta “Astagfirullah, tak tutup aurat lagi, takutlah pada Allah”, ini ialah sebenarnya sikap kita sebagai penghukum. Kita merasakan diri kita sudah cukup baik supaya kita dapat menjatuhkan hukuman kepada orang lain. Bukankah banyak lagi cara yang lebih baik dan berseni untuk dakwah. Semudah mempamerkan stiker, “Sejak menutup aurat, jiwa saya tenang untuk menuju jalanNya, jom UBAH?”. Namun inilah hakikatnya, kadangkala kita merasakan diri kita lebih Islam daripada yang lain, maka dengan mudah syaitan menyucuk jarumnya dan godaannya kepada kita.
  3. Berfikiran simplistik – Salah satu sikap yang perlu diubah ialah bagaimana kita ambil mudah dan malas berfikir dalam tindak tanduk kita. Allah menyuruh kita bertadabbur dengan alam, BERFIKIR tentang penciptaanNya, pastinya bersebab. Antaranya, Allah mahukan kita mengasah daya pemikiran kita. Tidak sewenang-wenangnya menghamburkan sesuatu daripada lidah, tanpa berfikir secara matang. Dan tidak sewenang-wenangnya meletakkan hukum secara literal, tanpa memahami konteks secara menyeluruh. Tetapi itulah kegagalan kita, semudah kita mengambil pegangan, aku hanya mahu ikut Mazhab Syafie, jadi aku tak perlu tahu tentang fiqh daripada Mazhab lain. Very-very simplistic! Semudah itu juga masyarakat kita suka dengan hiburan kerana ia tidak memberatkan otak untuk berfikir. Lihat sahajalah rancangan-rancangan di televisyen, masih kelihatankah rancangan-rancangan kuiz yang membina minda? Melainkan ia hanya digantikan dengan rancangan realiti TV yang berunsurkan hiburan (walaupun nampak Islamik!).
  4.  Spoon-fed Education– Apabila masyarakat kita malas membaca, maka ilmu yang kita timba adalah informasi yang disuap. Sebenarnya ia bukanlah ilmu, tetapi informasi. Inilah yang berlaku di dalam masyarakat kita. Sejak daripada kecil, anak-anak sudah bermalas-malasan membaca buku (konotasi membaca buku juga hanyalah dikaitkan dengan buku pelajaran), sedangkan anak-anak sepatutnya digalakkan membaca apa jua jenis buku berdasarkan umur mereka. Aktiviti-aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran juga hanyalah aktiviti sehala, yang tidak menggalakkan kepada percambahan pemikiran. Apa yang cikgu ajar, itu yang wajib ditelan dan dilumat tanpa perlu banyak soal. Mempunyai pandangan yang bertentangan dengan guru adalah satu kesalahan, hatta memberikan jawapan yang berbeza daripada skema jawapan (meskipun betul), juga dikira salah. Maka masyarakat kita sukar berlapang dada apabila berselisihan pendapat. Pemikiran spoon-feed ini bukan sahaja merosakkan disiplin pemikiran kita, tetapi menjadikan masyarakat berfikiran simplistik seperti dalam perkara 3 yang saya kongsikan di atas.
  5. Tidak ada ‘assertiveness’ – Assertive ini ialah satu sikap di mana, apabila kita tidak bersetuju dengan pendapat orang lain, kita nyatakan pendirian kita dengan jelas, tanpa perlu menyakiti hati orang lain. Namun apa yang berlaku dalam masyarakat kita, biarpun di media sosial ataupun secara pertemuan berhadapan, apabila kita tidak bersetuju dengan pandangan orang lain, maka apa yang berlaku adalah pembantaian secara beremosi, sinikal dan sarkastik. Hatta berlaku pembunuhan karakter meskipun di kalangan agamawan. Sedangkan akhlak-akhlak inilah yang ditegah oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sukarnya masyarakat untuk menyatakan, “Sorry, I beg to differ”, “Maaf, saya rasa pendapat itu sesuai, tetapi saya kurang bersetuju kerana…..”
    Tidak ada keharmonian dalam perbezaan pendapat kerana semua ingin menang dan berpuas hati atas kemenangan.

Maka sebenarnya, pada fasa kehidupan ini, sesungguhnya, kami merasakan amat sukar untuk membawa masyarakat sama-sama berubah, tetapi itulah tanggungjawab yang harus dipikul. Sedikit-sebanyak, budaya yang tidak elok ini juga ada yang terpalit pada diri kami, dan kami sentiasa bermohon kepada Allah SWT supaya jadikanlah kami daripada kelompok yang sedikit. Kelompok yang sentiasa berusaha mencari redhaNya dan berjihad untuk mengubah mentaliti masyarakat. Ia adalah perjalanan yang sungguh sukar, dan yang paling mudah adalah meninggalkannya- pack your stuff and leave the country. Namun, kami tidak mahu dipersoalkan oleh Allah SWT kelak, apakah yang telah kami lakukan untuk ummah.

Ya Allah, bantulah kami, kerana sesungguhnya tanggungjawab ini tidak pernah selesai. Permudahkan ia ya Allah.