Adakah kadangkala kita merasakan dunia ini tiba-tiba menjadi sempit? Seolah-olah semua yang ada memusuhi kita, dan memerangi kita. Seolah-olah prinsip yang kita pegang, tidak seperti mana mereka yang berada di sekeliling kita. Seolah-olah kita tidak dipedulikan, seolah-olah kita dikesampingkan.

Aku┬ámenyuarakan perasaan yang sama kepada isteri tempoh hari, ada sahaja rasa yang tidak kena. Seperti mana mahu melarikan diri, mungkin sahaja pulang ke kampung halaman menjenguk ayah bonda, ataupun membawa diri merajuk pergi ke luar negara. Negara ini penuh kebobrokannya, hatta mereka yang mahu mengubah kebobrokan itu, nampaknya menumpang menjadi orang-orang yang bobrok jua. Apakah tulah dan sumpahan yang terkena, wallahu ‘alam. Namun, pelarian itu, hanyalah pelarian sementara. Ia tidak mampu menyelesaikan masalah yang dihidang di depan mata, yang membungkam jiwa.

Jawapan isteriku mudah, “Abang, kita kena muhasabah balik hubungan kita dengan Allah”

Ya benar, tatkala kita merasakan dunia ini ‘berperang’ dengan kita, sesungguhnya kita ada Allah SWT. Kepada Dia kita mengadu nasib kita, kepada Dia kita memohon diberikan ketenangan dalam kehidupan, kepada Dia kita memohon keampunan, kerana kepada Dia jualah kita akan dikembalikan.

Untungnya, perasaan itu hadir tatkala Ramadhan menjengah. Maka mungkin itu juga adalah ujian dari Allah SWT, supaya Ramadhan ini dimanfaatkan sebaiknya, untuk mengabdikan diri ini semata-mata kepadaNya.

Ahlan wa sahlan Ya Ramadhan. Sesungguhnya aku merindui kehadiranmu, sebagai bulan yang penuh keberkatan dan rahmat, agar aku dapat menyuci diriku, kembali kepada fitrah.

Bebaskanlah diri kami daripada belenggu masalah kami. Bebaskanlah diri kami daripada nafsu yang sentiasa menggoda diri dan beraja di hati. Rapatkanlah ukhuwwah kami semata-mata keranaMu ya Allah dan jauhilah persengketaan sesama kami. Perelokkanlah akhlak kami, hiasilah peribadi kami dengan akhlak yang murni.

Inilah azamku menjelang Ramadhan ini. Moga aku menjadi insan yang lebih dekat dengan Tuhanku, insan yang jiwanya tidak terhimpit dengan perkara dunia, insan yang murni akhlaknya, yang luhur pekertinya. Agar aku menjadi insan yang tidak mudah diperkotak-katikkan oleh nafsu dan bisikan syaitan. Agar aku menjadi insan yang teguh mempertahankan aqidahnya, tegas pada prinsip, namun santun dalam tatacara dakwahnya.

Ya Allah, perkenankan doa aku. Sampaikanlah aku kepada Ramadhan, dan jadikanlah Ramadhan ini yang terbaik buatku hingga ke saat ini, sejak aku dilahirkan.

Kepada semua,

Ramadhan Mubarak!

57fe2ebb0c