Sudah lama saya tidak menulis di dalam blog ini. Urusan kerja sebagai pensyarah (baca: mengajar, kajian, menyediakan proposal permohonan geran, menyelia kerja pelajar, penulisan kertas jurnal) dan tanggungjawab baru sebagai ketua kepada pusat kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran yang baru dibuka di tempat kerja saya, sungguh menuntut kesabaran untuk menyelesaikan tanggungjawab tersebut. Di samping itu juga, tanggungjawab di rumah, walaupun isteri tak bekerja sekarang (blessing in disguise, Alhamdulillah), anak-anak juga harus diberikan tumpuan yang sewajarnya. Sudah dua orang yang bersekolah, maka kami berdua harus cakna dengan perkembangan fizikal, mental dan psikologi anak-anak kami kerana ada perubahan yang ketara dalam sistem pendidikan di luar negara dan di dalam negara kita sendiri.

Semalam, hari Jumaat, saya berada dalam perjalanan saya dari Seri Iskandar ke Ipoh atas urusan kerja, dan saya mainkan radio IKIM.fm. Sebuah tazkirah yang pendek, tetapi sungguh berkesan kepada saya. Terasa sebak, dan saya seka air mata daripada mengalir.

Tazkirahnya ialah sesuatu yang kita selalu dengar, tanggungjawab kita kepada ayah dan ibu kita. Ustaz tersebut bertanya,

“Adakah mencukupi kita menghantar wang kepada ibu ayah kita, ataupun kita mengupah pembantu/bibik/maid untuk menjaga ibu dan ayah kita yang sedang meniti usia tua sebagai balasan kita sebagai anak yang soleh?”

“Ibu bapa kita dahulu membesarkan kita dengan tangan mereka sendiri, lalu mengapa kita perlu mencari orang lain untuk menjaga mereka ketika mereka di usia tua?”

Ustaz tersebut menyebut lagi tentang cerita sahabat Rasulullah yang bertanyakan Rasulullah, siapakah yang lebih utama selepas Allah dan Rasulullah, maka dijawab Rasulullah SAW, Ibu, Ibu, Ibu, dan kemudian bapa.. kita cukup tahu tentang hadith yang ‘famous’ ini. Tetapi adakah kita mengamalkannya?

 “Antara urusan kerja, sibuk dengan client, dengan perniagaan, dengan ‘sealing the deal’, dan ibu bapa yang berada di kampung halaman, yang meniti usia tua, sakit tua, apakah pilihan kita?”

Ustaz tersebut juga menceritakan bagaimana ketika zaman Saidina Umar, ada seorang lelaki mendokong ayahnya mengelilingi Kaabah ketika bertawaf, dan ramai yang memuji lelaki tersebut. Tetapi Saidina Umar menambah bahawa, ini tidak mencukupi. Betapa ramai di antara kita yang tanpa sedar terdetik di hati untuk berkhidmat dengan ibu bapa kerana mereka sudah tua, dan tak punyai masa untuk hidup lama, sedangkan ibu bapa kita ketika kita kecil, mereka tidak pernah mendoakan kita pendek umur, sebaliknya panjang umur dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.

Ustaz itu menyebut, kadang-kadang ibu ayah telefon kepada kita, katanya durian di kampung dah menjadi, buah-buahan dah masak ranum. Itulah tandanya bahawa mereka mahu kita pulang, dan jangan buat-buat tak faham.  Mereka nak main-main dengan cucu mereka.

Ustaz itu juga menceritakan bagaimana seorang sahabat baik beliau, seorang yang berjawatan dan bergaji besar, meletakkan jawatan lalu pulang ke kampung halaman kerana mahu berbakti kepada ibu dan ayah beliau, dan menjadi ahli perniagaan yang berjaya, hatta mempunyai hotel di kampung tersebut. Ini adalah bukti keberkatan kita berbuat baik kepada ibu bapa kita, Insha Allah.

Terima kasih ustaz yang tak sempat saya kenali siapakah beliau daripada corong radio IKIM.fm itu. Selepas tazkirah itu, cepat-cepat saya menghubungi mama dan ayah. Mama tidur tak berapa sihat, dan ayah yang menjawab panggilan telefon. Sekurang-kurangnya terubat rindu, walaupun cuma 2 minggu lalu kami telah pulang dan bersama-sama bercuti di Selatan Thailand.


Sejak saya berada di bumi Makkah bagi mengerjakan urusan haji, saya sudah menyatakan hasrat kepada isteri saya, yang Insha Allah, saya akan pulang ke Perlis juga pada suatu hari nanti untuk berbakti kepada mama dan ayah. Sudah banyak yang mereka berikan kepada saya, hatta sehingga ke hari ini. Malu juga adakalanya sedangkan pada umur saya sekarang, sepatutnya saya yang lebih banyak memberi kepada mak ayah, tetapi selalunya terbalik. Mama dan ayah always being there for me, no matter what.

Mungkin juga kerana saya sudah terlalu lama di negara orang, maka saya menetapkan hati, saya mahu pulang dan berbakti kepada mama dan ayah. Itulah matlamat utama saya, dan Insha Allah dalam beberapa tahun akan datang, saya akan pulang. Sejak di Padang Arafah, saya memperbanyakkan doa, agar Allah memanjangkan umur mama dan ayah dan memberi kesihatan kepada mereka, agar saya dapat berbakti kepada mereka. Sejak kepulangan kami, sudah banyak petanda yang saya perolehi bahawa satu hari nanti, Insha Allah, saya akan pulang, dan sesungguhnya saya tidak sabar untuk pulang ke laman ayah bonda. Saya tidak peduli rumah agam kami di sini, apatah lagi segala aset yang ditinggalkan kerana Insha Allah saya yakin, sekiranya kita ada usaha untuk berbuat baik kepada ibu bapa, semua yang lain, Allah akan jaga. Semua petanda yang saya perolehi (sebelum ini ketika ceramah Ustaz Dr Zahazan di Masjid an-Nur UTP), cenderung untuk mengiyakan apa yang saya impikan. Sudah cukuplah dengan pencapaian saya dengan PhD yang saya ada sekarang, kerana masa ini adalah masa untuk berbakti kepada ibu ayah saya, dan masa untuk anak-anak saya pula membesar dan memperolehi cukup kasih sayang daripada ummi & abi, supaya mereka membesar menjadi insan yang berguna kelak, Insha Allah.

Saya sudah menyatakan hasrat ini kepada mama dan ayah untuk pulang ke Perlis dalam beberapa tahun akan datang, dan Alhamdulillah terpancar kegembiraan di wajah mereka. Soal kerja, soal ‘career’, itu sudah jatuh no 3 kerana no 2 ialah kebajikan isteri dan pendidikan anak-anak saya. Walaupun anak saya baru berusia 9 tahun yang sulung, kami sudah mensasarkan ke sekolah  menengah mana dia akan pergi (yang pastinya bukan sekolah berasrama penuh/MRSM), dan di mana pula anak-anak lelaki kami akan bersekolah. Ini bukanlah lagi satu rahsia, cuma menantikan saat masanya Insha Allah.

Para pembaca yang budiman, aminkan lah impian saya ini. Pertama, moga Allah memanjangkan umur dan memberikan kesihatan yang baik untuk mama dan ayah. Kedua, moga Allah mempermudahkan urusan saya sekeluarga untuk pulang ke laman ayah bonda. Ketiga, agar saya dalam keredhaan mereka, menjadi anak soleh untuk menempah tempat saya di syurga bersama-sama dengan mereka…suatu hari nanti, Insha Allah.

Mama dan ayah, sama-sama akan meniti umur 60 tahun pada bulan Mei ini..dan beza tarikh lahir saya, cuma dua hari dengan mama dan 6 hari dengan ayah. 🙂

317888_10150377080619300_859987050_n