42 hari lepas, dan gambar hari ke 41. Berat sebelum 106kg. Hari ini 102.6kg, dengan kehilangan body fat sebanyak 3.06kg.
42 hari lepas, dan gambar hari ke 41. Berat sebelum 106kg. Hari ini 102.6kg, dengan kehilangan body fat sebanyak 3.06kg.

Jauh di sudut hati, berat badan yang berlebihan ini bukanlah sesuatu yang disukai. Namun begitu, akibat kelalaian pada diri kerana tidak mempunyai ilmu tentang makanan dan kesihatan, tidak pentingkan kesihatan dan tidak menjaga badan sebelum ini, maka mudah saja lemak-lemak bertempek di sekeliling perut, paha, lengan, dada dan sebagainya.

Sayang sekali, adakalanya percubaan demi percubaan untuk kurus tidak menjadi. Jalan mujahadah itu, Subhanallah, bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi kepada seseorang seperti saya, yang sejak dari kecil hanya pernah merasai badan itu menyusut kecil hanyalah kerana akil baligh, ia merupakan satu cabaran yang sungguh sukar. Selepas mengecil, ia membesar kembali seperti zaman saya sebagai kanak-kanak.

Ketika saya berada dalam darjah 1, saya diejek sehari-hari dengan panggilan ‘Paddle Pop’, seekor singa gemuk yang menjadi maskot ice cream Paddle Pop kegemaran anak-anak zaman kami menjadi kanak-kanak dahulu. Pagi-pagi apabila tiba di sekolah, aktiviti kejar-mengejar berlaku antara saya dan rakan sekelas. Akhirnya, pagi itu diakhiri dengan tangisan kerana diejek dengan panggilan sedemikian. Tetapi mungkin disebabkan itu jualah, Allah beri kekuatan kepada saya, supaya saya pedulikan saja cakap orang tentang bentuk badan saya, dan mungkin lebih baik saya tumpukan perhatian kepada akademik sahaja.

Sejak dari zaman kanak-kanak, ‘confidence level’ saya dengan apa-apa aktiviti sukan dan kecergasan sangat rendah. Selalu saya akan merasakan saya tidak akan habis berlari (kerana termengah-mengah), dan saya tidak akan berjaya dalam bidang sukan. Cikgu nak cuba saya lompat tinggi pada ketinggian yang paling rendah pun, saya konfiden yang saya takkan lepas. Maka disebabkan itu juga, saya hanya menyibukkan diri dengan akademik, pertandingan syarahan/debat dan kuiz. Itulah kelemahan saya.

Saya tahu perasaan orang gemuk dan obese. Ia adalah perasaan ‘inferior’ dan rasa rendah diri yang amat mendalam. Apatah lagi kepada seseorang yang daripada kecil tidak pernah merasai nikmat kurus dan sihat bertenaga! Kalau berlari selalu termengah-mengah, dan adakalanya akan jadi cepat ‘give up’ kerana ia teramat SUKAR! Dan percayalah, perasaan ini berbeza berbanding dengan seseorang yang sejak kecil kurus, kemudian ‘terbesar’ kerana kahwin, terlebih makan , dan kemudian dapat menguruskan badan semula. Ia mungkin sedikit mudah bagi mereka, tetapi kepada yang tidak pernah mengecapi nikmat menjadi kurus dan bertenaga, ia akan menjadi sesuatu yang berharga, ‘a completely defined of new me’ sekiranya dapat menguruskan badan suatu hari nanti.

Saya menjebakkan diri secara aktif dalam sukan ‘fitness’ sejak saya mempunyai dua orang anak, Amanina dan Falah. Saya tidak mahu mereka membesar melihat abinya yang malas dan sentiasa penat untuk melayan mereka. Gambar-gambar saya semasa ada Amanina dan Falah dulu, sangat pathetic, asyik layan mereka ketika saya terbongkang baring di atas karpet di ruang tamu, dan mereka samada berada di atas perut saya, atau di kepala saya. Itulah layanan saya kepada mereka, kerana saya MALAS dan cepat LETIH.

Seperkara lagi, saya tahu bahawa untuk menguruskan badan, tidak ada magisnya. Semuanya memerlukan usaha yang konsisten, dan bersungguh-sungguh tanpa jemu. Tetapi itulah saya sebelum ini, cepat jemu dan mengalah. Saya pernah berjaya menuju kepada berat yang terendah sepanjang tempoh perkahwinan saya, tetapi ia bersifat sementara, dan saya perolehnya ketika saya berada di bumi London, sebuah kota yang ramai penduduknya mementingkan makanan yang sihat dan gaya hidup sihat. Satu kehidupan yang sungguh ideal! Tetapi apabila pulang ke tanahair, cabarannya berliku. Setahun lepas, saya gagal dalam ujian itu, berat badan naik kembali 10-12kg. Sekarang ia kembali dalam tiga digit.

Namun Alhamdulillah, sukan fitness masih lagi menjadi kegemaran saya. Dan buktinya, Alhamdulillah saya mempunyai mini gym sendiri di dalam rumah. Bukan sahaja untuk saya, tetapi sebagai contoh teladan kepada anak-anak supaya sedar kepentingan menjaga kesihatan badan dan tidak membesar menjadi budak gemuk seperti saya.

Walau bagaimanapun, saya agak terkilan kerana bukti-bukti testimoni orang yang menguruskan badan, tidak datang daripada seseorang yang sejak dari kecil adalah budak gemuk. Adakalanya mereka tidak gemuk pun, cuma terlebih isi. Dan saya rasa kadang-kadang mereka tidak layak untuk bercerita tentang perasaan orang gemuk, sekiranya hanya badan cukup-cukup berisi dan mudah saja turunkan berat badan.

Mungkin bunyinya kelakar, tetapi doa saya semasa di Padang Arafah mudah-mudahan Allah memberikan tubuh badan yang sihat, bertenaga, lebih kurus daripada sekarang, supaya lebih bertenaga saya untuk menyumbang kepada ummah. Ya, saya mohon kepada Allah supaya saya jadi kurus. Ameen Ya Allah.

Dan pada hari ini, hari yang ke 42 dalam #90dayschallenge dalam percubaan saya, ia adalah percubaan yang lebih bertenaga daripada yang sebelumnya. Saya kembali yakin kepada kemampuan diri, yang saya Insha Allah akan mampu untuk menguruskan badan saya. Saya mohon doa teman-teman, kerana saya mahu badan mengecil bukan sahaja untuk diri saya, tetapi kepada anak-anak saya, biar mereka sedar sejak dari kecil mereka perlu menjaga pemakanan dan pastikan diri sentiasa aktif supaya tidak gemuk di kemudian hari. Apapun, yang terpenting sekali, ia adalah sunnah Rasulullah SAW untuk mempunyai bentuk badan sebegitu.

Kepada rakan-rakan di luar sana, yang tidak pernah merasai badan yang gemuk, berhentilah mempermainkan perasaan orang gemuk, seperti menggelarkan orang-orang gemuk, dan berhentilah menjadi wakil kepada orang gemuk, sekiranya anda hanya gemuk sebentar kemudian cepat-cepat jadi kurus, kerana ia tetap tidak sama. Your body metabolism is not the same like us. Your visceral fat in your tummy is not as much as what we accumulated since we’re small!

Meskipun di luar raut wajah kami tidak ada apa-apa kerana ada saja antara kami yang happy go lucky, tetapi ia adalah satu kesakitan yang mencucuk ke tulang sendi dan lemak-lemak kami, bahawa kami ini diuji Allah Taala dengan bentuk badan sebegini. Bukan pasrah dan menyerah, kerana itu bukan prinsip saya, cuma belum rezeki.

Sejak memulakan langkah challenge 90 hari ini, ada juga terberhenti momentum sehari dua, tetapi Alhamdulillah, saya masih tidak mahu ‘give up’ kerana Insha Allah saya yakin kali ini, saya mampu berubah.

Saya akan berkongsi proses transformasi saya, dan mudah-mudahan yang rasa loya tekak dan tak lalu, bolehlah hide saya. Saya mahu berkongsi dengan rakan-rakan yang obese sejak dari kecil, bahawa Insha Allah ada jalannya kepada kita untuk merasai badan yang lebih kecil, lebih sihat dan kita lebih aktif Insha Allah. Yang paling penting, mujahadah kita untuk ikut sunnah Rasulullah.

Sejak 42 hari lepas, berat saya sudah menyusut antara 3-4 kg, dan penyusutan ketara 2kg lebih sejak 2 minggu lepas. Dalam 20 hari awal, transformasi agak perlahan. Sekarang, saya akan pastikan saya balik rumah jam 5, dan jam 6 ptg wajib masuk/pergi gym. Saya juga meletakkan peringatan, bila sepatutnya saya perlu ambil snack seperti yogurt, epal, kekacang, telur dan juga peringatan untuk minum sehari-hari sekurang-kurangnya 10 gelas air. Saya juga memastikan, hari-hari saya bukan hari yang mandom. Sekurang-kurangnya kalau tidak bersenaman pada hari itu, saya perlu membantu isteri kemas rumah, turun naik anak tangga buat kerja, dan bukan ‘living sedentarily’ lagi.

Insha Allah, ini kalilah. Doakan kejayaan saya . Ameen