2014-09-21 14.31.23

“Kononnya dah pergi haji, tapi perangai serupa tu jugak”

“Mentang-mentang pergi haji, perasan ‘suci’ la tu, semua dia cakap dia rasa betul”

“Haiii..dah pergi haji pun, cakap tak serupa bikin jugak”


Saya rasa mungkin graduan haji (dan umrah) akan berdepan dengan situasi ini.

“To err is human. To ask forgiveness from Allah is a Mukmin”, itulah yang saya selalu pegang.

Jujurnya, dalam usaha nak kejar syurga Allah ni, iblis makin lama makin akan hantar bala syaitan yg makin kuat untuk melalaikan kita dan menyebabkan kita boleh tersasar daripada jalan yg kita mahu tuju.

Walaupun baru pulang dari haji, syaitan dan nafsu tidak jemu-jemu juga menghasut saya daripada lalai dan lepa daripada menghambakan diri kepada Allah Taala. Adakalanya saya sendiri rasa terdetik lalai, kaki masih lemah nak melangkah ke masjid dan surau, kadang-kadang malas nak ke surau A atau B, sebab tak suka dengan bacaan imamnya yang perlahan, sangkut-sangkut, kadang-kadang melewat-lewatkan diri untuk menunaikan solat.

Kadang-kadang juga, masih terdetik rasa macam bagus sangat dengan tulisan-tulisan kat fb/blog, masih terasa eh bestnya si fulan dan si fulan ni ‘like’ status aku.

Kadang-kadang ada juga mendengar sayup-sayup komen daripada si fulan bin si fulan yang tak bersetuju dengan tulisan yang saya tulis dan menyebabkan kita terasa “apahal mamat/minah ni”. Adakalanya status-status yang saya tulis menjadi daging untuk A tetapi menjadi racun untuk B, memang tidak semua orang kita dapat puaskan hati. Bukan sekadar tulisan, tetapi perkataan kita, perbuatan kita sendiripun.

Kadang-kadang ada juga syaitan menghasut bila ada pertikaman lidah antara kami suami isteri tentang sesuatu yang boleh membawa lagi kepada ‘rasa marah dan berkecil hati’. Jangan tak tahu, normallah kalau saya danPutri Nurizatulshira ada sahaja perbezaan pendapat (yang mungkin ada yang terkecil hati sesama kami), tetapi cepat-cepat memulihkan keadaan adalah lebih afdhal.

Ada juga, dan mungkin juga berlaku perkara-perkara yang kita janji pada Allah tak mahu buat dan bertaubat atasnya, tetapi kerana lemahnya kita sebagai insan, perkara itu berulang lagi, walaupun sudah pergi HAJI.

Perkara-perkara ini berlaku kerana kita manusia,hambaNya yang tidak maksum. Benar, nak menuju haji mabrur, bukanlah kita tahu keputusannya sekarang, tetapi apabila kita sudah mati kelak, tahulah kita mabrurnya haji kita ataupun tidak.

Apa yang Allah mahu daripada kita ialah sentiasa memohon keampunan daripadaNya (itupun ada kemungkinan kita tetap lalai juga).

Moga Allah ampunkan dosa saya, isteri saya, ahli keluarga saya, teman-teman, sahabat-sahabat dan seluruh Muslimin dan Muslimat. Berdasarkan ilmu saya yang cetek ini, apa yang sepatutnya berlaku sebelum dan selepas haji ialah ada perubahan yang baik, walaupun sedikit tetapi istiqamah (Itupun jenuh juga!).

Moga Allah pelihara kita semua daripada melakukan kezaliman, baik ke atas diri, ataupun kepada sesiapa sekalipun. Kepada yang mungkin terasa hati dengan saya, baik dari segi tuturkata, tulisan atau perbuatan, dan mungkin terkeluar dialog-dialog di atas, ketahuilah, saya juga manusia biasa, tak lari daripada dosa, walaupun saya dah balik HAJI.

Dari Saidina Anas ra yang bermaksud: “Semua anak Adam berdosa, maka sebaik-baik orang yang berdosa ialah bertaubat.” (Riwayat Ahmad)

“Hai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Az-Zumar: 10)

Astagfirullahal ‘azim.