PROLOG

“Teringat kenangan semasa di sekolah menengah yang sebenarnya satu kehidupan remaja saya yang sangat mencabar. Saya menjadi remaja yang tidak happy go lucky. Saya ego dengan prinsip everything have to be perfect and follow the rule and system mengakibatkan saya kehilangan ramai kawan. Hanya orang yang benar-benar faham dengan saya akan terus bersama-sama saya menganuti prinsip tersebut. Apatah lagi sebagai ketua pengawas, saya cenderung dengan sikap tidak bertolak ansur dengan rakan-rakan yang melanggar disiplin di sekolah. Ya, harga prinsip itu ialah kehilangan ramai rakan. Bila saya masuk KMB, diamanahkan sebagai timbalan Presiden MPP, maka saya agak ‘tone down’ dalam membentuk generasi sebaya saya. Mereka memilih saya, maka saya perlu bijak dalam menjayakan program2 yang dapat membentuk fikrah mereka. Ya, pada prinsipnya sehingga hari ini, saya sangat cenderung untuk merobah dan menganjakkan paradigma masyarakat kepada sistem yang saya percaya ia adalah sistem yang terbaik tetapi dengan memanjat usia, saya rasa diri saya lebih matang dalam usaha saya mem’pengaruhi’ masyarakat. Tidak lagi cubaan untuk menjadi ekstremis dan tidak juga terlalu berlembut. Task and people focus balance. Apa-apapun cabarannya tetap ada. Cuma dahulu, saya keseorangan. Sekarang, saya bersinergi dengan isteri untuk membawa perubahan itu. Terima kasih isteriku”
(Status Facebook, 26 November 2011)

Sejak dari sekolah rendah lagi, saya membesar sebagai seorang yang ‘kiasu’. Sefaham saya, ‘kiasu’ bermaksud mementingkan diri sendiri apabila mahu menuju ke depan, tidak peduli kepada orang lain, tidak kisah orang lain mahu berjaya atau tidak. Ya, saya tak punyai ramai kawan baik semata-mata kerana saya hanya terlalu menumpukan kepada apa yang saya mahu capai. Seboleh-bolehnya, saya mahu yang tertinggi, yang terbaik, yang paling cemerlang! Saya akan cepat rasa iri hati melihat kejayaan orang lain!  Sistem pendidikan yang dilalui juga seolah-olah menggalakkan sikap saya ini menjadi-jadi, maka apa yang saya boleh katakan, bermula dari darjah 1 hingga ke tingkatan 5, hanya 2 kali sahaja yang saya tidak mendapat tempat pertama dalam seluruh darjah dan tingkatan. Pada saya, peduli apa jika rakan-rakan sekelas tidak mahu belajar.  Yang penting aku di kedudukan yang teratas, dan aku yang terbaik!

Saya juga mengaktifkan diri dalam kegiatan ko-kurikulum terutamanya pertandingan syarahan, pidato, bahas dan kuiz. Saya memegang jawatan sebagai ketua pelajar di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Saya mahu menjadi yang terbaik dalam segala-galanya, kecuali dalam aktiviti sukan, kerana saya obes sejak kecil. Mungkin obes itu juga menyebabkan saya berasa rendah diri daripada aspek fizikal, maka saya perlu berusaha segigihnya untuk menjadi yang terbaik dalam aspek lain.  Maka di akhir darjah 6, saya memperoleh anugerah murid cemerlang dan di akhir tingkatan 5, saya memperoleh anugerah pelajar contoh di sekolah dan pelajar berpotensi di peringkat negeri Perlis.  Memori di sekolah menengah terutamanya, adalah memori yang pahit. Ia pahit kerana sikap ‘kiasu’ dan ketegasan saya sendiri yang tidak bertempat. Saya jarang membantu rakan-rakan untuk berjaya seperti saya.  Selagi tidak ditanya, saya tidak membantu. Jarang sekali saya sukarela menghadirkan bantuan kepada rakan-rakan lain.  Saya juga sangat tegas dalam peraturan sekolah. Jarang sekali saya berlembut sekiranya berlaku masalah disiplin, maka saya dibenci malahan saya masih ingat, saya dipulaukan daripada ‘batch’ ketika berada di tingkatan 3. Nama saya langsung tidak ditulis dalam baju yang mereka tempah sebagai kenangan bersama. Setiap tahun saya meminta daripada ayah dan mama untuk bertukar sekolah ke sekolah harian biasa, kerana saya tidak tahan dipulaukan. Almari baju saya pernah remuk, dan segala gelaran menerpa ke telinga saya.  Baik gelaran itu kepala anjing, kepala babi dan macam-macam lagi. Meskipun begitu, ayah dan mama menasihati agar terus bertahan dan bertahan.  Mungkin pelik bunyinya pada zaman sekarang, ibu ayah yang mendengar anaknya dibuli mental agar membiarkan anaknya terus dibuli, tetapi tidak kepada mama dan ayah.  Meskipun begitu, hampir setiap minggu mereka datang menjenguk saya di sekolah. Mungkin hikmahnya baru saya sedari sekarang, mama dan ayah mahu saya belajar agar bertegas dengan prinsip dan tidak goyah dengan pengaruh orang lain.  Mental saya pernah terdera semasa di sekolah, tetapi mental itu menjadi kental dan bersedia untuk hari muka.

Pengakhiran sesi persekolahan wajib saya, Allah memberikan tarbiah kepada saya bahawa tidak selamanya kita akan berada di atas. Saya tidak mendapat keputusan yang diharapkan oleh orang lain dan diri saya sendiri dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  Saya tidak menduduki tempat teratas di sekolah saya, apatah lagi keputusannya adalah keputusan yang biasa (7 aggregat), malahan bukan ‘top 5’ sekalipun.  Namun begitu, saya mengakhiri zaman sekolah menengah dengan menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Kolej MARA Banting (KMB). Saya ditawarkan menyertai program persediaan ke luar  negara yang dinamakan program diploma International Baccalaureate (IB). Saya dan rakan-rakan sepengajian ditaja oleh MARA menggunakan keputusan percubaan SPM kami. Selepas tamat pengajian ini, jika kami berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya 35 mata (daripada jumlah maksimum 45 mata), maka kami boleh melanjutkan ijazah sarjana muda di United Kingdom (UK), di universiti-universiti pilihan kami dalam bidang kejuruteraan atau perubatan. Tempoh pengajian kami adalah selama 15 bulan dan kami adalah kumpulan yang pertama dan yang terakhir untuk melalui program IB sesingkat itu kerana selalunya program ini perlu dilalui selama 24 bulan! Pada awalnya, memang saya rasa rendah diri dengan rakan-rakan lain di KMB, kerana mereka berjaya dalam peperiksaan percubaan SPM, dan mereka juga pelajar terbaik dalam keputusan SPM, tidak seperti saya. Seorang rakan saya di sekolah menengah menasihati saya, “Syukurlah, Allah dah berikan rezeki untuk Tazli ke luar negara, buatlah sebaik mungkin kerana rezeki Tazli, Allah dah bawa ke KMB, bukan pada keputusan SPM.” Saya tersentak,sungguh benar kata-katanya, saya perlu bersyukur kepada Allah SWT atas segala-galanya yang telah diberikan kepada hambaNya. Ya, saya rasa jatuh, tetapi bersemangat semula untuk melakukan yang terbaik dalam program IB.

Walaupun tempoh program IB itu singkat, di situlah saya belajar erti persahabatan, dan setiakawan.  Saya belajar bahawa dalam ketegasan kita memegang prinsip hidup, kita boleh menyampaikan prinsip kita kepada orang lain, dengan lunaknya kata kita bertutur dan sopannya kita mengawal tingkah. Dua perkara ini tidak terlintas langsung dalam benak saya sepanjang di sekolah menengah bahawa mereka boleh beriringan.   Selepas 2 minggu saya menyertai program tersebut, saya mendapat sepucuk emel mengandungi peringatan dan nasihat daripada seorang pelajar yang saya tidak gemari pada mulanya, namun kemudiannya setelah saya mencuba sebaik mungkin mengawal ego saya, beliau menjadi sahabat baik saya sepanjang tempoh di KMB.  Firdaus namanya, sekarang merupakan seorang usahawan yang berjaya meskipun beliau merupakan seorang graduan kelas pertama di University of Sheffield.  Beliau banyak mengajar saya untuk memperbetulkan tujuan belajar dan memperoleh keberkatan hidup hanya dari Allah SWT. Peringatan beliau cukup menyentuh kalbu.

Dalam keadaan susah dan sukar di KMB, maka kami bertungkus-lumus membantu antara satu sama lain mudah-mudahan semuanya dapat mencapai mata yang diinginkan dan menyambung pengajian bersama-sama ke UK.  Kadang-kadang apabila selesai sesi ulangkaji saya dan Firdaus, dan ada ilmu baru yang kami peroleh, cepat-cepat kami cari rakan lain untuk dikongsikan maklumat tersebut. Program IB ini sangat sukar. Masakan tidak, ketika umur kami mencecah 18 tahun, kami dikehendaki mempelajari 6 mata pelajaran  yang diuji di dalam peperiksaan (Malay A1/Kesusasteraan Melayu, English, Business and Organization Studies, Mathematics, Chemistry dan Physics), kami juga dikehendaki menyiapkan dua esei dalam subjek Theory of Knowledge (TOK), dikehendaki menyiapkan 3000 patah perkataan dalam mini tesis (Extended Essay) berdasarkan subjek yang dipilih (saya memilih Kesusasteraan Melayu) dan juga melaksanakan 150 jam kerja-kerja komuniti yang dipanggil creative, action and service (C.A.S).  Semuanya ini adalah terlalu baru dan rumit bagi kami semua yang melalui sistem pendidikan di Malaysia, yang kita semua tahu ia berunsurkan peperiksaan semata-mata (exam oriented).

Jujurnya, program IB adalah program yang membentuk diri saya menjadi seseorang yang lebih cakna kepada rakan taulan, dan kepada orang lain. Alhamdulillah, pada majlis graduasi kami, saya memperoleh 40 mata dan dianugerahkan pingat ‘Community Service Award’. Apa yang paling manis,  rakan-rakan di KMB-lah yang masih menjadi sahabat-sahabat baik saya sehingga ke hari ini,kerana sehingga ke hari ini, saya menghargai teguran dan nasihat mereka. Teguran supaya berusaha kawal rasa marah, teguran supaya hilangkan sifat-sifat tercela, teguran supaya menjadi pemimpin yang bukan hanya tahu mengarah, sebaliknya turut serta membantu. Allah menghadirkan mereka dalam tempoh sesingkat itu untuk membentuk karakter saya. Alhamdulillah!

Saya kemudiannya melanjutkan pelajaran ke University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST) di Manchester, United Kingdom dalam bidang kejuruteraan kimia. Kehidupan dalam tahun pertama di tempat orang sungguh mencabar apatah lagi saya merasakan saya keseorangan. Ada rakan lain juga dari Malaysia yang sama-sama berkongsi kursus, tetapi kami tiada ‘chemistry’, walaupun kejuruteraan kimia!  Sahabat-sahabat baik saya, Zamir, Firdaus, Fahmi, Azri dan Adzhar, kesemuanya melanjutkan pelajaran di University of Sheffield. Kehidupan saya sungguh melankolik, tidak ada apa-apa yang menarik perhatian. Saya kerap berhujung minggu di Sheffield semata-mata mahu memenuhi tuntutan sosial saya. Maka pada ketika itu, saya bertekad untuk memohon daripada pihak MARA agar membenarkan saya menukar tempat pengajian ke University of Sheffield kerana kehidupan saya di Manchester yang penuh depresi. Saya berjaya membuktikan bahawa dalam kehidupan yang sukar itu, saya masih mampu mencapai keputusan kelas pertama di UMIST dalam tahun pertama pengajian. Saya berjanji dengan pihak penganjuran pelajaran MARA agar membenarkan saya menukar tempat pengajian ke University of Sheffield semoga saya dapat mengekalkan momentum pengajian saya. Alhamdulillah, permohonan saya diluluskan, dan saya berjaya mencapai kelas pertama keseluruhan (1st class honours).

Di Sheffield, saya ditemukan Allah dengan pasangan hidup saya, Putri Nurizatulshira, yang saya panggil beliau Shira. Selesai pengajian ijazah sarjana muda, kami ditunangkan. Saya hanya mampu bertahan sebagai jurutera hanya selama dua bulan.  Rupa-rupanya, saya tidak minat kepada benda, saya minat kepada orang, saya minat membentuk diri, dan membentuk orang lain, bukannya membentuk produk untuk mencapai spesifikasi.  Saya sangat cenderung untuk menjadi seorang pensyarah, apatah lagi semasa saya belajar, kehidupan kami dikelilingi oleh abang-abang dan kakak-kakak yang sedang melanjutkan pelajaran dalam PhD mereka. Mereka menceritakan kerjaya sebagai seorang pensyarah dan selalu menggalakkan kami untuk menyambung pengajian di peringkat PhD. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, ada 4 orang termasuk saya sudah tamat dalam PhD masing-masing dan ada 4 atau 5 orang lagi yang dalam proses menyiapkan PhD mereka. Kami semuanya sekelas di KMB.

Saya kemudiannya ditawarkan bekerja sebagai pensyarah pelatih di salah sebuah universiti di utara tanahair dan hanya akan ditawarkan jawatan pensyarah apabila selesai kursus sarjana saya. Ketika saya melanjutkan pelajaran saya di peringkat sarjana di University of Newcastle upon Tyne, iaitu setelah setahun setengah bertunang, saya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Shira. Ketika itu, beliau bekerja sebagai seorang jurutera syarikat minyak dan gas di Kerteh.  Sempat jugalah kami berbulan madu di Newcastle selama hampir 3 bulan.

Usai kursus sarjana saya di sana, kami pulang dan hidup berasingan. Seorang di utara semenanjung dan seorang lagi di pantai timur selama hampir 5 bulan. Isteri saya disahkan mengandung anak pertama kami sejak di Newcastle lagi.  Kami membuat keputusan agar isteri saya dapat menyambung kursus sarjana beliau dalam bidang kejuruteraan petroleum di universiti tempat saya bekerja, dan Alhamdulillah permohonan beliau berjaya. Dalam tempoh tersebut, saya bekerja sebagai pensyarah dan isteri saya bertungkus-lumus menamatkan kursus sarjana beliau di samping kami sama-sama membesarkan anak sulung kami, Amanina yang dilahirkan selepas beberapa minggu isteri saya menyertai kursus sarjana tersebut.

Isteri saya berjaya menamatkan kursus sarjana beliau dengan cemerlang. Justeru itu, beliau perlu kembali berkhidmat sebagai jurutera, namun beliau memohon daripada majikan beliau untuk berhenti dan berkhidmat sebagai pensyarah di universiti yang sama.  Alhamdulillah, setelah 6 minggu, permohonan beliau diterima setelah beberapa kali ‘turun naik’ bangunan untuk mendapatkan pelepasan.  Selepas beliau menjadi pensyarah, kami dikurniakan pula dengan anak kedua, Falah.

Sebagai pensyarah, selain daripada tuntutan mengajar, saya dikehendaki membuat kajian penyelidikan dan penyeliaan projek pelajar-pelajar tahun akhir.  Rezeki saya dimurahkan Allah SWT maka saya selaku ketua projek untuk beberapa projek pelajar tahun akhir, berjaya memperoleh beberapa anugerah dalam pertandingan inovasi yang saya sertai di peringkat nasional dan antarabangsa.  Pihak universiti juga menghargai usaha saya dan menganugerahkan saya ‘Young Researcher Award’ dan ‘Leadership Award’ dalam salah satu majlis Hari Kualiti peringkat universiti.
Namun begitu, adakalanya tekanan kerja sungguh menghantui saya. Kemuncaknya, semasa Falah dalam kandungan, saya menjadi seorang yang pemarah, dan cepat hilang sabar. Rasa ditindas di tempat kerja, rasa hak diragut,  dan pelbagai rasa yang terbawa-bawa hingga ke rumah. Ada banyak limitasi kepada kami pensyarah-pensyarah yang berkelulusan sarjana kerana tiada kelulusan PhD. Sungguh pada masa itu, saya mahu cepat-cepat tinggalkan tempat kerja untuk menyambung pengajian PhD. Darah muda saya membuak-buak kegeraman terasa diri dikategorikan sebagai pensyarah kelas kedua, kerana masih belum ada PhD.  Pada saya ketika itu, biar apa yang terjadi sekalipun, saya perlu ada PhD. Sungguh sedikit pengetahuan saya untuk menilai apakah transformasi yang bakal saya lalui sepanjang tempoh PhD kelak. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.