10846117_10154876739660461_6396210802798488491_n

1544324_10154876739730461_5991892108549420121_n

Memenangi Anugerah Bestari Muda Public Bank tahun 1997. Kiasu tak kiasu, sejak tahun 1996 dah target nak dapatkan anugerah ini.
Memenangi Anugerah Bestari Muda Public Bank tahun 1997. Kiasu tak kiasu, sejak tahun 1996 dah target nak dapatkan anugerah ini.

Sejak dari tahun 1988, ketika itu saya berada di darjah 1, saya mahu memastikan saya mendapat tempat pertama di sekolah. Bukan sahaja tempat pertama di dalam kelas, tetapi tempat pertama dalam aliran. Hasilnya, memang setiap tahun saya memang dapat tempat pertama dalam aliran sehingga ke darjah 6. Sikap ini saya bawa ke sekolah menengah, seingat saya hanya dua kali saya tidak memperoleh tempat pertama keseluruhan, iaitu ketika tingkatan 1 semester pertama (tempat keenam keseluruhan), dan tingkatan empat semester kedua (tempat keempat keseluruhan). Guru-guru dan teman-teman mengharapkan saya memecahkan rekod sekolah ketika SPM dengan memperoleh 10A1, tetapi akhirnya saya akur dengan hakikat, bukan sahaja saya tidak memperoleh 10 A1, tetapi tidak tersenarai di kalangan penerima  6 aggregat keseluruhan. Satu pengajaran yang sungguh berharga bagi saya.

Namun, Allah telah sediakan rezeki buat saya, berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan SPM, saya ditawarkan melalui program persediaan ke luar negara di Kolej MARA Banting (KMB), iaitu program International Baccalaureate. Program ini jugalah yang menjadi pemula kepada perubahan sikap saya.

Bayangkan, sepanjang hampir 11 tahun dalam sesi persekolahan, saya sebenarnya dibesarkan melalui sistem persekolahan sebagai seorang yang KIASU. Kalau tak faham KIASU kena google ya. 🙂

Pedulikan saja saya dengan orang lain. Orang lain tak belajar, orang lain malas belajar, tak faham belajar, ada aku kesah? Apa yang saya pentingkan ialah diri saya. Asal saya yang berjaya, pedulikanlah orang lain. Saya sukar melihat orang lain lebih berjaya daripada diri saya. Saya tak boleh kalah.

Mungkin di sekolah rendah, perkara ini tidak nampak nyata. Tetapi di sekolah menengah, barulah saya memahami kenapa ramai orang tidak sukakan saya. Mereka gelar saya ‘bunch-up’, ‘polok’ dan berbagai-bagai lagi. Tapi mungkin juga dengan sikap saya yang tidak endahkan orang lain, ada aku kesah? Boleh bayangkan saya mohon dalam doa saya semasa nak ambil peperiksaan PMR, “Ya Allah jadikan aku pelajar terbaik negeri Perlis dan di peringkat kebangsaan”. Aktiviti kokurikulum pun saya pastikan saya dapat sertai. Dengan penyertaan dalam kuiz, pantun, debat, syarahan dan macam-macam lagi. Saya rasa tidak ada orang lain yang boleh memohon doa sebegitu rupa melainkan saya, yang sangat KIASU! Masalah timbul, apabila datangnya sikap KIASU ini berserta juga sifat riya’, ujub’, sum’ah dan sebagainya. Saya tak punyai ramai rakan karib di sekolah kerana sikap dan perangai saya. Astagfirullahal ‘azim.

Allah ajar saya dengan keputusan SPM saya. Saya sedar sejak saya menduduki peperiksaan itu lagi. Matematik tambahan yang saya selalu dapat A1 pun akhirnya saya hanya mendapat A2. Namun, Allah memberi saya peluang menebus kesilapan dan memperbetulkan diri saya untuk memperbaiki keadaan.

Di Kolej MARA Banting, saya dipertemukan Allah SWT dengan rakan-rakan yang membimbing saya untuk berubah. Firdaus (www.mariafirdaus.com.my), Fahmi, Adzhar, Azri, Zamir dan ramai lagi. Meskipun program kami hanya 15 bulan (buat kali pertama dan terakhir dibuat sebegitu kerana program IB sepatutnya 2 tahun), tetapi ukhuwwah itulah yang saya pegang sehingga ke hari ini. Ukhuwwah yang terjalin sangat indah. Sejak dari situ, saya belajar menghargai teman. Saya belajar membantu rakan-rakan lain untuk turut berjaya, supaya kami semua dapat sama-sama menyambung pengajian ke luar negara. Saya membayangkan, kalaulah saya tidak bersikap KIASU sejak di sekolah, mungkin lebih ramai kawan saya dari sekolah yang sama dapat sama-sama melanjutkan pelajaran ke luar negara. Perasaan sedih menular ke hati.

Sekarang, saya sudah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak. Seperti mana orang lain, saya mahu melihat anak-anak saya berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik. Tetapi, saya tidak mahu anak-anak menjadi KIASU seperti saya. Saya tidak mahu mereka mengorbankan akhlak mereka untuk mencapai apa yang dihajati. Saya tidak mahu mereka menjadikan Islam, dan jalan menuju Allah adalah untuk mencapai kejayaan di dunia semata-mata, dan oleh itu anak-anak saya perlu sedar bahawa tanggungjawab mereka, bukan sahaja untuk Allah, diri dan keluarga, tetapi juga kepada masyarakat dan negara. Kami berdua selalu mengingatkan anak-anak sejak dari mereka kecil untuk sentiasa bersedia membantu rakan-rakan yang berada dalam kesukaran.

Teach others whenever they need help.

Offer to teach whenever they are in doubt. 

Walaupun saya suka memberikan motivasi kepada anak-anak untuk berjaya, mengajar mereka untuk tidak bersikap KIASU sangat penting kerana

Kita tak mahu seorang diri masuk ke syurga, kan?

Moga anak-anak saya dijauhkan daripada akhlak mazmumah saya semasa muda-muda dulu. Ameen.