Apakah sebenarnya yang menyebabkan manusia begitu teruja untuk menyambung pengajian ke peringkat yang tertinggi iaitu PhD? Mungkin ada sesetengah yang menjawab, kami menghargai ilmu yang kami pelajari, atau inilah mata pencarian kami apabila kami bergelar doktor falsafah, atau kami tidak ada pekerjaan lalu caranya hanyalah menyambung pengajian, atau mungkin juga kerana gelaran Dr. itu yang dikejar.

Di dalam keluarga besar saya, belum ada sesiapa yang pernah bergelar doktor falsafah.  Belum pernah sesiapa sebelum saya yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Semuanya pertama kali, dan saya mahu menjadi orang yang pertama memecahkan ruyungnya. Saya mahu diri saya menjadi kebangaan keluarga besar saya, bahawa sayalah orang yang pertama melanjutkan pelajaran ke luar negara dan sayalah orang yang pertama memperoleh ijazah PhD.  Astagfirullahalazim. (Ya Allah aku bertaubat atas niatku untuk membangga-banggakan diriku sebelum ini)

Tambahan pula, sepanjang tempoh menjadi pensyarah sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat PhD,  dada saya sentiasa berombak, manakan tidak, idea-idea kajian saya dipandang enteng, namun ada juga yang dicuri kerana saya tidak ada kelayakan untuk mengepalai projek. Pernah sekali saya membawa projek saya dan mewakili universiti saya ke peringkat antarabangsa dalam pertandingan inovasi, dan ada juga penyertaan daripada universiti-universiti tempatan yang lain. Seorang profesor daripada universiti tempatan yang turut bertanding, bertandang ke tempat pameran saya, menyoal dan mengkritik saya seolah-olah apa yang saya pamerkan tidak akan mendatangkan hasil, dan tidak akan memperoleh apa-apa pingat. Apabila keputusan diumumkan, lidah beliau kaku, apabila saya dianugerahkan pingat emas bagi projek inovasi saya. Apabila beliau bertanya, apa yang saya mahu buat seterusnya, saya menjawab, saya nak sambung PhD.

Begitulah hakikatnya. Niat saya untuk menyambung pengajian PhD saya hanyalah sebagai satu lesen untuk meningkatkan taraf saya sebagai seorang pensyarah.

Niat itu benar-benar bertukar apabila saya sendiri melalui perjalanan PhD ini.

Projek PhD saya ialah berkenaan kaedah menghasilkan gas hidrogen daripada sumber tenaga diperbaharui (renewable energy), terutamanya penggunaan alkohol yang diperolehi daripada sumber alam sekitar seperti etanol dan glycerol. Glycerol misalnya, boleh diperolehi hasil daripada tindak balas antara minyak tumbuhan atau lemak haiwan dan alkohol bagi menghasilkan bio-diesel dan glycerol ini (sebagai side product) buat masa ini tidak digunakan dan dibuang begitu sahaja.  Penghasilan gas hidrogen melalui kaedah ini, dipanggil steam reforming memerlukan ia dijalankan pada suhu yang tinggi (antara 500 ke 600 darjah celcius) dan juga dengan penggunaan pemangkin (catalyst) seperti bahan-bahan logam contohnya nikel, alumina dan sebagainya.

Dalam kesempatan saya menjalankan kerja-kerja eksperimen ini, maka saya ketemui kebesaran Allah SWT. Baru saya sedar,  apa yang saya pelajari dan saya terokai, semuanya milik Dia. Segala atom yang wujud sekecil-kecil zarah seperti atom karbon (C), atom hidrogen (H), atom oksigen (O), semuanya diaturkan oleh Allah Taala. Apabila susunan atom-atom ini berubah, molekul yang terhasil berubah. Manusia hanya mencari ikhtiar menghasilkannya, tetapi Allah yang menetapkan apakah hasilnya.

Apabila saya menggunakan pelbagai jenis pemangkin untuk melihat sejauh mana keupayaan pemangkin ini menghasilkan produk yang saya mahukan, saya dapati pada pengakhirannya gas yang terhasil tetap hidrogen, tetapi apabila saya kaji dengan lebih mendalam, saya dapati ‘route of reaction’ ataupun laluan tindakbalas untuk menghasilkan hidrogen adalah berbeza pada setiap pemangkin. Siapakah yang mencipta dan mengizinkan perkara ini terjadi jika  bukan Allah Taala?

Saya juga menggunakan beberapa teknik dan analisis untuk mengkaji pemangkin yang saya gunakan. Subhanallah, apabila saya menggunakan teknik mikroskopik untuk melihat secara lebih halus tentang logam-logam ini, mata saya tertumpu kepada kepelbagaiannya. Hakikatnya, bentuk kristal logam-logam ini juga berbeza. Siapakah yang menciptakannya jika tidak Allah Taala?

Allah Taala, tidak akan menjadikan apa yang ada di muka bumi ini dengan sia-sia. Diciptanya batu-batuan, galian mineral, flora dan fauna, bintang-bintang, langit, bulan dan matahari, pastinya ada kegunaannya yang tersendiri. Maka saya sungguh kagum kepada Allah Taala, Tuhan yang Maha Mencipta.Dan atas sebab itu jugalah yang menyebabkan saya sungguh-sungguh memberikan tumpuan dalam mengkaji bidang PhD saya.

Di dalam bidang sains dan kejuruteraan, sewajarnyalah kita sebagai pengkaji cuba dengan sebaik mungkin memanfaatkan apa yang diciptakan Allah Taala untuk kegunaan manusia sejagat. Tanggungjawab saintis dan jurutera juga sangat penting bagi memastikan keseimbangan alam dipelihara, kerana Allah SWT telah menyebut di dalam Surah ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala’ bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”

Memikirkan tanggungjawab ini, maka kita sebagai pengkaji seharusnya memikirkan apa-apa sahaja kajian yang kita lakukan, bukan sahaja untuk memperoleh keuntungan, tetapi tanggungjawab kita untuk memastikan kita menjaga kelestarian alam. Sewajarnya kita, sebagai saintis dan jurutera Muslim lebih ke hadapan dalam menjalankan kajian-kajian yang membawa manfaat kepada ummah dan manusia sejagat, berbanding hanya menjadi pengikut dan pengguna kepada teknologi.

Melihat kepada keagungan Allah SWT, menjadikan PhD saya dan bidang kajian saya ini hanyalah satu bidang yang kecil, seumpamanya ilmu Allah Taala seluas samudera, namun saya hanyalah menyelidiki sebutir buih di lautan itu. Maka atas dasar itu, mengapa saya perlu menjadi seorang yang bongkak dan takabbur apabila saya berjaya dengan PhD ini? Mengapa saya perlu merasakan saya yang terlalu pandai kerana saya sudah berjaya memperoleh PhD saya? Alhamdulillah, Allah telah memberi peluang kepada saya menebus kembali dosa-dosa saya dan memperbetulkan niat saya. Allah memperlihatkan kepada saya kekuasaanNya, dan saya hanyalah hambaNya, yang mencari redhaNya.

Usai PhD saya, gelaran doktor yang diperolehi itu tidak ada apa-apa nilainya berbanding pengalaman dan pengajaran yang saya perolehi sepanjang tempoh kursus PhD saya. Namun realiti hari ini, kita mengejar pangkat, kita mengejar populariti hanya untuk menuju ke puncak yang kita sendiri namakan ia puncak kejayaan. Hakikatnya, kita adalah hamba yang lemah di sisiNya. Allah sudah menunjukkan kepada kita kekuasaanNya dengan ciptaan-ciptaanNya, dan mengapa kita masih lagi angkuh dengan Sang Pencipta?

Kajian PhD saya ini telah membawa saya dekat kepadaNya. Syukur kepadaMu ya Allah.