Berjurai melati serkah lamuni
Indah kesidang menyerlah maya
Menjadi dai’e cecita murni
Aqidah tunjang akhlak kuncinya

Mentari jingga menyimbah laman
Sinaran ke atap indah bertamu
Sedari remaja  guruku berpesan
Tinggikan adab daripada ilmu

Tindik puteri merah menyerlah
Cantik berjajar dibuat kelarai
Mendidik daie tidaklah mudah
Teori diajar, praktikal dituai

Segak perwira di hujung beranda
Cincin suasa cantik tersemat
Pabila bicara banyakkan waspada
Sesuai bahasa mengikut pangkat

Berbega kenari riang di awan
Purnama menyuluh sarang tekukur
Pabila dai’e terjun ke medan,
Mehnah ditempuh, istiqamah pengukur

Kekwa menjalar di tengah lembah
Megah di laman pohonan kekabu
Berjiwa besar ciri pendakwah
Ambillah teguran semat di kalbu

Right reserve: Mohammad Tazli Azizan on 5 Nov 2010 – 3.15 am