Ada sahabat saya yang bertanya, macam mana saya boleh sejak habis PhD terus boleh sambung masuk kerja pensyarah dan tak perlu peralihan masa? Selalunya, pensyarah-pensyarah yang baru habis PhD memerlukan antara 1 tahun ke 2 tahun sebelum benar-benar boleh menjadi ‘full fledge lecturer’ i.e. boleh fokus kepada mengajar, research dan kerja-kerja pentadbiran. Ada juga yang sukar sehingga ambil masa 3-4 tahun baru dapat ‘masuk line’.

Saya beritahu kawan saya, saya pun tak tahu macammana dan apa formulanya. Saya beritahu beliau, pencapaian saya pada tahun ini semuanya kerja Allah Taala. Pada saya, niat buat kerja lillahi ta’ala, banyak permudahkan urusan orang lain dan mudah-mudahan atas asbab itu, Insha Allah Allah akan bantu. Seperkara lagi, ambil masa untuk kenali orang, berbaik-baik dengan orang sekeliling dan jauhi persengketaan.

Sejak saya benar-benar tamat PhD pada Mei 2014, saya ditawarkan menyertai kembali projek biodiesel yang pernah tertangguh, maka dalam tahun ini sahaja beroleh dua pingat emas di peringkat kebangsaan. Seorang pensyarah berhenti kerja, dan semua geran penyelidikan beliau berserta alat-alatnya diberikan kepada saya menjadikan sebagai principal investigator projek. Beberapa orang pensyarah lain juga mengajak saya menyertai projek mereka dan dalam pada masa yang sama saya ditawarkan menyertai business model lab, menjadikan saya ‘well aware’ dengan perjalanan sebuah universiti. Memegang jawatan sekarang pun saya simpulkan sebagai rezeki (dan juga amanah yang sangat besar), Tidak pernah terlintas di fikiran atas asbab penyertaan saya dalam suatu bengkel berkenaan penubuhan center yang saya ketuai sekarang menyebabkan saya sendiri dipilih menjadi ketuanya. Semua ini kerja Allah Taala. Mungkin juga rezeki atas pengorbanan isteri meninggalkan perjuangan PhD beliau.

Saya masih ingat niat saya menghantar permohonan geran FRGS baru-baru ini ialah untuk kejar KPI, tapi Allah tak beri, maka permohonan saya gagal. Mungkin sebab niat saya bukan kerana Dia sebaliknya mengejar KPI.

Pesan saya kepada sahabat saya, jangan tinggalkan solat dhuha, moga Allah permudahkan urusan, dan moga segala apa yang kita buat baik di tempat kerja, di rumah dan di mana-mana sekalipun, didorong olehNya hanya semata-mata lillahi Taala, bukan atas apa jua sebab sekalipun.

Moga Allah redha.