PANTUN TAUBAT
karya: M T Azizan

Burung Kedidi
Burung Kedidi

Berehat pahlawan penatnya masih
Melambai isteri di anjung tamu
Hati sang insan selalu merintih
Duhai diri banyak dosamu

Kelarai di titi bertatah baiduri
Tepian serambi bertabur selasih
Duhai hati tabahkan diri
Allahu Rabbi Maha Pengasih

Riak ketutu disangka kelisa
Penyeri muara daunan seroja
Taubatmu itu penebus dosa
Tanda kasihNya membawa ke syurga

Rumpun palas bawa ke kuala
Diganti malinja di pasar tamu
Namun awas nafsu menggila
Syaitan beraja pemusnah dirimu

Semarak cempaka dikerat-kerat
Hiang serinya di hujung laman
Gelegak neraka itulah penamat
Buat hambaNya yang lupa daratan

Redup lamuni menawan sukma
Indah tersemat pohonan langsat
Hidup ini sedetik cuma
Kejarlah akhirat tinggalkan maksiat

Pohonan bidara di celah kuinin
Berbega kenari berteman kedidi
Buana ini penjara sang mukmin
Syurga dicari impian abadi