MEMUGAR HATI, MENYEMAI KASIH, MEMBAJA CINTA, BUAHNYA SYURGA

Oleh: Mohammad Tazli bin Azizan, Seri Iskandar, Perak

2014-11-25 17.35.09

Malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Hatiku bungkam lagi. Isteriku merenungku. “Abang tengah fikir apa?” soal isteriku. “Hmm..pasal haji ni, entahlah, risau, takut”, ujarku. Selalu aku terbayangkan kisah-kisah jemaah haji yang berhadapan dengan pelbagai masalah dan rintangan ketika melaksanakan ibadah haji mereka, kerana dosa-dosa yang pernah dilakukan mereka sebelum itu. Ya, aku juga tidak lari daripada dosa dan maksiat. Dan aku khuatir, aku diberikan kesusahan dan kepayahan dalam melakukan ibadahku kelak.

“Abang, sekarang bukan persoalan takut bang, abang tolaklah perasaan itu ke tepi. Kita ke sana untuk membawa pengharapan kita, pengharapan agar dosa-dosa kita diampunkanNya, pengharapan agar doa-doa kita dimakbulkan Allah. Satu pengharapan yang tertinggi mencari kasihNya”, ujar isteriku lagi.

Mendengar penjelasan isteriku, kekhuatiran itu kulupakan seketika, berlalu pergi dibawa puputan semilir pada malam itu. Ya, tidak sampai sebulan lagi maka kami akan menjejakkan kaki ke Tanah Haram untuk mengerjakan haji. Jujurnya, kami tidak menyangka tawaran yang diberikan oleh Tabung Haji seawal itu. Sepatutnya giliran kami ialah pada tahun 2015. Walau bagaimanapun kami yakin, semuanya ini adalah perancangan Allah SWT semata-mata. Tabung Haji hanyalah wahananya sahaja. Kami dijemput oleh Allah ke rumahNya tatkala masih ada 1.5 juta rakyat di Malaysia yang masih menunggu untuk dijemput menjadi tetamuNya.

Beberapa tahun yang lalu, aku berada di kota London untuk melanjutkan pengajian PhDku. Aku membawa bersama isteri dan dua orang anakku, dan yang ketiga lagi lahir di kota London, setelah beberapa bulan kami di sana, Alhamdulillah. Walau bagaimanapun, perjalanan PhDku sungguh berliku. Aku dijangkiti penyakit yang jarang-jarang ada sekarang ini, dengan kebakaran di makmal tempat eksperimenku, bersambung pula dengan kerosakan sampelku, seolah-olah seperti jatuh ditimpa tangga. Pada ketika itu, aku menyedari bahawa Allah ingin mentarbiah diriku. Allah mahu memberikan aku pengajaran tentang hidup, tentang makna sabar, tentang kekuasaanNya, yang bukan di bawah kawalan sesiapa kecuali daripada Allah jua. Dalam tempoh itu juga, kerana aku dan isteriku masing-masing sibuk dengan PhD kami, maka Allah juga uji ikatan perkahwinan kami, supaya kami muhasabah diri dan memperbaiki hubungan kami suami dan isteri. Segala apa yang berlaku seperti kebakaran di makmal dan kerosakan sampelku hanyalah satu pemangkin untuk kami muhasabah diri. Kesudahannya, hanya aku yang berjaya menamatkan pengajianku setelah kira-kira 4 tahun setengah berjuang. Isteriku pula, sebelum mengerjakan ibadah haji, terpaksa berhenti kerana tidak ada kemajuan dan mengakibatkan beliau memperolehi penyakit ‘depression’, akibat tekanan yang berterusan dengan kerja PhD beliau dan menyeimbangkan tanggungjawab kepada keluarga. Sebelum itu juga, Alhamdulillah kami dikurniakan anak yang keempat sejurus selepas kami pulang dari kota London. Sesuatu yang tidak dirancang,tetapi kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya.

Menerima panggilan haji dari Allah SWT, adalah satu hadiah yang terindah, hadiah yang lebih baik daripada menggenggam ijazah PhDku daripada universiti tersohor dunia. Namun begitu, dalam keadaan kami yang masih lagi merasakan kekurangan ilmu tentang ibadah haji, dan dengan anak-anak kecil seramai empat orang yang bakal kami tinggalkan, kami benar-benar mengharap moga Allah memelihara mereka denga baik dan sesunguhnya kami redha kerana itulah takdirNya. Makin hari, makin aku tingkatkan amalan ibadahku sebagai persediaan memenuhi jemputanNya. Terkadang jua dadaku berombak dan sesak, lantas aku luahkan rasa resah itu di atas tikar sejadah, memohon agar Dia mempermudahkan urusanku ketika menunaikan ibadah di Tanah Haram kelak.  Dalam rasa debar membawa pengharapan ini, Alhamdulillah, perjalanan kami  menuju ke sana dipermudahkanNya. Kami dikelompokkan dalam kumpulan penerbangan KT34, penerbangan yang pertama dari Malaysia ke Jeddah kerana penerbangan sebelum itu semuanya ke Madinah terlebih dahulu. Kami mengerjakan haji tamattu’ iaitu mengerjakan ibadah umrah dahulu sebelum mengerjakan haji. Walau bagaimanapun, isteriku terpaksa berada dalam ihram selama 10 hari. Kami berdua agak terkilan kerana tidak dapat mengerjakan ibadah bersama-sama. Namun, apabila difikirkan kembali, sebenarnya aku diberikan peluang oleh Allah untuk memburu cintaNya berkeseorangan menuju ke Baitul ‘Atiq. Ya, apabila kita mati kelak, kita akan berkeseorangan di dalam kubur, bukannya dengan anak-anak, isteri dan ibu bapa yang kita sayangi. Maka, biasakanlah berkeseorangan seketika kerana tiba masanya, kita akan berkeseorangan juga kelak, menunggu hari kita dibangkitkan semula.

Apabila aku melangkah ke masjidil Haram, ia adalah satu pemandangan yang sudah tidak sama ketika aku melangkah ke sana 13 tahun yang lalu. Perbezaan yang sungguh ketara dalam pemodenan bangunan masjidil Haram dan bangunan-bangunan di sekelilingnya yang menyebabkan aku sudah tidak kenal lagi tempat itu. Namun begitu, saat aku melangkah ke dalam dan mataku melirik Kaabah, air mataku berjurai. Syukur ya Allah, meskipun hambaMu ini berdosa, kasihMu tidak pernah pudar ya Allah. Ya Allah, Engkau telah memugar semula perasaan cinta ini padaMu, ya Allah. Sudah banyak tahun aku terkadang melupakanMu, aku melengah-lengahkan solatku, aku enggan memperbanyakkan solat sunat, apatah lagi amalan puasa sunat, aku memberikan seribu satu alasan untuk tidak ke majlis ilmu, malahan tidak pula memberikan alasan apabila melakukan perkara lagha. Aku terlalu banyak mengikut nafsuku berbanding suruhanMu. Namun kali ini ya Allah, Engkau tidak mahu lagi aku tercampak dalam perkara-perkara yang membinasakanku, maka Engkau memanggilku pulang. Pulang kepada fitrah.

Di sini lahirnya semula sebuah cinta. Cintaku kepada Ilahi.

Sebelum bergerak ke kota Mekkah, aku dan isteriku membawa bersama-sama kami buku-buku berkenaan ibadah haji, motivasi haji dan sirah. Salah satu buku yang sungguh mengujakanku ialah sebuah buku  yang bertajuk The Sealed Nectar, karangan Sheikh Safi-ur-Rahman Al-Mubarakpuri. Buku ini telah memenangi hadiah tempat pertama di peringkat antarabangsa tentang penulisan biografi Rasulullah SAW yang dianjurkan pada tahun 1979.  Aku telah membeli buku ini beberapa tahun yang lalu tetapi tidak pernah berkesempatan membacanya. Apabila pertama kali aku membacanya, pandangan aku tertancap dan ia tidak lekang daripada berada di sampingku. Buku ini aku bawanya ke mana sahaja, hatta ke Masjidil Haram. Apabila selesai membaca al-Quran, aku akan menyambung pula bacaanku dengan buku ini. 584 muka surat aku habiskan dalam tempoh seminggu. Daripada bacaan ini, maka lahirnya kecintaan dan kekagumanku yang mendalam kepada Rasulullah SAW. Buku ini memperhalusi aspek kehidupan Rasulullah sehinggakan tika aku bertawaf sunat, aku boleh bayangkan, ya di pintu Kaabah ini Rasulullah berdiri ketika peristiwa Fathul Makkah, ya, mungkin di sini Rasulullah sujud dan diletakkan dengan perut unta oleh orang kafir Quraisy (yang menyebabkan aku menangis), ya, di sini Rasulullah tawaf dengan untanya. Sepanjang ziarah di Mekkah pula, terbayang-terbayang pula di mana Rasulullah berdiri di Jabal Rahmah untuk membacakan khutbah haji wida’ baginda, terintai-intai bagaimanakah baginda memanjat bukit Tsur bersama sahabat baginda yang dikasihi, Saidina Abu Bakar As-Siddiq untuk bersembunyi daripada musuh, dan bagaimana pula Asma’ bt Abu Bakar yang mengandung membawakan makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar. Membaca buku tersebut tambahan pula ketika berada di kota Makkah, aku merasakan seolah-olah aku sebenarnya berada dalam saat dan tika Rasulullah masih hidup. Isteriku menangis membaca buku itu ketika membayangkan betapa peritnya kesakitan Abu Bakar yang digigit kala jengking sehingga air matanya menitis mengenai wajah Rasulullah. Apabila kami ke kota Madinah al-Munawwarah, perasaan cinta kepada Rasulullah itu makin menebal dan mendalam. Sepanjang perjalanan di dalam bas dari kota Makkah ke kota Madinah, aku membayangkan bagaimana Rasulullah berhijrah dalam keadaan panas terik dan di celahan batu-batu besar.  Aku menziarahi masjidnya,  maqamnya, maqam para sahabat, al-Baqi’, bukit Uhud, masjid tujuh di mana berlakunya perang Khandak, dan apa yang disimpulkan, tidak dapat kami gambarkan betapa bersyukurnya kami diberikan peluang menyuburkan cinta kami kepada Allah dan Rasulullah SAW dalam perjalanan haji ini. Ia bukan satu perasaan mainan, ia adalah perasaan yang benar-benar datang dari lubuk hati yang dalam.

Ada satu muka surat dalam buku itu yang sangat meruntun perasaan ini ialah berkenaan perang di Bukit Uhud. Pastinya kita maklum bagaimana perang Uhud terjadi. Bagaimana tentera Islam yang pada mulanya seolah-olah menang mula disibukkan dengan rampasan perang tetapi akhirnya digempur oleh tentera Khalid al-Walid (yang masih belum Islam ketika itu). Kita juga tahu bahawa lebih daripada 70 orang sahabat Rasulullah yang mati syahid dalam peperangan ini. Peperangan ini bukanlah lambang kekalahan umat Islam dan tidak juga petanda kemenangan kafir Quraisy. Di sini juga kita ketahui tentang kewujudan golongan munafik yang berjumlah 300 orang di bawah pimpinan Abdullah ibn Ubai yang menarik diri daripada berperang apabila masa berperang hampir tiba.

Ada satu peristiwa kecil di dalam perang ini yang sungguh mengesankan jiwaku dan isteriku. Hatta apabila kami menziarah bukit Uhud, ia adalah ziarah yang menyebabkan air mata kami tumpah lagi. Apabila selesai perang, Rasulullah dan sahabat-sahabat yang tinggal pulang ke kota Madinah. Baginda disambut oleh Hamnah bt Jahsy, iaitu isteri kepada Mus’ab bin Umair dan adik kepada Abdullah bin Jahsy dan Zainab bt Jahsy, isteri Rasulullah SAW. Hamnah bertanyakan kepada Rasulullah tentang syahid Uhud. Rasulullah menyatakan kepadanya bahawa abang kandungnya, Abdullah bin Jahsy telah syahid maka berkata Hamnah, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali, moga Allah mengampuni dosanya”. Baginda Rasulullah SAW kemudian memaklumkan kepada Hamnah bahawa bapa saudaranya, Hamzah Abdul Mutallib telah syahid, maka Hamnah juga mengucapkan ucapan yang sama. Seterusnya, Rasulullah memberitahu Hamnah bahawa suaminya, Mus’ab bin Umair juga telah syahid. Tatkala itu, Hamnah meraung dan menangis kesedihan atas pemergian suaminya yang tercinta. Rasulullah bersabda, ” Suaminya mempunyai tempat yang istimewa di hatinya (Hamnah)” [Ibn Hisham 2/98]

Sungguh, menitis air mataku. Menitis rasa sedih atas perpisahan sementara antara dua jiwa yang sentiasa berkasih sayang, berkongsi tempat tidur mereka hanya semata-mata kerana Allah, membuai cinta hanya semata-mata kerana Allah, dan kesanggupan merelakan sang suami, abang, ayah, dan anak-anak syahid di jalan Allah. Aku gembira pula membayangkan alangkah di syurga nanti, Mus’ab menanti isterinya di pintu syurga, mendepakan tangan dan memeluk isterinya sambil berpimpin tangan menuju ke syurga. Aku juga membayangkan Rasulullah SAW pula menantikan sahabat-sahabatnya dan ahli keluarganya di pintu syurga. Dengan tangan yang terbuka menjemput “Ahlan! Ahlan!”. Dengan pelukan mesra mereka dan senyuman-senyuman yang sentiasa tidak henti-henti mengucapkan kalimah mengagungkan Allah SWT. Membayangkan mereka yang sudah lama berpisah antara suami dan isteri, antara ibu dan anak, antara ayah dan anak, tetapi disatukan kembali dalam syurga.

Kemudian, aku juga terbayangkan jika samada aku atau isteriku yang tersenyum di pintu syurga menantikan antara satu sama lain. Menyedari hakikat bahawa sebelum ini hubungan kami pernah merudum ke tahap yang kami hilang kawalan, maka aku dan isteriku tidak mahu lagi ia berulang. Aku ingin mataku yang merenung kekasihku iaitu isteriku di dunia, akhirnya menjadi kekasihku di syurga yang kekal abadi. Dan kami juga mahu menunggu anak-anak kami, bertemu kembali dengan ibu bapa kami, saudara mara dan sahabat handai yang mana kita semua bakal berpisah di dunia sementara. Akhirnya di dalam syurga itu, kita bersama-sama bertikarkan permaidani yang empuk dan indah seperti yang digambarkan dalam surah ar-Rahman, memetik buah-buahan yang dekat di hadapan mata sambil kita bergurau senda. Alllahu!

Ya, hakikatnya kita semua akan MATI.

Tetapi berapa ramai di antara kita yang sudah menyiapkan diri untuk mati? Ataupun antara suami isteri yang menyiapkan diri bersama-sama menghadapi hari kematian? Berapa ramai di antara kita yang tidak mengejutkan suami atau isteri mengerjakan solat Subuh apatah lagi solat tahajjud, berapa ramai yang berpuasa sunat bersama-sama suami isteri? Berapa ramai yang menuju ke masjid berpimpin tangan dengan anak-anak untuk solat fardhu? Berapa ramai yang merancang untuk akhirat, bagaimana menambahkan ilmu agama bersama-sama, menjadikan keluarga kita keluarga pencinta Al-Quran? Nyatanya, itu adalah aku sebelum mengerjakan ibadah haji.

Tidak kurang juga ramai suami atau isteri yang menjaja keburukan pasangan kepada orang lain, sentiasa mencari salah dan silap pasangan masing-masing, sentiasa merasakan dirinya sahaja yang layak ke syurga, seolah-olah tidak dihingin lagi pasangan yang ada di dunia ini. Nauzubillah!

Jika cinta kerana Ilahi, kenapa dibiar isteri tidak menutup aurat?

Jika cinta kerana Ilahi,kenapa dibiar suami meninggalkan solat tanpa dinasihati?

Jika cinta kerana Ilahi, kenapa bertengkar hal ehwal rumahtangga seolah-olah dirasuk jin dan syaitan?

Jika cinta kerana Ilahi, kenapa diri berlaku curang kepada isteri, kenapa diri berlaku curang kepada suami?

Jika cinta kerana Ilahi, kenapa anak-anak dibiarkan kehausan ilmu agama yang bakal menjadi bekalan apabila mati?

Semasa tempoh ibadah haji, inilah perkara yang aku dan isteriku temui, iaitu kemanisan beribadah bersama-sama, memburu cinta Allah dan cinta Rasulullah. Sepanjang tempoh itu (kecuali apabila isteriku dalam keuzuran), semuanya kami luangkan bersama, berjalan ke masjid bersama-sama, bertawaf sunat bersama-sama. Dan kami sedar bahawa inilah perkara yang kami kurang ambil berat sebelum ini. Kami tidak merancang bersama untuk kehidupan di syurga namun hanya merancang untuk hidup di dunia. Alangkah ruginya kami!

Allah memanggil kami berdua menjadi tetamuNya, penuh dengan hikmahNya. Di tanah Haram itu, berulang-ulang kali perjalanan antara hotel tempat kami menginap dan Masjidil Haram, aku tidak lekang melontarkan  lantunan ‘I LOVE YOU’  kepada isteriku, benar-benar lahir dari lubuk hati, bahawa aku cintakan beliau dan mahu membawanya menjadi ketua bidadariku di syurga kelak. Aku tidak mahu ke syurga keseorangan, maka aku ulang bersungguh-sungguh di Tanah Arafah, bersaksikan debu-debu Arafah, dan bersaksikan langit Arafah, moga Allah ampunkan dosa-dosaku, dosa isteriku dan insan-insan yang aku sayangi, dan tempatkan kami di syurgaMu yang tertinggi bersama-sama dengan Rasulullah dan para sahabat.  Apabila hati dicuit mengingati Rasulullah SAW dan para sahabat, aku ingin melihat dengan mata kepalaku sendiri bagaimana kecintaan sahabat-sahabat kepada Rasulullah, dan bagaimana perawakan Rasulullah, kerana apa yang aku baca, takkan sama dengan kepuasan melihat sendiri dengan mata. Aku mahu melihat Rasulullah tersenyum, sehingga adakalanya menampakkan garisan giginya yang putih bersinar, aku mahu melihat Rasulullah bersalam tangan denganku, yang pastinya baginda takkan melepaskan melainkan aku yang melepaskan genggaman tanganku, aku mahu melihat Rasulullah dalam gamis merah yang menunjukkan kekacakan dan kepahlawanan baginda, dan aku mahu memerhatikan Rasulullah dan akhlaknya, kerana akhlaknya adalah seumpama Al-Quran.

Ya Allah, terima kasih atas jemputanMu ini. Engkau telah mempermudahkan segala-galanya bagi kami. Maka pengharapan yang kami bawa dari tanahair kami, Engkau sambut dengan penuh kasih sayang. Usai ibadah haji, banyak resolusi yang telah kami perhalusi sebagai deklarasi pasca haji kami. Apa yang kami mahu tanam untuk akhirat kami, itu menjadi matlamat utama kami. Apa yang mahu kami tuai daripada anak-anak kami, adalah laba yang besar sebagai saham akhirat kami. Apa yang mahu kami sumbang untuk ummah dan masyarakat, adalah simpanan untuk pencen kubur kami.

Aku akui kerja dakwahku masih di belakang, maka itulah tanggungjawabku selagi aku masih hidup di bumi Allah ini.

Aku akui amal ibadahku masih berlompang, maka itulah tanggungjawabku memperelokkannya, dan memperbaikinya dari hari ke hari sehingga aku dipanggil olehNya

Aku akui akhlakku masih bersisa jijiknya mazmumah, maka itulah tanggungjawabku menyisihkannya, moga ia tidak menjadi pemberat yang membawaku ke nerakaNya, Nauzubillah!

Moga Allah permudahkan perjalanan ini, perjalanan menuju rabbi, perjalanan mengharapkan syurga yang kekal abadi. Andai aku atau isteriku yang pergi dulu suatu hari nanti, mudah-mudahan salah seorang daripada kami akan tersenyum menanti-nantikan kehadiran seorang lagi di pintu syurga, dan melangkah bersama-sama sambil disambut oleh Rasulullah dan para sahabat yang sudah masuk dulu sebelum kami. Ah, manisnya!

Dan aku doakan para pembaca cerpen ini juga memperoleh syurganya, dan menjadi jiran tetanggaku di negeri abadi itu kelak. Ameen!