DSC_2671
Di sinilah bersemadi syuhada Uhud. Moga kita dan mereka akan bertemu, disambut mesra oleh Rasulullah SAW di pintu syurga kelak, Ameen!

 

 

[UHUD: Memburu Syahid, Meninggalkan Yang Paling Disayangi dan Pertemuan di Syurga]

Semasa kami di Makkah al-Mukarramah, saya berjaya menghabiskan buku The Sealed Nectar yang pernah saya ceritakan sebelum ini. Salah satu perenggan yang saya tersentuh ialah berkenaan perang di Bukit UHUD.

Kita pastinya maklum bagaimana perang UHUD terjadi. Bagaimana tentera Islam yang pada mulanya seolah-olah menang mula disibukkan dengan ghanimah tetapi akhirnya digempur oleh tentera Khalid al-Walid (yang masih belum Islam ketika itu). Kita juga tahu bahawa lebih daripada 70 orang sahabat Rasulullah yang mati syahid dalam peperangan ini. Peperangan ini bukanlah lambang kekalahan umat Islam dan tidak juga petanda kemenangan kafir Quraisy. Di sini juga kita belajar tentang golongan munafik yang berjumlah 300 orang di bawah pimpinan Abdullah ibn Ubai yang menarik diri daripada berperang apabila masa berperang hampir tiba.

Ada satu peristiwa kecil di dalam perang ini yang saya mahu kongsikan dan ia sungguh mengesankan jiwa saya dan isteri. Apabila selesai perang, Rasulullah dan sahabat-sahabat yang tinggal pulang ke kota Madinah. Baginda disambut oleh Hamnah bt Jahsy dan Hamnah bertanyakan tentang syahid Uhud. Rasulullah menyatakan kepadanya bahawa abang kandungnya, Abdullah bt Jahsy telah syahid maka berkata Hamnah, “Kita ini milik Allah dan kepada Dialah kita kembali, moga Allah mengampuni dosanya”. Baginda Rasulullah kemudian memaklumkan kepada Hamnah bahawa bapa saudaranya, Hamzah Abdul Mutallib telah syahid, maka Hamnah juga mengucapkan ucapan yang sama. Seterusnya, Rasulullah mengulangi, “Wahai Hamnah, yakinlah suamimu, Mus’ab bin Umair akan diberikan ganjaran oleh Allah”
Hamnah meraung dan menangis kesedihan atas pemergian suaminya yang tercinta. Rasulullah bersabda, ” Suaminya mempunyai tempat yang istimewa di hatinya (Hamnah), beliau boleh mengawal diri apabila abang dan bapa saudaranya syahid tetapi menangis dan meraung atas pemergian suaminya”

Sungguh, menitis air mata saya. Menitis rasa gembira membayangkan alangkah di syurga nanti, Mus’ab menanti isterinya di pintu syurga, Rasulullah menanti sahabat-sahabatnya dan ahli keluarganya di pintu syurga. Dengan tangan yang terbuka menjemput Ahlan! ahlan! Dengan pelukan mesra mereka dan senyuman-senyuman yang sentiasa tidak henti-henti mengucapkan kalimah mengagungkan Allah SWT.

Saya juga terbayangkan jika samada saya atau isteri saya yang tersenyum di pintu syurga menantikan antara satu sama lain. Mata yang merenung kekasih di dunia, akhirnya menjadi kekasih di syurga yang kekal abadi. Dan kami juga menunggu anak-anak kami, bertemu kembali dengan ibu bapa kami, saudara mara dan sahabt handai yang mana kita bakal berpisah di dunia sementara. Akhirnya di dalam syurga itu, kita bersama-sama bertikarkan permaidani yang indah seperti yang digambarkan dalam surah ar-rahman, memetik buah-buahan yang dekat di hadapan mata. Alllahu!

Ya, hakikatnya kita semua akan MATI.

Tetapi berapa ramai di antara kita yang sudah menyiapkan diri untuk mati? Ataupun antara suami isteri yang menyiapkan diri bersama-sama menghadapi hari kematian? Berapa ramai di antara kita yang tidak mengejutkan suami atau isteri mengerjakan solat Subuh apatah lagi solat tahajjud, berapa ramai yang berpuasa sunat bersama-sama suami isteri? Berapa ramai yang menuju ke masjid berpimpin tangan dengan anak-anak untuk solat fardhu? Berapa ramai yang merancang untuk akhirat, bagaimana menambahkan ilmu agama bersama-sama, menjadikan keluarga kita keluarga pencinta Al-Quran dan sebagainya? Nyatanya, itu adalah kami sebelum kami mengerjakan haji.

Tidak kurang juga ramai suami atau isteri yang menjaja keburukan pasangan kepada orang lain, sentiasa mencari salah dan silap pasangan masing-masing, sentiasa merasakan dirinya sahaja yang layak ke syurga, seolah-olah tidak dihingin lagi pasangan yang ada di dunia ini. Nauzubillah!

Semasa tempoh ibadah haji, inilah perkara yang saya dan isteri saya temui, iaitu kemanisan beribadah bersama-sama. Sepanjang tempoh itu (kecuali apabila isteri saya dalam haid), semuanya kami luangkan bersama, berjalan ke masjid bersama-sama, bertawaf sunat bersama-sama. Dan kami sedar bahawa inilah perkara yang kami kurang ambil cakna sebelum ini. Kami tidak merancang bersama untuk kehidupan di syurga namun hanya merancang untuk hidup di dunia. Alangkah ruginya kami!

Allah memanggil kami berdua menjadi tetamuNya, penuh dengan hikmahNya. Di tanah Haram itu, berulang-ulang kali lantunan I love you yang saya lontarkan kepada isteri, benar-benar lahir dari lubuk hati, bahawa saya cintakan beliau dan mahu membawa Putri Nurizatulshiramenjadi ketua bidadari syurga saya.

Usai ibadah haji, banyak resolusi yang telah kami perhalusi sebagai deklarasi pasca haji kami. Apa yang kami mahu tanam untuk akhirat kami, itu menjadi matlamat utama kami. Apa yang mahu kami tuai daripada anak-anak kami, adalah laba-laba yang besar sebagai saham akhirat kami. Apa yang mahu kami sumbang untuk ummah dan masyarakat, adalah simpanan untuk pencen kubur kami.

Moga Allah permudahkan perjalanan ini, perjalanan menuju rabbi, perjalanan mengharapkan syurga yang kekal abadi. Andai saya atau isteri yang pergi dulu suatu hari nanti, mudah-mudahan salah seorang daripada kami akan tersenyum menanti-nantikan kehadiran seorang lagi di pintu syurga, dan melangkah bersama-sama sambil disambut oleh Rasulullah dan para sahabat yang sudah masuk dulu sebelum kami. Ah, manisnya!

Inilah jalan kami, moga Allah berkati dan permudahkan, dan mudah-mudahan sahabat-sahabat saya di sini juga, akan menjadi jiran tetangga kami di syurga Allah kelak, Ameen!