Kaabah di hati kami
Kaabah di hati kami

[ILMU DAN AMAL BERPISAH TIADA]

Salah satu perkara yang agak menyulitkan saya sebelum berangkat menunaikan ibadah haji ialah keperluan mempunyai ilmu yang mencukupi sebagai bekalan ke sini.

Sejurus sahaja kami menerima surat tawaran mengerjakan haji (awal setahun daripada yang dijangka), perasaan kami pada awalnya bercampur baur. Rasa seronok dan bersyukur tetapi memikirkan kehidupan yang bakal dilalui beberapa bulan yang mendatang sebelum keberangkatan kami agak menggusarkan. Ayah memberitahu melalui panggilan telefon bahawa saya telah dijemput ke tanah suci kerana surat Tabung Haji memang dialamatkan ke Perlis.

Pada mulanya, saya memikirkan untuk menunda ke tahun hadapan, ada tiga sebab utama:

i. Kemampuan kewangan – tak tahu di mana nak dapatkan kewangan sebanyak hampir RM20000 untuk dibayar ke Tabung Haji dalam tempoh sebulan surat diterima

ii. Urusan penjagaan anak-anak -terutamanya Ihsan ketika itu baru sahaja berumur 2 bulan, dan jikalau mengikut perancangan, isteri saya dan Ihsan akan tinggal di Johor dan saya pula menjaga anak bertiga lagi di Seri Iskandar. Ketika pemergian kami, Ihsan akan mencecah 1 tahun.

iii. Persiapan Ilmu Haji – jujurnya ilmu yang kami ada hanyalah ilmu semasa di Tingkatan 5 untuk menjawab soalan SPM, ingat-ingat lupa dan banyak yang lupa. Kursus asas haji ada disediakan untuk 17 minggu, namun berdasarkan perancangan kami untuk berjarak jauh sementara waktu, ia mungkin agak sukar.

Walau bagaimanapun, isteri saya yang meminta saya fikir masak-masak sebelum menolak.

Saya mintak petunjuk dari Allah dan Alhamdulillah, Allah buka lorong. Baru saya teringat, saya ada sekitar RM20000 dalam saham koperasi Felda dan melalui baiah saya dan mama saya, mama membeli saham saya (yang masih atas nama saya), dan wang didahulukan oleh mama untuk mengerjakan haji. Jika selepas ini dividen diterima, maka jumlah yang besar itu akan diberikan kepada mama. Ayah pula bersungguh meminta kami jangan dirisaukan dengan wang belanja kerana ayah akan berikannya kepada kami. Yang penting hanya sediakan wang sendiri untuk dibayar kepada tabung haji.

Ayah dan mama juga dengan berbesar hati mahu menjaga anak-anak kami yang bertiga itu, dan bagi Ihsan pula, sekiranya ibu tak dapat pergi bersama, ibu yang akan menjaga Ihsan sepanjang ketiadaan kami.

Jujurnya, sebab yang ketiga itu tidak dapat diatasi jua. Kerana jarak kami, adakalanya hanya dapat bertemu di KL dan kesibukan menguruskan anak-anak pada hujung minggu, maka kami langsung tidak dapat menyertai walau sekali pun kursus asas haji selama 17 minggu tersebut. Ralat tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.

Ayah selalu mengingatkan supaya persiapan juga harus disertai dengan amal. Memang sebelum ini, saya agak jauh dari masjid, walaupun mengaku kononnya pejuang Islam, kononnya penyampai risalah dakwah. Dunia terlalu banyak di hati, dan adakalanya berat untuk melangkah dengan pelbagai alasan. Apatah lagi jika sang isteri yang menyuruh, tercabar ego seorang suami apabila disuruh. Tidak dinafikan juga, menguruskan anak-anak yang bertiga ini, adakalanya saya terlepas pandang banyak urusan peribadi menuju hari akhirat.

Persiapan yang betul-betul berlaku hanyalah apabila kami menyertai kursus haji intensif di peringkat daerah Perak Tengah yang dianjurkan oleh TH. Tersedar dari lamunan apabila lantunan labbaik menerjah ke telinga oleh ustaz penceramah seiring dengan air mata keinsafan.
“Ya Allah, betapa Ar-Rahim nya Engkau ya Allah, dalam keadaan aku lalai ini, Engkau memanggilku pulang Ya Allah, sungguh besar rahmat dan kasih sayangMu ya Allah”

Sedari itulah, saya berusaha meningkatkan kualiti ibadah solat, berusaha bersungguh-sungguh agar dapat sekurang-kurangnya berjemaah solat subuh , maghrib dan isyak di masjid atau surau. Sesuatu yang pernah saya buat suatu ketika dahulu ketika usia menginjak ke alam dewasa, tetapi dilalaikan dengan KPI dunia. Persiapan ilmu ibadah haji walau bagaimanapun masih lagi kurang.

Allah memberi kesempatan kepada saya melipatgandakan amal dengan hadirnya Ramadhan al-Mubarak. Tatkala itu, tiada lagi jalan menoleh ke belakang. Saya perlu berusaha menambahkan ilmu dan mempertingkatkan kualiti ibadah. Al-Quran yang disentuh bila rasa ada kelapangan diwajibkan agar saya dapat khatam, solat malam ditingkatkan berserta solat taubat dan solat hajat. Taubat agar diri tidak lagi tersasar haluan, dan Allah permudahkan urusan ibadah haji dan pasca ibadah haji.

Apabila masa untuk berangkat makin hampir dan menyedari bahawa amal ibadah sahaja tidak mencukupi dan diri ini memerlukan ilmu dan motivasi untuk melakukan yang terbaik, saya dan isteri terdetik untuk membawa beberapa buah buku yang kami beli sejak dari London selain daripada yang dibekalkan oleh TH. Buku-buku ini tidak kami jamah sepenuhnya semasa di tanahair, dan ada yang langsung tidak diselak.

Kami berangkat ke tanah Haram dalam rasa mengharap dosa terampun dan urusan ibadah dipermudahkan. Kami ada kira-kira 3 minggu sebelum ibadah haji bermula dan saya menyempurnakan dahulu buku Travelog Haji karya Prof Kamil dalam beberapa hari sebagai bacaan sebelum tidur. Isteri saya pula, sementelah berada dalam tempoh ihram yang agak lama menghabiskan buku The Sealed Nectar (Ar-raheeq Maktum), buku tentang biografi Rasulullah SAW. Usai pembacaan daripada isteri saya, saya pula yang membaca buku tersebut tetapi saya membeli sebuah buku yang baru kerana kami berebut-rebut untuk membacanya (Insha Allah selepas ini bolehlah rakan-rakan nak meminjam untuk dibaca). Jujurnya, itu adalah buku yang terbaik yang saya pernah baca dalam hidup saya berkenaan junjungan besar nabi kita, Nabi Muhammad SAW. Buku yang diadun dengan hadith-hadith sahih dan penceritaan berdasarkan al-Quran. Bukunya sangat tebal tetapi keinginan menghabiskan bacaannya sungguh meluap-luap hingga saya bawa ia ke masjidil Haram untuk dibaca apabila selesai membaca al-Quran dan beribadah. Bacaannya bercampur baur antara kesedihan membaca pengorbanan Rasulullah dan sahabat, merembeskan semangat jihad menentang golongan kuffar dan kemarahan kepada golongan munafik. Muncul juga perasaan gembira membayangkan pertemuan Rasulullah dan sahabat-sahabatnya kelak di jannatul Firdaus, dengan penuh harapan bahawa diri ini akan bersama-sama di syurga bertemu baginda Rasulullah SAW kelak. Besar pahala penulis buku tersebut, Insha Allah.

Waktu-waktu makan kami bersama, antara saya dan isteri banyak berlaku diskusi ilmiah tentang sirah Rasulullah dan ibadah haji. Adakalanya semasa makan, mata bergenang dengan air mata berbincang tentang kehidupan Rasulullah. Alhamdulillah, tidak ada masa yang terbuang, sehinggakan seorang abang yang tercuri dengar perbualan kami menyampuk bahawa beliau ‘stress’ mendengar perbincangan kami yang serius. Kami gelak dan tersenyum sahaja mendengar celoteh beliau. Kerana itu juga, rata-rata jemaah sepenerbangan dengan kami memanggil saya dengan gelaran Prof! Moga -moga amalan bedah buku ini diterima sebagai satu ibadah, Amin!

Satu lagi buku yang menjadi bacaan wajib kami ialah buku Getting The Best out of Hajj, yang dikeluarkan oleh pustaka Darussalam. Buku ini dipinjamkan oleh abang Q dari kota London. Kerana kami berebut-rebut untuk membacanya, maka dijustifikasikan untuk membeli sebuah lagi di kota Makkah kerana apa yang ada harus dipulangkan semula. Buku ini ‘highly recommended’ kerana ia merangkumi semua tips yang penting dan amalan ibadah haji yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, contohnya amalan semasa tawaf dan melontar di Jamrah. Baru kami tahu bahawa di Muzdalifah, sunnah Rasulullah ialah rehat dan tidur sehingga menjelang solat Fajar! Kami juga berpeluang membuat perbandingan antara amalan ibadah haji yang dianjurkan oleh TH dan seperti yang dianjurkan di dalam buku tersebut, maka kami membuat yang terbaik berdasarkan nas-nas sahih. Contohnya, kami cuba sebaik mungkin untuk menjamakkan solat di Muzdalifah bukannya di Arafah meskipun seluruh maktab telah bersolat Maghrib dan Isya dulu di Arafah. Ini berdasarkan sunnah Rasulullah yang bergerak dari Arafah ke Muzdalifah ketika Maghrib dan hanya bersolat di sana. Pendek kata, melakukan ibadah haji bukanlah semata-mata atas asbab ikut sahaja apa yang perlu dibuat tetapi TAHU apa yang dibuat, tahu asbab kenapa perlu dibuat, tahu amalan-amalan sunnah ketika ia dibuat dan oleh itu ia mencetus penghayatan yang terbaik. Contohnya setiap lontaran batu di jamrah itu bersimbolikkan pembuangan sifat mazmumah dari dalam diri kita. Kalau kita hanya melontar tanpa ambil penghayatan, apa yang kita dapat hanyalah melontar! Tetapi, kita akan rasa bersyukur kepada Allah Taala apabila kita menghayatinya, kerana Allah izinkan kita membuang sifat mazmumah dari dalam diri dengan setiap lontaran batu itu.

Bacaan-bacaan kami tidak terhenti di situ sahaja, Alhamdulillah. Selesai ibadah haji, kami membeli buku-buku sirah tentang sahabat Rasulullah dan beberapa buku lain contohnya tentang The Hour (akhir zaman) di kota Makkah. Membaca dan menghayatinya sangat mengesankan jiwa yang disucikan selepas ibadah haji umpama sebuah ladang yang baru ditebas lalangnya, ia perlu ditanam dengan tanaman yang bermanfaat dan moga ia tetap subur hingga ke akhir hayat, Insha Allah.

Ya, ilmu tanpa amal adalah umpama pohon yang tidak berbuah, tetapi amal tanpa ilmu juga adalah umpama buah yang hanya dapat makan sekali kerana pokoknya telah ditebang. Moga catatan ini bermanfaat, agar kita dapat meningkatkan bukan sahaja kualiti amal ibadah tetapi penghayatan kepada ibadah melalui ilmu yang ditimba. Insha Allah, kita luangkanlah lebih masa untuk menuntut ilmu akhirat jua meskipun kita disibukkan dengan dunia.