مِن نُّطْفَةٍ إِذَا تُمْنَىٰ

Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim); (An-Najm:46)

أَفَرَأَيْتُم مَّا تُمْنُونَ

(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)? (al-Waqiah:58)

أَلَمْ يَكُ نُطْفَةً مِّن مَّنِيٍّ يُمْنَىٰ

ثُمَّ كَانَ عَلَقَةً فَخَلَقَ فَسَوَّىٰ

Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)? Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)? (al-qiyama:37-38)

إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن نُّطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَّبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا

Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat. (al-Insan:2)

مِن نُّطْفَةٍ خَلَقَهُ فَقَدَّرَهُ

Dari air mani diciptakanNya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab; (‘abasa:19)

خُلِقَ مِن مَّاءٍ دَافِقٍ

Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim) – (at-tariq:6)

Ayat-ayat di atas adalah berkenaan kejadian manusia yang Allah ceritakan di dalam al-Quran, spesifiknya tentang air mani. Yang saya dapat jumpa 7, mungkin lebih.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, ibadah adakalanya jadi monotonous, seolah-olah tidak berperasaan, tetapi doa yang saya sentiasa panjatkan adalah supaya Allah kekalkan rasa manis dalam beribadah. Ya, kadang-kadang dengan kesibukan kerja seharian, sukar nak dapatkan ‘feeling’ seperti yang kita pernah peroleh semasa menunaikan haji/umrah.

Sebentar tadi masa Isya’, imam di surau membacakan surah al-qiyamah dan bila sampai ayat berkenaan kejadian manusia iaitu tentang air mani, maka saya terus tidak dapat membendung rasa yang membungkam. Terasa hina. Seolah-olah mahu bersujud dan tidak mahu angkat kepala. Rasa malu, sebak! Rasa takut.

Ya, jika kita baca terjemahan ayat-ayat daripada surah-surah yang berkaitan air mani ni selalunya adalah peringatan kepada kita, betapa hinanya asal kejadian kita. Maaf saya katakan, kalau orang lelaki yang sudah berkahwin pastinya tahu rembesan air mani itu bagaimana rupanya dan bilakah ia akan keluar. Ia sungguh hina. Tetapi apabila difikirkan kembali, daripada air mani itulah Allah bentuk janin di alam rahim sang isteri. Kemudian Allah jadikan kita sehingga kita pada hari ini.

Persoalannya, mengapa apabila kita membesar ke alam dewasa kita, kita menjadi manusia yang penuh ego, angkuh, sombong, riya’, ujub dan lain-lain lagi sifat mazmumah, sedangkan kita asalnya daripada setitis air mani yang hina?

Memikirkan hakikat asal usul kita, saya seolah-olah hampir rebah, dibayangi rasa takut, betapa masa yang telah terbuang bukannya untuk Allah, al-Khalik kita, tetapi untuk mengejar kecintaan kepada dunia, mengejar sanjungan dan puji-pujian, sedangkan kita ini hambaNya yang tidak layak mendapat pujian sebegitu rupa.

Dalam pada itu, kita juga wajar memikirkan, dalam kejadian kita itu, betapa kasih sayangnya Allah kepada kita, dijanjikannya syurga seandainya kita patuh dan taat kepadaNya.

Sehingga akhir saya menulis tentang hal ini, saya masih takut, saya masih khuatir, Allah .

Sahabat-sahabat, jom kita tingkatkan amal untuk ke syurganya, tinggalkan perdebatan yang tidak bermanfaat dan berusahalah agar kerja-kerja dakwah Rasulullah berterusan hingga ke akhir hayat kita. Sesungguhnya, tiada apa yang lebih penting pada saat ini, melainkan apa yang kita lakukan memperoleh redhaNya