Perkahwinan yang kami bina sejak hampir 8 tahun dahulu adalah perkahwinan yang bukan sahaja dibina untuk memenuhi kehendak kami sebagai suami atau isteri. Perkahwinan ini ialah satu perkahwinan bagi membentuk sinergi agar kami sentiasa bersama-sama berpadu masa, tenaga, jiwa dan harta kami untuk ummah di jalan Allah. Oleh sebab itulah, saya memilih Putri Nurizatulshira sebagai isteri saya, kerana beliau punyai ciri-ciri kepimpinan dan kami sama-sama dapat ke depan menggerakkan kerja dakwah dan tarbiah. Justeru itu, kami bersama-sama memilih karier kami sebagai ahli akademik demi memberi inspirasi dan motivasi kepada anak-anak didik kami untuk maju dalam bidang masing-masing, dan tidak lupa memberi kepada masyarakat dan ummah. Berdegar-degar syarahan kami di dalam kuliah, dan pertemuan dalam kumpulan-kumpulan kecil, agar anak-anak murid kami, bukan sekadar mencapai keputusan yang terbaik dalam peperiksaan, tetapi perlu sedar kepada hakikat, anda perlu memberi semula untuk meningkatkan taraf hidup ummah. Usahlah memilih menjadi ‘ananiyyah’, hanya memikirkan tentang aku, isteri aku, anak-anak aku, rumah aku, kereta aku, keluarga aku, tetapi fikirkan juga tentang ummah, apa yang aku ada untuk diberikan kepada ummah? Sekiranya kita memikirkan tentang ummah, Insya Allah, kita akan sedaya upaya mencari ilmu untuk kita terus memberi.

Disebabkan itu, salah seorang daripada kami tidak boleh tertinggal. Matematik mudah kami: 1+1 = 3 atau 10 atau 100 atau infiniti dan 2-1=0. Sekiranya hanya salah seorang daripada kami yang berada di hadapan, ia tidak mencapai matlamat perkahwinan ini. Atas dasar itulah, kami akan terus dan sentiasa memberi secara bersinergi Insya Allah. Kepuasan kami ialah kami dapat terus menyumbang walau di mana sahaja kami berada. Kepuasan kami ialah apabila anak didik kami, anak usrah kami, anak-anak kami, akan menjadi orang yang menyumbang pula kepada ummah. Inilah jalan kami. Jalan menuju redha Ilahi. Atas dasar itulah, saya tidak mahu melanjutkan pelajaran PhD saya keseorangan, biar isteri saya tetap seiringan. Meskipun cabarannya berliku, motivasi kami adalah untuk terus memberi kepada ummah, justeru itu, walaupun PhD ini menjadi satu marathon yang panjang, ia tetap akan dihabiskan untuk terus memberi, Insya Allah.

Setiap ujian yang kami tempuhi adalah tarbiah kepada diri kami. Dan ujian-ujian yang kami tempuhi akan menjadi batu tanda dan tugu cinta kami, demi menuju cinta hakiki, cinta Ilahi. Nasihat kami kepada adik-adik sekalian, sebelum berumah tangga, carilah apa matlamat perkahwinan kalian, Insya Allah di situ Allah akan tunjukkan jalan siapakah gerangan yang akan menemani kalian dalam perjuangan. 

Salam sinergi perjuangan!